Setelah Google menggantung akses serta sokongan Android terhadapnya, jenama telefon pintar ini tidak pernah berhenti untuk menambah baik teknologi mereka. Hadir dengan AppGallery sendiri, Huawei pada Mac lalu mengumumkan kolaborasinya dengan Atome, jenama beli sekarang, bayar kemudian yang terkemuka di Asia.
Sejak itu, Huawei dan Atome sentiasa menawarkan kemudahan dan fleksibiliti dari segi bagaimana pengguna memilih untuk membeli-belah dan membayar di kedai-kedai fizikal dan dalam talian Huawei.
Kolaborasi ini membolehkan penggemar aktiviti membeli belah untuk memisahkan dan membayar produk serta perkhidmatan Huawei secara ansuran. Pengguna Huawei juga boleh menggunakan Atome untuk membeli peranti Huawei di semua kedai Huawei. Rakan-rakan kongsi Atome yang tersedia untuk pengguna AppGallery membeli belah dengan tawaran menarik ini termasuklah Agoda, Zalora, Shein dan Zara.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pertumbuhan Serantau, Atome, Rainal Lu berkata, pihaknya teruja dapat menjalinkan kerjasama dengan Huawei, sekali gus dapat memberi peluang kepada pengguna mereka memenuhi keperluan gaya hidup.
"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Huawei bagi melanjutkan akses pengguna kami kepada jenama kesukaan mereka agar dapat memenuhi keperluan membeli belah dan gaya hidup mereka.
“Dengan Atome, pengguna mempunyai pilihan, kawalan dan kemudahan untuk membeli belah dan membayar melalui jadual bayaran tertunda yang fleksibel, bagi membolehkan mereka mengurus dengan lebih baik belanjawan bulanan mereka,” ujar Lu.
Ketika ini, Atome bekerjasama dengan lebih daripada 10,000 jenama dalam talian dan luar talian merentas kategori-kategori yang berbeza termasuk fesyen, kecantikan dan gaya hidup dalam 10 pasaran utama.
Dengan kawalan dan pemerkasaan lebih tinggi yang diberikan kepada pengguna, kolaborasi ini membuka banyak kemungkinan untuk pengguna Huawei.
Bagaimana menebus baucar?
Pengguna Huawei AppGallery dan peranti Huawei di Malaysia akan diberi ganjaran berbentuk baucar diskaun apabila mereka mendaftar di aplikasi Atome. Pengguna atau pembeli perlu membuat bayaran melalui aplikasi Atome di kedai-kedai jenama yang mengambil bahagian (baik secara dalam talian mahupun luar talian).
Setelah mendaftar untuk akaun baharu, pengguna akan menerima baucar yang dijanjikan dan boleh digunakan semasa pembelian pertama dengan Atome. Kempen ini akan tamat pada 16 Oktober 2022. Lihat maklumat lanjut tentang kempen ini di sini. - Getaran, 3 September 2022