Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Baba, Hari-Hari Yang Ditinggal Pergi

Hargai bapa ketika masih ada. Klise bukan? Percayalah, ada sejuta kejadian benar yang membawa kepada terciptanya frasa itu.

TARA Dikemaskini 8 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 20 Jun 2021 8:55AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Jika wanita itu seni, maka lelaki adalah bingkisan abstrak yang kompleks huraiannya. Well, setidak-tidaknya untuk Baba.

Menyelami Baba yang dikenali seawal membuka mata, beliau lelaki berpendirian berhati kering, dengan hidup hanya berlandaskan dua perkara, yes or no. Tidak ada 'atau' dan 'tetapi' di tengah. Hitam, ya maka hitamlah ia. Putih? Usah ditukar kerana tetap akan begitu hingga akhir.

Membesar dengan didikan keras tanpa kompromi secara sedar atau tidak memberi kesan pada keperibadian. Aku tumbuh sebagai remaja yang degil, penuh pemberontakan dan sering menguji kesabaran. Ia umpama cerminan kepada Baba, selaku 'warden' dalam setiap lingkup proses tumbesaran dilalui.

Keindahan masa remaja, jujur diakui hanya berkisarkan waktu persekolahan, dikelilingi rakan sebaya sehati sejiwa. Mahu bermanja dan berkongsi rasa dengan Baba? Oh tidak sesekali kerana tiada ruang untuk itu.

Sebegini negatif aura yang menyelubungi hubungan kami, maka pantaskah lagi beliau diangkat sebagai hero, adiwira terunggul dalam hidup? Secara lahiriahnya pasti tidak, namun misteri digerakkan Allah SWT tidak akan mampu ditelah oleh sesiapa pun.

Lakaran takdir yang menentukan aku bergelar wartawan seawal usia 20 tahun secara sedar atau tidak adalah satu anjakan paradigma buat kami berdua.

Hubungan yang tak ubah seperti jeneral dan tawanan perang dahulunya, bertaut mesra malah senda gurau semakin lancar diungkapkan.

Oh, jangan salah faham, Baba masih garang dan tak pernah ‘kedekut’ memberi ‘sepatah dua kata’ bila perlu, walau tidak lagi sekeras dulu. Mungkin faktor usia sedikit sebanyak membuatkan beliau enggan lagi berkeras, apatah lagi anak-anak sudah dewasa semuanya.

"Baba, bersama singlet kegemarannya"
"Baba, bersama singlet kegemarannya"

 

Air mata Baba

Hujung tahun 2000, arahan bertukar ke pejabat biro di Kuala Terengganu diterima dan jujurnya, walau dipenuhi keterujaan, diri ini sebenarnya dihambat kerisauan bila memikirkan perlu berada beratus batu daripada keluarga.

Ini juga kali pertama kaki melangkah ‘keluar’ dari rumah dalam erti kata sebenarnya, merantau jauh ke tempat orang walau masih dalam negara yang sama.

Terengganu pada awal 2000 masih satu perjalanan yang panjang menggunakan laluan lama, malah idea pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) ketika itu mungkin tidak pernah wujud dalam pemikiran pemerintah.

Dalam kekalutan mencari rumah sewa, Baba tampil memberitahu, segalanya sudah diselesaikan dengan bantuan rakan sekolahnya, yang kebetulan memiliki kakak, seorang pengusaha resort tepi pantai di Batu Buruk.

Dengan kadar sewa RM1,100 sebulan, rasional Baba mudah; resort itu sentiasa berpenghuni, ada petugas dan tempat mengadu jika berdepan kesulitan atau kecemasan. Oh, makan minum juga ditanggung beres kerana pemiliknya adalah kenalan lama kami sekeluarga.

Disember 2000, perjalanan ke Terengganu bermula dan ia dijadikan kesempatan untuk Baba bercuti, dengan mengajak beberapa ahli keluarga lain turut serta.

Itu detik yang amat manis dan Baba mengarahkan Ibu menyediakan beberapa keperluan, termasuk pemain VCD, cerek dan stok makanan serta minuman untuk disimpan di dalam bilik.

Selepas hampir seminggu, Baba dan yang lain perlu berangkat pulang dan ketika itu, air matanya turun tanpa dapat ditahan, malah pelukan eratnya sambil membisikkan beberapa nasihat malar segar dalam ingatan.

