Pada suatu malam yang larut dan pekat, kelihatan dua orang penyanyi wanita sedang sibuk menjayakan rakaman video muzik lagu duet mereka di sebuah kediaman mewah yang terletak di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur.
Penulis hadir menyaksikan rakaman video muzik itu dan teruja apabila mendapat tahu bahawa kedua-dua penyanyi wanita itu adalah Nabila Razali dan Keisya Levronka.
Wow! Dua orang penyanyi berlainan negara ini dipertemukan untuk menjayakan lagu duet, 'Tak Ingin Usai' yang sebelum ini dinyanyikan secara solo oleh Keisya Levronka sendiri.
'Tak Ingin Usia' adalah single keempat Keisya Levronka yang menjadi kegilaan ramai, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia sendiri. Bahkan, lagu ciptaan Mario G Klau yang turut menggunakan khidmat Tohpati sebagai produser ini menjadi trending di YouTube dan TikTok dengan berjuta-juta tontonan.
Kini, versi duet 'Tak Ingin Usai' yang dijayakan Keisya bersama Nabila bakal muncul pula dan pasti akan memanjangkan lagi hayat lagu ini untuk terus digilai ramai. Benarlah kata beberapa karyawan muzik, adakalanya kejayaan seseorang penyanyi bergantung kepada sesebuah lagu.
Jika lagu yang dimiliki benar-benar sedap dan hit, ia mampu membawa penyanyi dan lagu itu sendiri jauh merentasi benua lain, apa lagi muzik itu sendiri adalah suatu bahasa yang cukup universal dan di sepanjang perjalanan inilah takdir menemukan Nabila dan Keisya.
Platform YouTube Bermula Segalanya
Segalanya bermula apabila Nabila mula menghasilkan versi cover 'Tak Ingin Usai' di platform YouTube.
“Saya menghasilkan versi cover ini kerana secara peribadi saya sangat menyukai lagu itu dan saya membawakannya dengan sepenuh jiwa. Tidak sangka pula ia menerima respon yang bagus daripada banyak pihak termasuk peminat saya, orang-orang yang tidak pernah kenal diri saya, mahu pun masyarakat Indonesia sendiri.
“Dan, akhirnya ia menjadi satu titik permulaan untuk saya bergandingan dengan Keisya di dalam lagu ini. Bahkan, ia sesuatu yang baharu saya lakukan dalam kerjaya seni saya untuk penghasilan lagu duet.

“Selalunya saya hanya bekerja dengan komposer yang sama untuk lagu-lagu solo. Tapi, ini adalah duet yang pertama. Tak sangka saya dapat menyanyi bersama pelantun lagu itu sendiri.
“Saya teruja dan gusar pada masa yang sama kerana duet ini dijayakan bersama penyanyi dari luar negara. Terima kasih kepada pasukan Universal Music Malaysia dan juga pasukan pengurusan saya sendiri. Perkara ini tidak mungkin akan terjadi tanpa mereka,” katanya yang lebih mesra disapa sebagai Bella.
Keisya pula memberitahu, dia mula mengenali Nabila sewaktu versi cover lagunya itu menjadi trending di YouTube.
“Saya sangat menyukai suara Nabila. Kemudian, label saya iaitu Universal Music Indonesia menawarkan kesempatan untuk berduet dengannya.
“Saya terus katakan ya. Mengapa tidak? Bagi saya yang penting adalah jiwa yang diberikan ke dalam lagu ini. Nabila suka dengan lagu saya. Jadi sudah tentu saya mengatakan ya,” katanya.
Pengalaman Bekerja Bersama
Nabila akui bahawa dia sangat memandang tinggi Keisya sebagai seorang penyanyi.
“Walaupun jadualnya sangat ketat kerana perlu memenuhi pelbagai promosi yang melibatkan 'Tak Ingin Usai', namun dia sempat meluangkan waktu untuk menjayakan video muzik versi duet kami untuk lagu itu.

