Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Sejarah, Nostalgia, Kenangan Dan Senandung Semalam

Dalam keadaan serba tak kena sekarang ini, media sosial adalah segala-galanya. Tempat membibit kenangan, nostalgia dan sejarah yang menjadi penawar kepada kecamuknya perasaan.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 23 May 2021 11:00AM

Gambar: mforum.cari.com.my dan Twitter @gambarlama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Syawal masih lagi berterusan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) angkara wabak COVID-19 telah sekali lagi membatasi kita daripada menikmati keriangan menyambut Aidilfitri.

Dalam waktu yang sama, kekacauan tragedi serangan Israel ke atas Palestin bukan sahaja mencuri tumpuan dunia malah, turut mengalih fokus minda dan perasaan kita seketika, yang mana sebelumnya berduka lara kerana angan dan nikmat sambutan Aidilfitri hancur musnah.

Sepertimana peluru berpandu dan bom yang terus meratah, membedil dan menjadikan Gaza dan wilayah sekitarnya gegak gempita, membuatkan banyak bangunan nan gagah runtuh hancur menyembah bumi. Begitulah berkecainya rasa kita semua. 

Gambar fail
Gambar fail

Kita insaf, kita sedih dan kita marah. Selain kita berlumba-lumba bersatu menyatakan soladiriti kepada Palestin, sehingga tanda pagar #KOYAK tersohor seantero dunia, hati nurani kita juga terusik dengan malangnya sambutan Syawal warga Palestin.

Meski kita terkurung terbatas kehendak hati, kita masih boleh menyambut Aidilfitri dengan seadanya. Tidak semalang saudara seagama kita di sana yang umpama setiap saat menghitung hayat. 

Media sosial adalah medan kepada segala-galanya. Dalam keadaan dan situasi yang serba terhad, ia sedikit sebanyak membantu menjadi penawar atau terapi kepada kecamuknya perasaan. Ketika ini, nostalgia, kenangan atau sejarah digembur kembali. Buat mengubat rintih dihati. Cukuplah sekadar buat kita tersenyum sendiri.

Nostalgia, kenangan dan sejarah, ya, ibarat tiga beradik. Lain fizikal, lain tuntutan dan lain sifatnya.

Bak ujar Mason Cooley, (1972, Aphorist Amerika) ‘Nostalgia Paints A Smile On The Stony Face Of The Past’.

'Past', membawa maksud masa lalu atau sejarah, yang menurut William Wordsworth, (1770, Pujangga Romantik Inggeris) ‘Life Is Divided Into Three Terms; That Which Was, Which Is, And Which Will Be – Let us learn from the past to profit by the present, to live better in the future.'

Sementara kenangan atau memori pula menurut Oscar Wilde, (Pujangga dan penulis layar berbangsa Irish, 1880) ‘Memory Is The Diary We All Carry About With Us’. 

Sejarah yang bertanggungjawab membentuk kita semua pada hari ini

Dan kita yang ketika ini sedang lemas dalam kekalutan dan keterbatasan, mencari sedikit ketenangan dengan mengundang nostalgia untuk bertandang. Jangan menafi atau berbohong.

Kalian termasuk saya juga turut mencari-cari semula foto-foto lama, video atau lagu nostalgia yang bisa mencuit senyum bahagia di wajah, memekarkan bahagia seketika di hati. Nostalgia lazimnya sentiasa atau sesuatu yang indah. Yang mana kerap terimbas oleh minda kala jiwa tergugat sedih atau kecewa. 

Nostalgia punya kuasanya tersendiri. Ada waktunya berperan laksana perisai ampuh, kebal bertakhta, tiada tolok bandingan dan terus dipuja.

Sebagai contoh, paling mudah dan paling ringkas, lagu raya. Meski tiap kali menjelang Aidilfitri, pasti ada lagu baru sambutan perayaan lebaran akan dihasilkan.

Pun begitu, lagu-lagu klasik lebaran nostalgia juga yang terus dan tetap berkumandang (ada yang usianya melebihi usia 60 tahun!) dan berjaya menyuntik semangat atau ‘roh’ Syawal itu sendiri.  

