Berita Terkini

14 jam yang lalu: Mangsa banjir di Batu Pahat tinggal 444 orang setakat 4 petang 14 jam yang lalu: Sesi libat urus perluas sistem pembayaran terbuka lebuh raya - Salahuddin 14 jam yang lalu: Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM3.22 juta 14 jam yang lalu: Pemohon Skim SRP masih boleh dapat pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan 14 jam yang lalu: 20,041 kes hilang wang daripada institusi perbankan di Malaysia pada 2022

IKUTI KAMI


Ramadan Di Rantauan: Serupa Tapi Tak Sama

Lain padang lain belalang. Walaupun beragama sama, tapi ada perbezaan nipis cara umat Islam di negara lain beribadat. Tetapi tidak bermaksud keindahan Ramadan berkurangan.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 May 2021 11:30AM

Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kali pertama saya berpuasa di luar negara sebagai orang dewasa, 21 tahun lalu. Ketika itu saya masih belajar dan kebetulan pula Ramadan jatuh pada musim sejuk, jadi tempoh puasa adalah pendek. Tapi lebih dari itu, yang membuat saya seronok sekali ialah apabila diberitahu pusat solat kampus menganjurkan solat tarawih setiap malam. 

Solat tarawih adalah ibadat sunat bulan puasa kegemaran saya dan dengan keluarga yang beribu batu jauhnya ketika itu, peluang untuk bersama-sama dengan umat Islam yang lain sedikit sebanyak mengubat rindu.

Saya terbayang-bayang waktu solat tarawih berjemaah di rumah bersama keluarga (keluarga saya memang setiap tahun berjemaah di rumah sahaja) dan juga sesi tarawih di pusat ibadat sekolah ketika di asrama dahulu. Ah, seronoknya bersama kawan-kawan!

Suasana solat Tarawih di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman
Suasana solat Tarawih di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman

Jelas lagi di ingatan saya bagaimana, pada malam pertama saya ke pusat solat kampus, saya terkejut sedikit apabila tatacara solat tarawih tidak sama dengan apa yang pernah saya alami. 

“Eh, mana part yang bilal baca kita sambut tu?” bisik saya kepada kawan saya di sebelah. “Kenapa mereka terus bangun lepas salam yang kedua?” 

Kawan saya tersenyum dan membisik kembali, “Oh, kau ingat sama ya macam di Malaysia? Tak, di sini lain sikit.” Saya mengangguk dan saya ingat lagi, saya berasa sedikit kecewa. “Alah, tak seronok la tarawih macam ni,” ujar hati kecil saya. 

Sepulangnya ke bilik, saya termenung memikirkan pengalaman itu dan lantas beristighfar. Rupanya saya terlalu fokus kepada ritual dan keseronokan dan bukan kepada intipati ibadah tarawih itu sendiri. 

Pengalaman itu menginsafkan saya dan membuka mata saya akan ‘keantarabangsaan’ agama Islam itu sendiri, serta amalan-amalan yang ada.

Yalah, apabila ada pelajar dari seluruh pelusuk dunia datang belajar di sebuah negara di mana tiada tradisi Islam yang sudah lama bertapak, tentunya ada kepelbagaian dan hakikatnya dalam kepelbagaian itulah ada keindahan. 

Saya sebenarnya agak bertuah, kerana walaupun berada di negara bukan Islam, ramai penduduk Muslim di sini.

Tambahan pula, saya tinggal di bandar yang ada beberapa universiti.  Ini bermakna selain dari masjid tempatan, juga ada Persatuan Agama Islam universiti yang ada ruang solat khas atau menyewa dewan sempena Ramadan. Ramai rakan-rakan saya yang bekerja atau belajar di luar negara tidak dapat menikmati suasana ini. 

Sempena Ramadan, penduduk Muslim setempat pula berebut-rebut untuk bersedekah dan seringkali ia dalam bentuk tajaan hidangan juadah berbuka di masjid atau pusat ibadat. Jadi, kalau gemarkan nasi Arab atau briyani, tidak susah untuk mendapat bekalan tersebut hari-hari kalau rajin ke masjid.

Ada juga yang menaja juadah selepas bertarawih - sama seperti moreh di Malaysia. Tapi kuihnya tidak sama lah seperti kuih-muih kita, walaupun teh susu yang dihidangkan mirip rasanya dengan teh tarik. 

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya memang tidak ke masjid lagi untuk bertarawih.

Tidak, bukan kerana tidak suka dengan kaedah atau cara ia dilakukan, tetapi kerana waktu Isyak terlalu lewat, sekitar jam 10.30 -11 malam dan tanpa kenderaan sendiri, timbul isu keselamatan apabila pulang ke rumah jauh lewat malam atau awal pagi. 

