“Buat masa ini, saya tidak mahu beri sebarang komen. Namun, kami akan berikan kenyataan dalam tempoh waktu yang terdekat ini”.
Demikian jawapan yang diberikan pengarah, Khairi Anwar berhubung kontroversi yang tercetus terhadap filem pertama arahannya, Mentega Terbang yang didakwa telah mencabar dan memesongkan akidah umat Islam.

Bahkan, filem itu turut mendapat desakan daripada beberapa pihak supaya tayangannya diharamkan kerana ia dianggap berbahaya buat anak-anak muda yang masih belum memahami Islam.
Mentega Terbang diterbitkan oleh Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment dan ditulis Khairi Anwar bersama Arjun Thanaraju, Visshnu Varman dan Ti Teng-Hui.
Filem itu membicarakan beberapa persoalan seperti apakah wujud kehidupan selepas mati, syurga, neraka dan kebenaran hakiki, antara persoalan yang bermain di minda Aisyah, watak utama filem itu.
Aisyah merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang terpesona dengan kebenaran agama, terutamanya tentang apa yang akan berlaku selepas kematian.

Dengan seorang ibu yang mempunyai barah dan bapa berjiwa liberal (akal dan gaya pemikiran), Aisyah cuba mencari jawapan terhadap persoalan yang membelenggu dirinya.
Filem bebas tempatan ini telah melalui tayangan secara tertutup pada akhir 2021 dan kemudian ditayangkan di platform OTT, Viu sejak 19 Januari lalu.
Namun, beberapa babak di dalam filem berkenaan telah menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak khususnya dialog seorang ayah yang membenarkan anaknya untuk menukar agama lain.

Sejak kontroversi itu tercetus, Viu telah menarik balik tayangan filem tersebut menerusi platform mereka dan masih belum bersedia untuk memberikan sebarang komen.
Filem ini dibintangi Syuma Salihin sebagai Aisyah, Nik Waheeda (Mama/Jamhariah), Firdaus Karim (Abah/Jailani), Arjun Thanaraju (Suresh), Khairunazwan Rodzy (Uncle Kasim) Shyamala Kandapper (Auntie Esther) dan Jesebel Lee (Sue Fen). – Getaran, 3 Mac 2023