Bak kata seorang teman, “Lagu raya baru entah apa-apa entah, lagu raya lama juga yang best.” Ya kawan, aku setuju tetapi untuk mengatakan semua lagu lebaran baru tiada roh atau kurang bermutu, ia agak subjektif.

Yalah, andai selalu dan sepanjang masa diputar atau ke udara, lambat laun, ia akan jadi nostalgia juga (andai karya itu punya tuah atau memang sangat bermutu).

Itu kisah lagu, andai kita ke pintu dunia perfileman kita, filem lakonan dan arahan Tan Sri P.Ramlee misalannya tetap nostalgia malar segar dan sentiasa gah bertakhta sepanjang zaman.

Buktinya, tiada tanda-tanda nyata karya seniman agung ini akan pupus atau mengundur diri dari terus menjengah generasi ke generasi seterusnya. Demikianlah hebat, kebal, ikonik dan ampuhnya nostalgia yang tidak mungkin tergugat oleh apa pun. 

Nostalgia punya kuasanya tersendiri. Ada waktunya berperan laksana perisai ampuh, kebal bertakhta, tiada tolok bandingan dan terus dipuja.

Kenangan pula lebih kepada memori yang berpaut pada rasa dan pengalaman. Masakan tidak ada wujudnya pertanyaan, ‘Apa kenangan manis, pahit, sedih, seram dan sebagainya?’

Kenangan dan memori boleh dipilih dan kita punya hak untuk memilih. Sama ada untuk menyimpan, mengenang, melupa, mengabai atau membuang. Kenangan selalunya bersifat sementara dan terimbau saat kita mengenang sesuatu dan dicetuskan pula oleh subjek yang mempunyai nilai nostalgia.

Pening bukan? Tetapi begitulah kaitan keduanya. Tanpa nostalgia yang bernilai, tidak mungkin kenangan akan pantas bertandang.

Sebagai contoh, saat lagu ‘Balik Kampung’ dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad berkumandang, kita semua mula membayangkan pelbagai kenangan.

Suasana kelam-kabut mengemas bagasi, menyampah dengan kesesakan di lebuhraya, pening dengan aroma tubuh penumpang yang duduk berjiran di sebelah kita dalam kereta api dan seterusnya lagi dan lagi dan lagi tiada sempadan dan tidak berpenghujung.  

Arena fesyen dan solekan juga jatuh dalam kategori ‘kenangan’ kerana paksi pusingannya berganti oleh pengaruh musim dan lagak terkini atau trend. Musim, lagak dan trend adalah nostalgia yang bersifat ikonik dan pastinya sangat berpengaruh dalam ubahan gaya pada wajah fesyen dan pentas peragaan.

Kumpulan KRU dan Feminin sekitar tahun 1994. Gambar: bingkisanhatimamavie.blogspot.com
Kumpulan KRU dan Feminin sekitar tahun 1994. Gambar: bingkisanhatimamavie.blogspot.com

Tidak percaya? Lihat sahaja Saddle Bag, Christian Dior yang kembali semula selepas adiwira fesyen John Galliano meninggalkan rumah fesyen itu. Malah, ia kembali bukan sahaja dengan material dan perincian baru malah, ia juga di ‘maskulin’ kan buat lelaki bercitarasa mewah di bawah jenama Dior Homme. 

Solekan cat eye atau si mata kucing gambaran nostalgia era lewat 60-an dan bertakhta sepanjang tahun 70-an. Pun begitu, nilai nostalgia atau retro membuatkan ia tetap kembali meski tidak terus kekal sepanjang musim.

Kenangan era itu mengundang nostalgia ketika ia hangat dan menjadi kewajipan buat semua wanita dan gadis. Era kelab malam dan disko cukup hangat ketika itu. Ini salah satu contoh mengisahkan betapa akrabnya nostalgia dan kenangan itu serta pengaruhnya dalam kehidupan sejagat kita semua. 