Tambahan pula, masjid terdekat dengan rumah saya tidak ada ruang solat untuk wanita - ini sebenarnya satu kelaziman di sini, tapi ini cerita lainlah. Jadi saya melaksanakannya di rumah sahaja, atau bersama kawan-kawan pada hujung minggu bila tiada kekangan kerja keesokkan harinya.

Sebenarnya, peranan kawan-kawan dalam menjalani ibadah puasa di luar negara ini agak penting bagi saya, terutamanya mereka yang sama-sama berpuasa. 

Yang paling saya risaukan adalah bangun sahur. Pernah ketika saya belajar di Lancaster, saya, seorang rakan yang tinggal di London dan seorang lagi yang berada di Madrid melaksanakan ‘buddy system’ melalui aplikasi chat ‘Yahoo Messenger’. 

Bukanlah suatu yang luar biasa pun dan saya pasti ramai sahaja yang berbuat perkara yang sama. Tetapi saya berasa rindu kepada ketika itu lebih-lebih lagi salah seorang dari kami telah pun pergi menghadap Ilahi. 

Satu lagi perkara yang saya agak kekok, ialah untuk makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan, walaupun berada di negara di mana hanya 5 peratus penduduknya beragama Islam (dan mungkin lebih rendah peratusannya yang berpuasa). 

Tiada siapa yang kisah pun dan tidak menjadi isu kepada sesiapa, tetapi saya tetap teragak-agak untuk duduk makan atau minum. Seolah-olah masih ada mata yang memerhati dan bakal menyaman saya kalau terjumpa!

Walaupun sudah dua puluh tahun, tabiat itu masih kuat - jadi saya akhirnya bungkus (dalam plastik yang bukan berwarna hitam) dan makan di rumah sahaja. 

Tetapi, yang saya rasa paling ‘menarik’ di sini ialah, episod melihat anak bulan - sama ada di awal dan juga di akhir Ramadan. Di Malaysia, kita ada kesepakatan dan kita ikut pengumuman di peringkat negara. 

Di sini, oleh kerana tiada badan agama khas, seringkali ada khilaf tentang bila anak bulan kelihatan. 

Menjadi kebiasaan untuk setiap masjid yang menetapkannya dan timbul isu apabila ada yang ikut Arab Saudi, ada yang ikut negara Islam terdekat (iaitu Morocco) dan ada pula yang mengikut negara asal majoriti jemaah masjid tersebut (contohnya: Pakistan atau Turki). Dan setiap tahun, pasti, akan ada perbezaan pendapat! 

Lumrah, di bandar yang agak ramai penduduk beragama Islam seperti Birmingham, untuk ada kumpulan yang menyambut hari raya pada hari-hari berbeza! 

Media sosial pun akan riuh dengan debat antara mereka di mana masing-masing berasa mereka betul dan setelah 1 Syawal tiba dan berlalu, ada ‘gencatan senjata’ sehingga Ramadan tahun depan. 

Kini tinggal hanya sepuluh hari sebelum Ramadan meninggalkan kita - jadi tidak lama lagi, pasti ‘kemeriahan’ debat nampak-tak-nampak anak bulan ini bermula! 

Sempena Ramadan yang akan melabuhkan tirai tidak lama lagi, dalam siri keempat dan terakhir minggu hadapan, kita berkongsi cerita berhari raya di tempat orang pula. - Getaran, 2 Mei 2021



Semua gambar kecuali tertera: Arkib Idlan Rabihah

 

Isu Pada

Membelah Suara Uyaina Arshad

01 May 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 jam yang lalu

Anwar Berbuka Puasa Bersama Rakyat Malaysia Di Jeddah

2

Semasa 1 hari yang lalu

Agong Nasihat Umat Islam Elak Bazir Makanan Di Bulan Ramadan

3

Semasa 1 hari yang lalu

Umat Islam Malaysia Mula Berpuasa Esok

4

Semasa 2 hari yang lalu

Agensi Agama Islam Perlu Kreatif Anjur Aktiviti Ibadah Bulan Ramadan

Sorotan

1

Jangan Salahkan Media, Isu Perkauman Ini Ahli Politik Yang Mulakan!

2

Tambang Bas Sekolah: Jangan ‘Cekik Darah’, Ikut Tempoh Perkhidmatan, Adakan Perbincangan

3

Perkhidmatan Kesihatan Umum ‘Diketepikan’ Demi Perumahan Mewah? NGO Saran Adu Pihak Berkuasa