“Jaga diri Sophia (Baba tak pernah menggunakan nama timangan aku, tak tahu kenapa). Pandai-pandai bawa diri. Kalau pandai bawa diri, mana pergi orang sayang,” dan nasihat itu kekal sebagai satu azimat hingga hari ini.

"Bersama Baba pada majlis Anugerah Kewartawanan Malaysian Press Institute (MPI) pada tahun 2013"
"Bersama Baba pada majlis Anugerah Kewartawanan Malaysian Press Institute (MPI) pada tahun 2013"

 

Masalah rumah tangga, bertukar ke KL

Takdir menentukan bahawa kehidupan seorang Sophia tidak sunyi dari ujian dan sekitar 2005 hingga 2006, rumah tangga dibina mula dilanda badai.

Berada jauh di Kuantan, Pahang ketika itu menjadikan segala pahit maung harus ditempuh sendiri selagi mampu, hingga akhirnya berlaku satu peristiwa yang menjadi titik tolak kepada semuanya.

Kerisauan Baba barang kali tidak lagi dapat dibendung dan dengan bantuan sahabatnya yang juga individu berjawatan tinggi di pejabat pada waktu itu, aku ditukarkan serta-merta ke Kuala Lumpur, malah diarahkan melapor diri dalam masa tiga hari dari tarikh surat diterima!

Itulah satu-satunya waktu aku melihat Baba menggunakan pengaruh dimiliki dalam dunia kewartawanan, semata-mata memastikan anak sulungnya ini dilindungi daripada segala musibah dan bahaya.

Yang mengenali Baba secara dekat, pasti tahu bahawa lelaki pencinta makanan ini sering mengelak dari menggunakan kuasa atau kedudukan bagi mencapai apa yang dihajati.

Kerana itu, persaraannya hanya membawa bersama segunung pengalaman, bukan timbunan harta atau kediaman mewah sedangkan ya, semua itu hanya sekadar di hujung jari jika beliau benar berkehendak begitu.

“Nak buat apa guna (kuasa) semua ni. Kat dunia bolehlah (lepas), nanti kat sana (akhirat) tak ada siapa boleh tolong,” itu kata-kata yang sering diulang-ulang apabila kami merungut atau mempersoalkan apa-apa.

"Baba bersama satu-satunya cucunya, Sara Nur Marcella"
"Baba bersama satu-satunya cucunya, Sara Nur Marcella"

 

Kanser mengubah segala

Akhir Mac 2020, Baba menjatuhkan bom atom di hadapan kami sekeluarga, apabila memberitahu, ada sel kanser yang sedang ganas menyerang di dalam tubuhnya.

Masakan boleh aku lupa betapa hening suasana ketika itu, dengan tangan yang begitu kuat mencengkam bucu kerusi, cuba menghadam patah demi patah kata disampaikan.

Malam itu selamanya abadi dalam ingatan, bila dada seakan mahu pecah cuba menahan tangisan yang mahu dihamburkan.

Aku gigit bibir sekuat hati, tidak mahu terlepas tangis yang hanya akan membuatkan suasana menjadi tidak terkawal, tambahan pula Ibu, teman hidupnya sejak lebih 40 tahun kekal tenang walau dalam hati, pasti bersarang sejuta rasa.

Aku hilang arah. Kisah yang selama ini hanya aku tatap lewat televisyen, atau dibaca di dada media akhirnya melingkari kehidupan kami sekeluarga, di saat semua dipasak keyakinan bahawa Baba akan baik-baik aja hingga tiba ‘saat’ itu nanti.

"Baba dan Ibu semasa Hari Raya beberapa tahun lalu"
"Baba dan Ibu semasa Hari Raya beberapa tahun lalu"

 

Rawatan dan Ramadan yang menduga

Seminggu sebelum Ramadan 2020, Baba memulakan rawatan di Pusat Perubatan Pantai (PMC) Kuala Lumpur dan ia bermula dengan prosedur dikenali sebagai biopsi untuk menentukan jenis kanser dialami.

Keputusan mengesahkan Baba menghidap Hepatocellular Carcinoma (HCC), sejenis kanser hati yang sering berlaku tetapi malangnya, paling agresif antara semua.

Ketika ini aku menyaksikan sendiri, bagaimana Baba yang cukup takut dengan jarum dan hospital, tabah melalui setiap prosedur walau aku tahu, ia amat menyakitkan.