Kenangan dan memori boleh dipilih dan kita punya hak untuk memilih

Sejarah adalah awalan dan bermulanya sesuatu kewujudan. Sejarah tidak punya pilihan kerana ia akan tetap tercatat, ia tetap fakta tidak kira membahagiakan, membanggakan atau memeritkan. Itulah sifat sejarah yang boleh diringkaskan.

Kita belajar dari sejarah. Dari sejarah juga kita bangunkan masa hadapan dan sejarah juga mengajar kita kematangan dalam menghargai apa yang kita sebut pengorbanan.

Pun begitu, tidak semua sejarah harus kita kenang. Cukuplah sekadar kita tahu akan fakta dan peristiwanya. Kerana biarpun kita enggan mengenang sejarah yang sudah-sudah, apatah lagi sejarah yang sangat sensitif, ia tetap tidak akan pudar atau terpadam.

Ini kerana sejarah yang bertanggungjawab membentuk kita semua pada hari ini. Sejarah adalah fakta. 

Sejarah hanya dikenang oleh sebilangan individu yang menyaksikan kewujudannya, melaluinya sendiri dan pengalaman itu menjadi kenangan berfakta yang dititipkan dalam naskhah buku teks pendidikan sejarah. Itu secara ilmiah.

Peta Asia dari sekitar tahun 1594. Gambar: Raremaps.com
Peta Asia dari sekitar tahun 1594. Gambar: Raremaps.com

Andai untuk diri sendiri, ia adalah sejarah peribadi. Ada yang boleh diubah atau ditambahkan rencah. Semata-mata ingin nampak gah walhal, tiada sesiapa pun yang ingin ambil kisah.

Tetapi maaf, buat sejarah berfakta, rencah dan perisa tambahan hanya boleh diguna pakai andai ingin jatuh atau berada dalam kategori mitos dan dongeng. 

Mengubah sejarah ibarat kita mengubah jati diri, kerana sejarah adalah acuan fakta kepada kehidupan. Justeru, pelajarilah sejarah lalu ambil sahaja teladannya.

Andai niat mahu mencipta sejarah baru, pastikan ia bermanfaat bukan saja pada diri sendiri tetapi, buat generasi mendatang yang akan menjadi pewaris.

Biarlah sejarah baru menjadi pusaka yang bermutu. Bukan pusaka yang dikesali dan diungkit sepanjang waktu. 

Begitulah perihalnya nostalgia, kenangan dan sejarah yang berbeza tetapi saling berkait melengkapi antara satu sama lain. Ikoniknya nostalgia dimulai dengan sejarah. Dan manis atau pahit keduanya tetap terpahat menjadi kenangan.

Ketiga-tiganya akan sentiasa ada selagi minda dan perasaan kita tidak lapuk terjeruk atau terhapus oleh alpa dan lupa. Kita kini, hari ini akan terpahat menjadi sejarah buat masa akan datang.

Jadikan isu pendemik ini sejarah secepatnya. Sejarah yang tidak mungkin berulang, yang boleh kita lupakan, kita buang dan tidak sudi kita kenang.

Selagi kita cetek kesedaran, bersifat keakuan, percayalah, kita tidak akan menang dalam berjuang. Pilihan kini di tangan kita, apa mahu terhapus dimamah sejarah angkara keingkaran kita atau sama-sama berganding bahu mencipta sejarah manis menghentikan penyebarannya dari terus berleluasa?

Ini soal saya, tanya dari insan yang tegar dengan gelaran Manusia ‘Senandung Semalam’. - Getaran, 23 Mei 2021    

Isu Pada

Amyra Rosli, Menyemai Cinta

22 May 2021

Berita Berkaitan

1

Jelajah 3 bulan yang lalu

Pasar Jalan Pasola Kembalikan Nostalgia Melayu Klasik

2

Semasa 6 bulan yang lalu

KFC Menggamit Nostalgia, Netizen Sebak Imbas Memori Di Waktu Kecil

3

Filem & TV 9 bulan yang lalu

Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia Singkap Sejarah Perfileman Negara

4

Semasa 10 bulan yang lalu

Pokok Getah Tertua Di Malaysia Bernilai Hampir RM200,000 Perlu Jagaan Rapi

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini