Jenama kek dan kafe kegemaran ramai, Secret Recipe memang tidak asing menjalinkan kerjasama dengan barisan selebriti untuk meraih perhatian meluas dalam perniagaan mereka. Terbaharu, jenama ini mengundang Chef Anis Nabilah untuk bertamu di dapur mereka bagi menghasilkan menu Ramadan Raya kali ini.
Bersama Chef Anis, Secret Recipe mempertaruhkan hidangan nasi kerabu yang digemari ramai. Berbeza dengan yang dijual di tempat lain, nasi kerabu yang dihasilkan di sini merupakan gabungan citarasa tradisional dan moden.
Jika yang biasa anda makan mempunyai budu, di Secret Recipe tiada budu dimasukkan. Selain itu ulaman yang digunakan juga berbeza, di mana ia menggunakan kubis ungu.
Dinamakan sebagai Nasi Kerabu Specials, hidangan istimewa baharu ini menampilkan tiga variasi iaitu Nasi Kerabu, Nasi Kerabu Ayam Percik dan Nasi Kerabu Ikan Saba Percik.
Setiap pinggan mempunyai nasi herba yang ringkas dan berperisa yang turut disajikan bersama sayur-sayuran segar, keropok ikan, telur masin, sos kelapa pedas, sambal dan pilihan protein yang dimahukan.
“Biarpun saya memilih untuk memberi sentuhan moden kepada hidangan ini, tetapi saya cukup teliti dalam menghasilkan resipi. Saya tidak mahu pengubahsuaian resepi menjejaskan rasa sehingga mengganggu pengalaman menjamu selera. Saya mahu berikan yang terbaik dan saya berterima kasih kepada pasukan Secret Recipe kerana mereka banyak membantu.”
“Satu keistimewaan nasi kerabu ini ialah kami datangkannya bersama kuah lemak kuning yang pekat untuk digaul bersama nasi. Saya buat kuah ini kerana mengambil kira kesukaan rakyat Malaysia yang gemar menikmati nasi bersama kuah. Selain itu, saya juga gunakan kubis ungu sebagai pilihan yang lebih sihat,” ujar Anis ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Secret Recipe baru-baru ini.
Mengulas lanjut tentang kolaborasi terbaharunya itu, chef kecil molek ini sempat melahirkan kesyukuran atas peluang yang diberi.
“Sebagai seorang chef, saya rasa teruja untuk bereksperimen dengan hidangan yang mungkin kelihatan biasa kepada orang lain. Ia membolehkan saya menerokai pelbagai rempah ratus, herba dan ramuan, dan akhirnya menghasilkan rasa yang baru dan menarik.”
“Kolaborasi ini amat menyeronokkan kerana saya gemar meneroka pelbagai ciptaan masakan semasa musim Raya. Ia membangkitkan semangat saya untuk teruskan perjalanan saya dalam bidang memasak dan membolehkan saya meneroka pelbagai jenis hidangan,” ulas Anis.
Untuk melengkapi hidangan yang menyelerakan ini, Anis Nabilah juga telah mencipta dua minuman unik baharu untuk pelanggan Secret Recipe.
Kurma Calamansi Fizz menggabungkan kemanisan dari buah kurma dengan rasa limau kasturi yang bertenaga, manakala Ice Blended Onde-Onde ialah minuman berasaskan kelapa yang diilhamkan daripada pencuci mulut tradisional yang dinamakan sempena namanya.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita dimanjakan dengan kepelbagaian pilihan makanan. Musim Ramadan dan raya ini, kami berbesar hati untuk membawa kembali salah satu hidangan perayaan kami yang paling laris dan menu raya kegemaran sepanjang masa - Nasi Kerabu Specials, dengan sentuhan istimewa oleh chef selebriti, Anis Nabilah.”
“Proses untuk mencipta semula menu ini amat menyeronokkan, dengan eksperimentasi profil rasa yang berbeza untuk memenuhi selera yang paling digemari rakyat Malaysia,” ulas Ketua Pemasaran Secret Recipe, Evelyn Lee pula.
Sebagai pilihan utama rakyat Malaysia yang menggemari pencuci mulut, Secret Recipe juga telah memperkenalkan kek Onde Onde baharu dalam rangkaian kek Platinum Collection, khusus untuk musim Ramadan ini.
Diterjemahkan daripada kuih onde-onde kegemaran rakyat Malaysia, Kek Onde-Onde ini adalah hasil ciptaan krim kelapa yang diapit di antara span pandan yang gebu, dihiasi dengan krim Gula Melaka dan kepingan kelapa.
Nasi Kerabu Specials dan Kek Onde Onde Secret Recipe kini boleh didapati di semua cawangan Secret Recipe di Semenanjung Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai menu Ramadan dan Raya, layari www.secretrecipe.com.my.
Secret Recipe, Jenama Halal Yang Dipercayai
Dalam perkembangan lain, baru-baru ini Secret Recipe telah diberi penghormatan dengan beberapa anugerah, termasuk anugerah Platinum untuk kategori Produk atau Perkhidmatan Halal Terbaik yang baru diperkenalkan di Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2022.
Pengiktirafan ini memperkuat komitmen Secret Recipe untuk menyediakan produk dan perkhidmatan Halal berkualiti tinggi.
Selain memenangi anugerah Platinum, Secret Recipe juga telah diiktiraf dalam beberapa kategori lain di SOBA 2022, termasuk Perniagaan Terbaik Malaysia, Platinum untuk Jenama Terbaik, Emas untuk Inisiatif Hijau Terbaik dan Terbaik dalam Runcit.
Anugerah-anugerah ini menunjukkan kecemerlangan Secret Recipe dalam pelbagai aspek perniagaan, daripada kelestarian hinggalah pengalaman pelanggan.
Selain itu, pengasas Secret Recipe, Datuk Steven Sim, menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang untuk Usahawan Lelaki Terbaik. Pengiktirafan ini menonjolkan kepimpinan beliau yang berwawasan dan kejayaan jenama Secret Recipe di bawah bimbingannya. - Getaran, 9 April 2023