Sedar akan keperluan tingkatkan kesedaran penipuan atau ‘scam’, sebuah Pertandingan Filem Pendek Cegah Penipuan (Scam Prevention Short Film Contest) anjuran bersama syarikat dari Malaysia dan China iaitu SunStrong Entertainment dan Horizon Corporate Volunteer Consultancy (HCVC) telah diwujudkan.
Pertandingan antarabangsa yang bertemakan 'Sumbang Bakat, Cegah Penipuan', itu telah menerima sebanyak 59 entri bagi kategori Terbuka dan 29 entri kategori Pelajar sejak penyertaannya dibuka sejak November tahun lalu. Sepuluh karya kemudian disenarai pendek untuk setiap kategori.
Susulan daripada itu,majlis penganugerahan telah diadakan di Beijing, China baru-baru ini yang menyaksikan hadiah wang tunai berjumlah AS$128,000 (RM590,656) dianugerahkan kepada calon-calon yang menang, malah apa yang membanggakan kebanyakannya merupakan karya warga Malaysia.
Pengasas SunStrong Entertainment, Jment Lim yang turut salah satu pengadil pertandingan ini berkata, karya-karya yang disenarai pendek ini bukan sahaja menunjukkan daya kreatif dan bakat peserta, bahkan ia juga cukup signifikan dengan subjek pertandingan ini.

“Di mana kita dapat menyaksikan kebimbangan masyarakat akan jenayah penipuan yang berleluasa, serta semangat dan usaha orang ramai demi kepentingan awam.
“Walaupun pertandingan sudah tamat, ia tidak bermakna usaha perangi penipuan tamat. Karya yang menang akan muncul di platform media sosial utama dan laman web syarikatnya supaya usaha mencegah penipuan dapat diteruskan.
"Kita mungkin tidak dapat sepenuhnya menghentikan penipuan daripada berlaku, tetapi kita boleh berusaha untuk mencegah sebanyak mungkin tragedi," katanya.
Bagi kategori Terbuka, Help daripada China yang mengisahkan mangsa penipuan telefon, meraih hadiah pertama dengan wang tunai berjumlah AS$50,000 (RM230,725). Hadiah kedua, Bad Days (Malaysia) memperoleh AS$20,000 (RM92,290), manakala hadiah ketiga, Scripted (Malaysia) memenangi AS$10,000 (RM46,145).
Tujuh lagi karya Malaysia iaitu Putih Hati, Love Chess, I'm Here For You, Susan, Money Tree, Bungkam dan Desire turut membanggakan tanah air atas kemenangan semua Anugerah Cemerlang bagi kategori Terbuka ini apabila masing-masing dianugerahkan wang tunai sebanyak AS$5,000 (RM23,073).
Kesemua pemenang kategori Terbuka dapat mengemukakan cadangan filem mereka kepada SunStrong Entertainment dan berpeluang menerima geran sehingga AS$1 juta (RM4.61 juta) bagi merealisasikan impian menghasilkan filem cetera.
Sementara bagi kategori Pelajar, hadiah pertama dengan wang tunai bernilai AS$5,000 (RM23,073) dianugerahkan kepada A Forever Promise (China) yang mengisahkan graduan muda yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan.
Manakala hadiah kedua, Got Trapped (Malaysia) dan hadiah ketiga, Sink (Malaysia) menerima wang tunai sebanyak AS$3,000 (RM13,844) dan AS$1,500 (RM6,922).
_.jpeg)
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HCVC, Wang Zhongping pula memuji usaha SunStrong Entertainment atas inisiatif untuk mengangkat subjek yang cukup memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Jment Lim atas sokongan kukuh dan semua pihak yang mendedikasikan diri sepanjang pertandingan ini supaya keseluruhan proses dapat berjalan lancar.
“Pada pandangan saya, semua karya yang disenarai pendek semenangnya layak menerima anugerah. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dari titik permulaan hingga majlis penganugerahan, ketabahan telah membawa kami sampai ke penghujung.
“Kami akan terus menggunakan filem pendek sebagai alat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya.
Pengkarya filem Malaysia terkemuka, Chong Keat Aun yang menganggotai panel juri berkata, kebanyakan entri menceritakan pemerdagangan manusia, sekali gus menunjukkan ramai bimbang akan isu ini.
Beliau turut kagum dengan semua entri ini yang mengambil kira pengalaman menonton pada paparan telefon.
Seorang lagi juri iaitu pengkarya dokumentari dan pemenang anugerah Oscar, Ruby Yang dari Amerika Syarikat pula melahirkan kekaguman terhadap karya pelajar yang menggunakan kaedah penyampaian berita sebagai mod penceritaan serta mengajak kawan-kawan untuk berlakon kerana sumber mereka terhad.
Barisan panel juri lain untuk pertandingan ini juga terdiri daripada Pengarah Akademi Filem Shanxi, Jia Yue dan Pengarah Leopard Change Academy, Zhang Dadou serta Dekan Kehormat Akademi Seni dan Teknologi Nanhai, Zhou Shixing.
Semua filem pendek berkenaan dapat ditonton menerusi pautan https://sseshortfilmcontest.com/Gallery - Getaran, 22 Jun 2023