“Bekerja dengan Keisya sangat mudah. Dia seorang yang baik dan sepanjang proses rakaman video muzik itu, banyak benda yang kami bualkan. Ia satu pengalaman yang sangat manis sepanjang kerjaya saya di dalam industri muzik.
“Kini, kami berbalas DM dan waktu saya ke Jakarta tempohari lalu, saya ada menghantar mesej kepadanya. Tapi, dia pula ke Malaysia. Saya harap gandingan kami akan dapat memberikan impak pada semua khususnya industri muzik di kedua-dua negara,” tuturnya.
Jelas Keisya lagi, rakaman video muzik 'Tak Ingin Usai' versi duet mereka adalah kali pertama dia dipertemukan dengan Nabila.
“Saya gembira berjumpa dengan Nabila. Ia suatu kesempatan yang luar biasa buat saya. Kami banyak berbual tentang kerjaya muzik masing-masing sehinggalah kepada apa yang ada di Malaysia dan di Indonesia.
“Kami berbual sampai pagi. Saya seronok kerana dapat belajar banyak perkara daripada Nabila tentang kerjaya muziknya. Konsep video muzik ini juga bagus dan kami berusaha memberikan yang terbaik sepanjang proses rakaman video muzik itu dilakukan,” jelasnya.
Strategi Rentas Pasaran
Ya, nyata sekali penghasilan lagu versi duet 'Tak Ingin Usai' adalah salah suatu strategi daripada pihak label Universal di Malaysia dan Indonesia untuk mengetengahkan Nabila dan Keisya ke pasaran muzik di kedua-dua negara ini.

“Saya tak nafikan ini adalah adalah salah satu pintu untuk saya kembangkan sayap di Indonesia dan saya sendiri adalah penggemar muzik dari negara sana.
“Jadi saya memang gembira apabila dapat menjayakan projek ini. Saya harap ini bukan suatu penamat tapi permulaan untuk saya meneruskan kerjaya saya sebagai anak seni untuk harumkan nama Malaysia,” kata Nabila.
Bagi Keisya pula, dia menganggap bahawa strategi rentas pasaran itu dapat memberi manfaat kepada kerjaya muzik mereka.
“Nabila mampu melebarkan sayapnya di Indonesia dan begitu juga sebaliknya dengan saya di Malaysia,” katanya.
Sampai saat ini, Keisya juga tidak menyangka lagu 'Tak Ingin Usai' menjadi kegilaan yang luar biasa.
“Ia sama sekali di luar jangkaan saya. Dari awal saya memilih lagu ini, saya dah jatuh cinta dengan 'Tak Ingin Usai'. Apa pun risikonya, saya mahukan 'Tak Ingin Usai' menjadi lagu saya.
“Saya meletakkan sepenuh jiwa raga saya dengan membangunkan perasaan sewaktu menjayakan rakaman suara lagu ini. Saya fikir itu yang membuatkan orang merasai sama kesedihannya. Saya bawakan dari hati dan mereka berasakan dari hati juga.
“Waktu saya membuat persembahan di sebuah pusat beli-belah di Seremban, saya hampir menangis apabila melihat peminat turut sama menyanyikan lagu 'Tak Ingin Usai.'
“Saya baru nyanyi satu kalimat dan mereka sudah ikut menyanyi sama. Saya tidak sangka hal itu akan terjadi. Terima kasih buat peminat di Malaysia,” katanya.
Kecaman Yang Diterima
Baik Nabila mahu pun Keisya, mereka tidak lari daripada menerima kecaman termasuk kritikan yang melibatkan persembahan vokal, namun kedua-dua penyanyi ini mengakui sentiasa bersikap positif akan hal itu.
Jelas Nabila, dia tidak dapat menghalang apa yang orang fikir atau bercakap tentang dirinya.

“Setiap orang ada pandangan dan pendapat masing-masing. Begitu juga dengan saya. Selagi orang bercakap, ambil tahu dan peduli dengan Nabila Razali tentang dia dia keluarkan atau dia buat, itu sudah cukup baik buat saya.
“Kalau orang tidak kisah, saya akan rasa bimbang kerana kita kena buat sesuatu untuk orang sedar tentang kita. Baik atau buruk, tidak kisahlah. Yang baik, itu bagus. Tapi yang buruk kita jadikan iktibar supaya kita dapat perbaiki kelemahan kita.
“Saya sendiri tidak boleh berasa terlalu selesa dengan pujian. Kecaman memang akan membuatkan kita sedih tapi ia juga suatu pembakar semangat untuk kita jadi lebih baik,” katanya.
Keisya juga punya pandangan yang lebih kurang sama, bahkan sangat terbuka dalam menerima saranan atau kritikan.
“Bagi saya, orang-orang mencintai saya apabila mereka memberikan saranan atau kritikan. Ya betul, ada komen yang sengaja dibuat untuk menjatuhkan dan pula komen yang membangun. Kalau yang bermanfaat, kita boleh mengambilnya untuk menjadi lebih baik. Kita mampu belajar daripadanya untuk mengatasi kelemahan yang ada.
“Kunci dan kontrolnya ada pada diri kita sendiri. Kita tidak perlu ambil komen atau kritikan yang tidak membangun serta tidak mempunyai fungsi. Ia hanya akan membuatkan kita jadi stress sendiri. Sayangi diri kita dulu, apa pun yang berlaku di luar sana, kita tidak perlu ambil peduli,” katanya.

Perkembangan Lain
Nabila kini sibuk menjayakan penggambaran drama bersiri, Kerana Cinta Itu Ada terbitan Global Station Sdn Bhd yang dicetuskan daripada novel tulisan Sophilea menggunakan tajuk sama yang diterbitkannya sebelum ini.
“Bermula dengan lagu 'Putus', ia kemudian dipanjangkan ke dalam sebuah novel dan kini ia akan dihasilkan dalam bentuk drama rantaian. Saya teruja.
“Ramai yang tanya pasal video muzik 'Putus'. Tapi, saya memang ingin membuat sesuatu kelainan dengan mengeluarkan novel dahulu. Selepas drama bersiri, 'Kerana Cinta Ini' keluar, kita mungkin akan keluarkan pula video muzik 'Putus'.
“Dalam drama ini juga mungkin akan playlist lagu-lagu saya. Mungkin juga lagu duet 'Tak Ingin Usai' ini akan dimuatkan saya,” katanya yang memberitahu bahawa drama rantaian itu akan muncul di slot Akasia di TV3.
Sementara itu, Keisya pula berkata, dia bakal muncul dengan album studionya pada tahun ini.
“Saya tidak boleh beritahu bila. Tapi yang pastinya pada tahun ini juga dan saat ini, kita sedang mengumpul bahan-bahan lagu.
“Saya tidak nafikan, selepas kejayaan luar biasa Tak Ingin Usai, saya menghadapi cabaran untuk mencari bahan lagu yang sebaik 'Tak Ingin Usai'.
“Pasti orang mahukan lagu yang sehebat 'Tak Ingin Usai' atau membandingkannya atau masih inginkan lagu itu walaupun saya memiliki lagu-lagu baharu yang lain,” katanya.
“Apapun, saya harap ramai yang teruja menunggu album ini dan saya harap juga ada sesuatu yang lebih besar daripada 'Tak Ingin Usai',” katanya menutup perbualan. - Getaran, 1 Oktober 2022

DI SEBALIK PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN
Wajah TARA : Nabila Razali & Keisya Levronka
Pemangku Editor Gaya Hidup & Hiburan : Ellyna Ali
Teks & Penyelaras : Ellyna Ali
Suntingan Teks : Ili Farhana
Jurugambar : Nabil Hussin
Jurusolek : Naqiah Rahim
Penata Gaya : Danny
Reka Letak : Abdul Hanif Zahari