Kemeriahan di Negeri Sabah dan Sarawak bakal tiba tidak lama lagi apabila masyarakat disana akan meraikan dua perayaan terbesar mereka iaitu Tadau Kaamatan dan Hari Gawai.
Perayaan tersebut masing-masing akan setiap tahun pada 30 dan 31 Mei di Sabah dan Labuan, manakala Sarawak pula tertamanya suku Dayak akan menyambut pada 1 dan 2 Jun.
Perayaan Tadau Kaamatan dan Hari Gawai turut diraikan bersama snek atau kuih tradisional mereka yang enak. Persoalannya, pernahkah anda mengenali kudapan yang berasal dari Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Keyalang ini?
Oleh itu, mari kenali lima kudapan unik dari Sabah dan Sarawak yang mungkin anda tidak tahu dan wajib mencubanya untuk dijadikan snek di rumah:

Kuih Sarang Semut atau Kuih Jala
Sarang Semut dari Sarawak ini seakan-akan sama seperti dengan Kuih Karas dari Semenanjung Malaysia. Ia diperbuat daripada adunan tepung pulut, tepung ubi kayu, dan gula seterunya digoreng panjang dan nipis. Sarang semut ini juga memiliki tekstur yang rangup, lembut dan sedikit kenyal.
Selain itu, ia turut dikenali sebagai Kuih Jala, dan menjadi kegemaran kanak-kanak mahupun orang dewasa kerana kelazatannya. Rasa lemak dan tidak terlalu manis pada kuih ini pasti mengasyikkan di setiap gigitan anda. Apatah lagi jika ia dimakan sambil menonton televisyen, fuh! Pasti menyelerakan.

Penganan
Penganan pula adalah makanan tradisional dari Sarawak yang dihasilkan dengan menggoreng adunan tepung beras, gula, dan santan. ‘Kek mini’ ini rasanya manis-manis dan sedikit masin serta memiliki tekstur rangup di bahagian luar namun lembut dan kenyal di dalamnya.
Ia sesuai dihidangkan panas-panas bersama teh atau kopi. Bagaimanapun perlu diingatkan memandangkan ia makanan bergoreng, nikmatilah penganan ini secara terkawal dan seimbang.

Hinompuka (Kuih pulut kukus)
Hinompuka pula merupakan makanan tradisi Kadazan yang berasaskan pulut tetapi ia sangat berbeza daripada lemang. Kuih pulut kukus melekit ini dibalut bersama daun pisang dan memiliki rasa manis serta lemak berkrim dengan tekstur yang kenyal.
Sesetengah resipi menggunakan santan untuk meningkatkan lagi rasa lemak, bahkan ada juga yang menggunakan gula merah untuk menambahkan rasa manis dan wangi kuih tersebut.
Rasanya unik kerana ia terhasil daripada penambahan ekstrak pandan, pisang atau keladi parut ke dalam adunan. Menjadikan kiuh ini sesuai bagi anda yang menggemari perisa yang lebih halus dan sedikit ringan.

Tebaloi
Tebaloi adalah biskut sagu dan makanan tradisional dari masyarakat Melanau ini mendapat permintaan tinggi dari serata Borneo. Diperbuat dari tepung sagu, kelapa, gula dan telur, tebaloi boleh didapati dalam pelbagai perisa dan warna-warna menarik.
Uniknya, kepingan biskut tebaloi ini dibakar menggunakan kaedah panggangan kayu api untuk meningkatkan lagi rasa dan aroma pada setiap gigitan anda.
Bambangan
Buah bambagan dari kepulauan Borneo ini sering kali dikelirukan dengan mangga. Ia memiliki kulit coklat tebal dan haruman yang tersendiri. Buah ini boleh dan dimakan begitu sahaja atau dituai mentah untuk dijeruk dengan garam. Kemudian campurkan dengan biji bambangan yang diparut serta sedikit potongan cili untuk disajikan semasa pesta Kaamatan.
Jika dimakan begitu sahaja, bambangan mempunyai rasa masam dan unik yang serupa dengan mangga atau nangka. Pasti kecur air liur dan ia boleh membuatkan anda makan tanpa henti. - Getaran, 21 Mei 2023