Melihat tangan tua itu dicucuk di sana sini, aku jadi sayu, apatah lagi apabila tubuhnya semakin susut dari hari ke hari. Hilang sudah figura bertubuh tegap yang menghiasi pandangan aku sedari kecil.

Hanya dalam tempoh tidak sampai sebulan, Baba kehilangan lebih 30 kilogram dan baru aku ketahui, memang akan berlaku ke atas mana-mana pesakit kanser.

Doktor yang merawat Baba bilang, sel kanser amat panas, menjadikan segala kalori dan nutrien yang masuk ke dalam tubuh pesakit dibakar serta-merta tanpa sempat ia disimpan atau digunakan sebagai tenaga.

Ketika itu juga, negara berdepan ancaman COVID-19 dan bilangan kes yang semakin meningkat memaksa kerajaan mengisytiharkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) buat pertama kali. Keputusan itu mungkin satu mimpi ngeri buat jutaan rakyat Malaysia, namun tidak bagi aku.

Ia umpama anugerah, apatah lagi dengan arahan bekerja dari rumah yang membolehkan aku memberi sepenuh perhatian dalam menguruskan segala hal berkaitan Baba.

Urusan menghantar makanan, baju dan segala keperluan aku galas sepenuhnya, termasuk urusan membeli barangan keperluan harian di rumah. Tak sedikit aku mengeluh, walau penat begitu terasa, tambahan pula dalam keadaan berpuasa.

Menatap wajah tenang Baba di atas kerusi roda setiap kali menghantar makanan kepadanya, sumpah aku tewas dengan amukan perasaan. Baba nampak kuat dan tabah, namun sebagai anak aku tahu riak sayu pada matanya.

Ini Ramadan kedua beliau tidak di samping keluarga (kali pertama sewaktu melanjutkan pelajaran di University of Colombia, New York). Walau hanya berada sejauh 11 kilometer dari kami, peritnya begitu terasa. Near, but yet so far…

Betapa sulit menjana kekuatan, di saat hati hancur berkeping-keping amat sukar aku ungkapkan. Seboleh mungkin aku semat dalam diri untuk terus kuat, setidak-tidaknya di hadapan Baba dan Ibu. Jangan benarkan mereka lihat titis air mata yang jatuh, biar yang terpamer hanya senyum umpama madu.

Di depan Baba setiap kali menghantar makanan, aku ceria seperti biasa. Hakikatnya? Air mata ini gugur bagaikan Air Terjun Niagara setiap kali aku berpaling pergi.

"Baba tetap menguntumkan senyuman walaupun terlantar sakit"
"Baba tetap menguntumkan senyuman walaupun terlantar sakit"

 

Selamat Jalan, Baba

Kalam Loh Mahfuz menentukan bahawa perjuangan Baba bakal ternoktah pada jam 5.42 petang, 26 Mei 2020 ketika jutaan umat Islam masih meraikan kegembiraan 3 Syawal.

Syawal 2020 akan kekal dalam lipatan, sebagai Aidilfitri terakhir kami bersama beliau dan momen kami bermaafan pada pagi Syawal pertama tahun lalu tidak mungkin akan luput dari ingatan sampai bila pun.

Buat pertama kali dalam hidup, aku mendengar sendiri permohonan maaf Baba, terhadap segala kesalahan yang dilakukan ke atas kami dan oh Tuhan, aku tak tahu apa yang lebih menghancurkan; menyaksikan lelaki seego dia meminta maaf, atau mendengar permohonan itu yang bersulam tangisannya.

Sekitar jam 11 pagi tanggal 26 Mei itu, kami dikejutkan dengan panggilan telefon Adik yang meminta semua segera ke hospital, dan kehadiran itu disambut permintaan doktor untuk seisi keluarga bersedia menerima apa sahaja kemungkinan.

Bekalan oksigen Baba kian menurun dan beliau tidak lagi sedarkan diri. Bukan koma, tetapi menurut kata doktor, keadaan itu akan meletakkan Baba dalam keadaan seolah tidur, walaupun deria pendengarannya masih lagi berfungsi.

Inilah detik yang menyaksikan aku meredakan seluruh hati, perasaan dan fikiran, untuk melepaskan Baba pergi jika benar sudah tiba masanya.

Aku beri janji pada Baba, untuk menjaga Ibu dengan seluruh kemampuan yang ada, menjadi kubu pelindung kami sekeluarga dan pembela adik-adik selama mana aku terdaya.

