Sebagai salah seorang tenaga pengajar yang pernah terlibat dalam program Mentor 3 pada 2009 dan Akademi Fantasi 2016, Ellie Suriaty ternyata mempunyai pandangan tersendiri terhadap peranan seseorang karyawan seni dalam sesebuah program realiti hiburan berbentuk nyanyian.
“Apa yang ingin saya lontarkan ini adalah pandangan dari sudut industri kreatif. Dalam sesebuah program realiti hiburan seperti Mentor, Akademi Fantasia mahu pun Famili Duo sekali pun, setiap persembahan mingguan yang dipersembahkan setiap peserta memiliki konsep atau temanya sendiri.
“Akan tetapi kita juga tidak boleh menjadi terlalu ‘rigid’ atau mengikut buku jika mahukan seseorang peserta itu berkarya dengan kreatif melalui kandungan kreatif mereka kerana apabila memperkatakan tentang karya yang harus berpandukan kepada sesebuah konsep atau tema, ia adalah sesuatu yang subjektif.

“Misalnya, jika kita bercakap pasal tema Irama Malaysia, kita harus memberikan laluan kepada peserta untuk menjadi kreatif tentang versi dan rendisi dalam mempersembahkan genre muzik tersebut. Lainlah, kalau kita memang mencari peserta mana yang menyanyi paling sedap,” katanya.
Jelas Ellie lagi, andai kata kita mengekang seseorang peserta untuk berkarya dengan kandungan kreatifnya, ia akan akan menghalang mereka daripada mengeluarkan ‘signature’ mereka sendiri.
“Daripada sudut perspektif itu, kita harus memberikan kemerdekaan untuk mereka menzahirkan karya mereka dengan kreatif melalui konsep yang diberikan.
“Sebagai orang kreatif, kita kena berjiwa besar dan berfikiran luas. Dalam konteks program realiti hiburan berbentuk nyanyian , apa yang perlu diutamakan adalah persembahan mereka di pentas.
“Ia bukan tentang apa yang kita mahu atau apa yang kita suka. Ia tentang mereka dan karya mereka di pentas. Kita juga tidak boleh mengharapkan mereka mampu menyanyikan lagu Irama Tradisonal dengan cara yang klasik andai mereka genre muzik itu bukanlah ‘makanan’ mereka.
“Kalau peserta itu bukan penyanyi lagu tradisional, kita tidak tak boleh ubah dia menyanyikan lagu Melayu Asli. Tapi, apa yang harus kita lihat adalah bagaimana dia menggunakan range vokalnya itu untuk mengeluarkan signature mereka.
“Dalam program seperti itu, kita menangani ramai peserta atau pelajar dalam kerjaya kita, kita tidak boleh terlalu emosi apabila menangani mereka, sebaliknya kita harus memberikan ruang untuk mereka berkembang dengan bakat yang mereka ada,” katanya.

Mengulas tentang insiden Sissy Iman yang menerima komen pedas daripada juri Mas Idayu, Ellie berkata, dia sempat menyaksikan program konsert mingguan tersebut.
“Betul, kita harus terima kritikan kerana kritikan membantu kita untuk terus belajar dan memperbaiki kesilapan. Tapi, seperti yang saya katakan awal tadi, sesebuah karya itu tidak boleh dilihat melalui warna mereka atau hitam.
“Dalam karya kreatif, kita harus melihatnya daripada pelbagai sudut serta rangenya. Bila mereka berkreatif dengan lagu dan persembahan mereka, kita kena tengok cara mereka berkarya.
“Sejujurnya, saya sangat suka dengan idea persembahan Sissy dan Naim. Mereka berjaya bawakan tema lagu keroncong dengan cara persembahan yang cukup berbeza. Kalau kita mahu lagu lama diminati lapisan anak muda zaman sekarang, kita harus membenarkan mereka melakukan interpretasi mereka sendiri terhadap lagu tersebut.
“Apabila kita mendengar cara mereka membawakan lagu lama dengan versi dan rendisi menerusi ‘signature’ mereka yang tersendiri, kita sendiri tidak menyangka hasilnya akan jadi sebegitu.
“Mereka berjaya tampilkan karya lagu yang sangat segar tetapi masih kekal dengan elemen nostalgia dan susunan muzik pada lagu itu juga sangat menarik untuk orang-orang muda. Kita harus raikan ‘signature’ seseorang penyanyi.
“Penyanyi yang punya signature selalunya memiliki bakat yang luar biasa. Kalau kita meletakkan corak tertentu mengikut apa yang kita ahu atau apa yang kita suka, ia akan menjadi ‘mediocre’. Itulah sebetulnya karya kreatif tidak kira sama ada ia di dalam nyanyian, lakonan, penulisan mahu pun lukisan,” katanya.

Sambung Ellie lagi, kita juga harus memberikan motivasi kepada seseorang penyanyi yang berani meletakkan signature mereka dalam nyanyian mereka.
“Kita juga tidak tahu apa ‘backstory’ Sissy Iman tatkala membawakan lagu itu di pentas. Kita tahu apa peristiwa yang dihadapinya dan kita tidak tahu apa yang dilalui saat membuat persiapan.
“Betul, kalau hendak duduk lama dalam industri kreatif, kita kena jadi kuat dari sudut fizikal dan mental. Tapi, kita juga harus mempunyai empati jika kita mahu ‘groom’ atau ‘develop’ seseorang bakat seni.
“Sebagai orang berpengalaman, kita kena bagitau mereka supaya menjadi kuat tetapi pada waktu yang sama kita juga perlu mempunyai empati dan penilaian yang dibuat juga haruslah bersifat profesional.
“Saya berharap pendatang baru seperti Sissy Iman haruslah kuat terima kritikan untuk membina kekuatan diri. Tidak perlu terlalu kecewa dengan signature persembahan anda.
“Siapapun yang berdiri atas landasan industri kreatif kena kuat dan belajar banyak perkara daripada orang yang berpengalaman seperti Mas Idayu dan Ajai,” katanya mengakhiri bicara. – Getaran, 4 Februari 2023