KUALA LUMPUR - Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang diaplikasikan dalam sektor pembinaan diyakini mampu membawa Sino Sky Sdn Bhd menembusi pasaran semasa.
Pengerusi Eksekutif Sino Sky, Datuk Harridzs Mohan berkata, penggunaan AI dalam industri pengecatan dan mesin render simen itu adalah antara faktor yang membezakan Sino Sky dengan syarikat lain.
Menurut beliau, inovasi digunakan berupaya membantu meningkatkan kecekapan tenaga kerja di tapak pembinaan, malah ia berperanan besar mengurangkan kos dan menjimatkan masa pelanggan.
“Saya optimis Sino Sky berupaya memainkan peranan penting untuk memperkukuh industri pembinaan di pasaran tempatan.
“Dengan kerjasama dan kombinasi kepakaran anak tempatan dan pemain antarabangsa, kami sudah bersedia menembusi dunia pembinaan di Malaysia, seiring komitmen yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui media selepas perasmian Pejabat Urusan Sino Sky yang disempurnakan mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini baru-baru ini.
Jelas Harridzs, Sino Sky sebagai syarikat usaha sama antara OSMI Group dan rakan kongsi dari China turut tidak terlepas menetapkan sasaran strategik, selaras dengan pertumbuhan agresif syarikat.
“Kami meletakkan sasaran RM250 juta bagi tempoh dua tahun, untuk memberi tumpuan kepada pelbagai projek mega.
“Sino Sky untuk pengetahuan, kontraktor dan syarikat pemaju bertaraf G7, justeru setiap projek dibangunkan bernilai tidak kurang RM5 juta,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, syarikatnya setakat ini berhasil membangunkan projek yang nilai keseluruhan dianggarkan RM35 juta, meliputi pembinaan banglo serta kilang di Bukit Tunku dan Damansara Heights.
“Kami ketika ini sedang dalam proses membida beberapa projek dan saya positif sasaran RM250 juta itu dapat direalisasikan sekitar dua atau tiga tahun lagi,” katanya.
Harridzs menarik perhatian, kepakaran Sino Sky bukan hanya sebagai kontraktor, malah mereka turut menawarkan perkhidmatan bagi kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E), infrastruktur serta penyelesaian reka dan bina (design-and-build).
“Kami juga menitikberatkan usaha mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan serta kontraktor kecil dan sederhana dalam setiap projek dibangunkan.
“Kami mahu menyumbang secara aktif dalam sektor pembinaan di negara ini secara lebih menyeluruh,” katanya. - Getaran, 21 Oktober 2025