Air mata usah dihitung, mengungkapkan kata-kata merelakan kepergian Baba umpama merentap seluruh jiwa yang ada, betapa aku tidak pernah terbayang akan menempuh saat segetir ini.

Perjalanan akhir Baba ternyata dipermudahkan, termasuk urusan membawa pulang jenazah yang selesai kurang daripada sejam.

Pengebumian juga berjalan tanpa sebarang kendala, begitu juga tugas memandikan jenazah di masjid. Kata Ekhwan (adik aku nombor tiga), tubuh Baba begitu lembut, seakan kulit bayi baru dilahirkan, malah tiada najis yang perlu dibersihkan, menjadikan tugas memandikan jenazah teramat lancar.

Jenazah Ahmad A Talib, lelaki yang bertanggungjawab mencambah kecintaan aku terhadap dunia kewartawanan ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kem Perdana Sg Besi sekitar jam 10 malam, pada hari sama beliau pulang menemui Sang Pencipta.

Permintaan akhirnya untuk beliau dikebumikan di kawasan berhampiran berjaya kami tunaikan, dan kini selepas setahun berlalu, semuanya masih terasa bagaikan semalam.

 

Hargai ayah ketika ada

Ya, hargai ketika masih ada. Klise bukan? Percayalah, ada sejuta kejadian benar yang membawa kepada terciptanya frasa itu. Memang manusia hanya akan belajar menghargai selepas dia merasa sebuah kehilangan.

Aku mungkin tidak berlaku kejam kepada Baba atau yang seangkatan dengannya, namun sebagai manusia, aku turut tidak terlepas dari mengambil kesempatan.

Mengambil kesempatan terhadap masa yang ada, mengambil kesempatan terhadap kewujudan Baba saban waktu dalam hidup dan mengambil kesempatan terhadap hakikat beliau sentiasa ada tatkala aku memerlukan, hingga aku akhirnya terlupa, waktu kian berengsot pergi.

Pemergian Baba menarik aku kembali ke dunia nyata. Sekelip mata, tugas menjaga keluarga yang selama ini sejuta peratus digalas olehnya dengan sepenuh hati, beralih ke bahu aku.

Aku, anak perempuan yang selama ini selalu merasakan Baba akan sentiasa ada mencukupkan kehidupan kami dan kini, realiti itu berubah 180 darjah.

Hargailah. Hargailah setiap kesempatan yang kalian punya, berbakti selagi daya, berdamping selagi ada, agar bila tiba saat berpisah dunia, hanya kenangan manis mengisi setiap relung dada.

Tahun ini kali kedua aku menyambut Hari Bapa, tanpa ada lagi seulas senyum lebar yang terukir bila aku berikan hadiah kecil sebagai tanda penghargaan.

Tiada lagi bebelan bila dia merasakan aku sekadar membazir wang membeli hadiah, walau cuma bingkisan murah yang tidak sebesar mana nilainya.

Tiada lagi semua itu, dan sama seperti tahun lalu, Hari Bapa kosong maknanya untuk aku.

Hidup tanpa kamu?

Sakit.

Hari tanpa kamu?

Perit.

Pagi tanpa kamu?

Sayu.

Malam tanpa kamu?

Pilu.

Rasa ini aku tahu takkan terhapus

Galau ini aku tahu takkan terluput

Kosong jiwa ini entah bila akan terkambus

Hidup, pasangnya mati

Teman, pasangnya sendiri

Maka meminggir pergi semua yang ada

Hilang, lenyap dibawa kamu jauh ke syurga

Selamat hari ini, Baba

Selamat, walau yang ada hanya tanah bernisan dua. - Getaran, 20 Jun 2021

Semua gambar: Sophia Ahmad
 

Isu Pada

YHB Sleepsalot Mencari Suara Sendiri

19 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Refleksi 3 minggu yang lalu

Wanita Hari Ini, Mydin Bergabung Salur Bantuan Kepada Anggota Barisan Hadapan

2

Refleksi 1 bulan yang lalu

Self Healing’ Pada Bulan Ramadan, Bikin Ibadah Makin Khusyuk

3

Refleksi 2 bulan yang lalu

Menangani Krisis Kejantanan

4

Refleksi 3 bulan yang lalu

UAI Kata Haram Tidur Dengan Patung Seperti 'Teddy Bear', Pejabat Mufti Bagi Penjelasan Berbeza

Sorotan

1

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

2

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

3

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

4

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

5

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

6

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

7

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini