Jenama kecantikan terkenal, Avenys akhirnya membuka kedai fizikal pertamanya di pasaraya Aeon Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Dengan pembukaan kedai ini, pengguna Avenys kini boleh merasai sendiri pengalaman menggunakan produk-produk keluaran jenama yang diasaskan oleh Aleeya Zailan ini tanpa ragu-ragu.
Ramai sedia maklum, bisnes Avenys bermula di era pandemik dan segala urus niaga diusahakan secara atas talian menerusi platform maya dek kekangan yang ada pada waktu itu.

“Sebab itu apabila hari ini saya lihat sendiri depan mata butik yang selama ini hanya berlegar-legar di fikiran tanpa boleh menyentuhnya, bagaikan tidak percaya.
“Akhirnya penat lelah kami keluarga Avenys memerah kudrat kira-kira setahun lebih akhirnya membuahkan hasil,” cerita usahawan yang berasal dari Melaka itu penuh keterujaan.
Ditanya kenapa dia memilih untuk membuka kedai fizikalnya yang pertama di Aeon Wangsa Maju, kata Aleeya pusat beli belah itu punya sejarah tersendiri untuk dirinya dan suami.
Menurut suami Aleeya iaitu Azri Aziz yang juga merupakan tulang belakang kepada perniagaannya, mereka memilih untuk membuka cawangan pertama di Aeon Wangsa Maju kerana banyak kenangan dirinya bersama arwah ibu di sini.

“Saya membesar di kawasan ini. Saya sering ke sini bersama arwah ibu kerana ini adalah pusat beli belah kegemarannya. Hingga ke akhir hayatnya, dia masih datang ke sini untuk membeli barang. Jadi saya sudah tahu orang-orang di sini macam mana,” kongsinya yang mengharapkan arwah ibunya sempat melihat pembukaan kedai pertama mereka di sini.
Di sebalik kejayaannya merealisasikan impian yang juga dianggapnya impian bersama para pelanggan kesayangannya, Aleeya tidak menafikan terbit rasa sebak tatkala kerinduan terhadap arwah ibu menyapa ruang hatinya.
Ini kerana, menurut Aleeya, Avenys bukan sekadar perniagaan semata-mata, bahkan merupakan ‘tempat’ di mana dia rasakan seolah-olah mendapat pengganti atas pemergian arwah ibunya.
“Selain kewangan yang semakin kukuh, menerusi bisnes ini juga Allah telah hadirkan bukan seorang tetapi ribuan pelanggan yang saling tak tumpah seperti arwah ibu.
“Nasihat yang dulunya dititipkan dari mulut arwah ibu kini masih saya dengari dan perolehinya daripada para pelanggan Avenys yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.
"Bayangkan saya selalu menerima nasihat daripada ibu-ibu yang kebanyakannya adalah pengikut setia di laman sosial. Mereka tak pernah jemu memberikan sokongan," katanya sambil menahan sebak.

Melihatkan rekaan dalaman kedai mereka yang kelihatan sungguh gah setanding dengan kedai kedai jenama antarabangsa, kata Aleeya mereka mahu berikan pengalaman yang sama buat para pelanggan mereka tatkala melangkah masuk ke dalam kedai Avenys.
“Kami mahu semua pelanggan kami merasa teruja bila mereka berada di dalam kedai ini. Saya juga memilih warna putih kerana ia adalah warna kesukaan saya. Dengan bauan harum dalam kedai ini, pasti anda terasa seperti masuk ke dalam rumah saya sendiri. Itu adalah kunci utama disebalik rekaan kedai kami.
Sejak dibuka beberapa minggu lalu, sambutan hebat telah diterima daripada pelanggan mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman menggunakan produk-produk Avenys. Malah sewaktu majlis perasmian kedai ini diadakan, ramai pelanggan yang hadir dan tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan Aleeya.
Sementara itu, pada majlis sama, Avenys turut memperkenalkan produk terbaharu keluaran mereka berupa gel mandian yang dihasilkan dalam lima haruman iaitu Midnight Dream, Autumn Kiss, Twilight Bliss, Rose Paradise dan Sea Breeze. Kesemua gel mandian ini diinspirasikan daripada haruman minyak wangi jenama mewah.

“Biarpun diinspirasikan daripada minyak wangi terkenal, tetapi kita tak boleh hasilkan bau yang sama 100 peratus. Jadi kita suai padankan beberapa haruman daripada bunga bungaan supaya menjadikan baunya lebih harum dan sedap.
“Selain daripada mempunyai bau yang wangi, gel mandian ini juga bagus untuk kulit kerana ia melembutkan kulit. Jadi ia sangat sesuai untuk kegunaan setiap hari,” kongsi Aleeya
Hadir dalam lima haruman berbeza, gel mandian ini juga sesuai digunakan untuk golongan lelaki kerana dua daripada rangkaian gel mandian ini dicipta khusus untuk para jejaka iaitu Midnight Dream dan Sea Breeze. Gel mandian ini dijual pada harga RM88 sebotol 300ml. - Getaran, 8 Februari 2023