Slot Lestary TV3 membawakan sebuah drama terbaharu berjudul 'Diari Seorang Suami' yang memaparkan kisah perkahwinan remaja berusia 18 tahun dibintangi Afieq Shazwan, Yuna Rahim dan Keith Foo.
Atas dasar cinta, pasangan muda ini nekad mencari kebahagiaan hidup walaupun perkahwinan mereka tidak direstui keluarga masing-masing. Namun, cabaran hidup yang sangat sukar di ibu kota mula menguji perasaan dan hati pasangan muda ini.

Drama ini memberi pengalaman baru buat pelakon dan penyanyi, Afieq kerana julung kalinya tampil sebagai bintang utama dan melakonkan watak suami.
“Waktu pertama kali saya ditawarkan watak Hairie, banyak kali saya tanya dengan penerbit betulkah nak ambil saya berlakon drama ini. Kata penerbit memang dia nak pelakon yang mempunyai karakter seperti saya. Lepas dapat skrip, sekali saya saya bertanya, betulkah watak ini untuk saya.
"Saya rasa ini peluang untuk merasai bagaimana orang seusia saya berkahwin kemudian bakal menimang cahaya mata dan menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup,” kata Afieq.
Menerusi drama ini orang ramai dapat melihat perkembangan watak Hairi lakonan Afieq dan Neesa (Yuna Rahim) dari zaman bujang sehinggalah bergelar suami ister serta ibu bapa.
Perjalanan hidup yang mereka pilih bukan mudah. Hairi hanya berbekalkan sijil SPM manakala Neesa pula menduduki peperiksaan STPM.
Selepas mengambil keputusan untuk berkahwin lari, mereka menjadi gelandangan di Kuala Lumpur. Malahkan, mereka juga tidak mempunyai arah tujuan dan pekerjaan tetap. Pasangan ini terpaksa melalui pelbagai onak duri hidup bersama gelandangan lain.
Kisah hidup mereka bertambah rumit selepas Neesa disahkan mengandung. Semuanya dicatatkan di dalam diari Hairi yang tidak pernah diketahui oleh Neesa.
Suatu hari Azman (Keith Foo) muncul dalam hidup mereka dan mahu membantu. Dia menawarkan pekerjaan kepada Hairi malah membenarkan kedua-duanya tinggal di rumah agam miliknya. Apakah yang bakal berlaku pada Hairi dan Neesa? Diari Hairi bakal menjawab hati dan perasaan seorang suami.
Drama 13 episod terbitan Art Ornament Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Johan Bahar dengan nukilan skrip dan idea asal Azril Hamzah, Amin Shakib serta Shida Zali.
Selain Afieq, Yuna dan Keith Foo, drama ini turut dibintangi pelakon berbakat besar iaitu Fimie Don, Jun Lojong, Syanie dan Sani Sudin Kopratasa.
'Diari Seorang Suami' bersiaran di slot Lestary TV3 setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam bermula 12 November lalu. - Getaran, 17 November 2021
Foto: Media Prima