Sikap curang memang sering dikaitkan dengan golongan lelaki, baik yang sudah berkahwin mahu pun yang belum.
Hakikatnya, sikap curang juga turut berlaku di kalangan wanita. Bahkan, semakin banyak kes curang melibatkan wanita telah dilaporkan sebelum ini.
Menurut kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), sebanyak 11.8 peratus lelaki mahukan perceraian kerana isteri mereka curang.
Manakala, di pihak wanita pula, 20.5 peratus wanita ingin perceraian kerana sikap curang suami mereka.
Melihat angka statistik ini, jelas membuktikan bahawa peratus kecurangan lelaki dan wanita yang sudah berkahwin sebenarnya tidak ada jauh bezanya. Tapi, apa sebabnya wanita yang sudah berkahwin bersikap curang?

Faktor balas dendam
Jika lelaki boleh bersikap curang, mengapa wanita tidak boleh berbuat perkara yang sama? Inilah motto yang diamalkan segelintir isteri apabila mereka mendapat tahu kecurangan suami mereka.
Sebagai suatu cara untuk membalas dendam, isteri cuba berbuat perkara yang sama supaya suami dapat merasai apa yang mereka rasai apabila dicurangi. Ada suami yang memberitahu, mereka serik untuk berlaku curang selepas isteri juga berbuat perkara yang sama.

Faktor Jarak Usia Yang Jauh Beza
Wanita yang berkahwin dengan lelaki yang beza usia lebih daripada 10 tahun didapati mudah berlaku curang. Suami yang lebih berusia mempunyai pemikiran, sikap, minat dan gaya hidup yang berbeza yang disifatkan amat membosankan. Apatah lagi, kebanyakan mereka tidak gemar melakukan aktiviti yang adventurous secara spontan.

Faktor Kewangan
Kedudukan kewangan suami yang juga penyebab isteri berlaku curang. Lebih-lebih lagi apabila suami yang dahulunya kaya kini sudah tidak punya apa-apa.
Isteri yang sudah tidak sanggup lagi hidup susah mula berlaku curang dengan menjalinkan hubungan dengan lelaki lain yang lebih kaya atau berkedudukan.
Pepatah ada mengatakan, seseorang isteri diuji kala suaminya susah dan suami pula menerima ujian apabila dirinya tidak punya apa-apa.

Faktor kurang romantis
Wanita memang gemar dicintai, dibelai dimanja. Apabila suami sudah mula menunjukan tanda-tanda kurang romantis atas alasan sudah berkahwin, isteri mula berasakan mereka sudah kurang mendapat belaian manja yang diinginkan itu.
Mereka mula berdamping dengan lelaki lain yang dikenali di platform online dating untuk bercinta semula dan berasa kembali muda.
Pernah muncul dalam berita tentang seorang wanita berusia yang sanggup tinggalkan suami kerana tergila-gilakan lelaki warga Nigeria yang dikenalinya di online dating atas alasan lelaki itu sangat romantis, sangat mengambil berat, sangat menghargainya dan sangat mencintainya.

Faktor seks
Ya, ini juga adalah antara masalah utama yang menjadikan isteri banyak berlaku curang kepada suami. Apabila isteri gagal mencapai kepuasan seks atau kurang mendapat seks daripada suami, mereka mula mencari cara lain untuk memuaskan nafsu mereka.

Faktor sering ditinggalkan
Atas tuntutan kerja, ada di antara suami yang terpaksa bekerja di luar selama berbulan-bulan untuk mencari nafkah buat keluarga. Namun, ia juga menjadi penyebab isteri berada kesepian dan tidak punya peneman untuk mendengar cerita, keluh-kesah atau tawa-ria mereka.
Bagi mengatasi rasa sepi dan bosan, isteri mula berdamping dengan lelaki lain. Mungkin, pada awalnya hanyalah sekadar seorang teman, tapi kemudian ia menjadi teman tapi mesra.
Faktor lelaki gagal menjadi seorang suami
Ya, suami adalah ketua dalam sesebuah rumahtangga. Tanggungjawab suami adalah melindungi keluarga dan memastikan segala keperluan untuk keluarga disediakan. Namun, ada juga suami yang lari daripada tanggungjawab dan menyerahkan segala-galanya kepada isteri.
Isterilah yang cari duit, isterilah yang membayar segala bil, pinjaman bank besarkan serta keperluan dapur, isterilah yang menjaga dan membesarkan anak. Isteri mana yang tahan? Usah salahkan isteri kalau mereka cari lelaki lain.

Faktor kurang persefahaman
Ada suami yang sering mencari salah isteri. Itu tidak kena, ini tidak kena. Apabila sering bertengkar, ia boleh mencetuskan rasa tidak bahagia di dalam perhubungan rumahtangga. Isteri mula memikirkan, apa salah mereka dan mengapa mereka perlu terima dan hadap perkara-perkara seperti ini. Mereka perlu cari kebahagiaan yang diimpikan.

Faktor suami psiko
Ya, ada segelintir suami yang psiko dan gemar mendera isteri sama ada secara fizikal atau mental. Awalnya, isteri akan terima apa sahaja yang suami lakukan demi kerana cinta serta mempertahankan rumahtangga mereka.
Tetapi, akan tiba suatu saat si isteri akan tersedar bahawa mereka tidak boleh diperlakukan sesuka hati dan akan mula bangkit setelah menemui kekuatan diri mereka sendiri. Isteri akan mula ‘rebel’ dan mencurangi suami mereka sendiri. – Getaran, 1 Oktober 2022