Berita Terkini

21 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Swadaya Meerqeen

Di sebalik sosok bernama Meerqeen, tersimpan seribu satu rahsia. Tentang kekuatan diri, perih jerih kerjaya lakonan dan puspa hati idaman.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Sep 2022 9:57AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Lebar senyuman Meerqeen pada sore Jumaat itu. Berdiri tegak dan tanpa sebarang kata-kata, dia muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah bilik solekan. Hampir terkejut seisi studio.

“Hai Zaidi! Hai semua!” sergahnya ceria, tersenyum sampai ke telinga.

“Hai Meerqeen!” balas penulis sambil menyambutnya.

Mentang-mentang pernah datang ke studio menemani sesi pemotretan Wajah TARA Anna Jobling yang lalu, sengaja dia membuat kemunculan mengejut sebegitu rupa. Nakal juga tingkahnya.

Sebenarnya, penulis sudah lama ‘merisik’ untuk menjadikan Meerqeen sebagai Wajah TARA kami. Namun, pelakon lelaki yang satu ini laris betul. Dia sentiasa sibuk dan padat dengan jadual lakonan. Susah benar mahu ‘mengikat’ dia.

Akhirnya, dapat juga penulis mendapatkan Meerqeen untuk isu TARA September 2022. Benar kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. 

Tuah sudahpun mengekorinya setelah dia memenangi tempat ketiga Hero Remaja 2020. Drama demi drama Meerqeen lakonkan. Semakin hari, semakin memahat nama di industri lakonan.

“Jangan terkejut. Sejujurnya, saya tak berminat pun untuk berlakon. Namun, tahun 2016 merubah segalanya semasa saya mencuba sesi casting untuk satu iklan televisyen. 

“Semenjak itu, saya mula terpikat dengan cabang pekerjaan ini. Kali terakhir saya mencuba sesi casting adalah Pencarian Hero Remaja 2020. 

“Setelah terpilih sebagai finalis dan berjaya menduduki tempat ketiga, saya mula rasa sayang dan cinta dengan bidang lakonan,” jelasnya membuka bicara.

 

Kerjaya seni: Pelakon atau penyanyi?

Ramai juga yang tidak tahu, sebelum bergelar pelakon, pelakon kelahiran tahun 2001 ini sebenarnya terlebih dahulu memasuki industri hiburan tempatan sebagai seorang penyanyi.

Mewarisi bakat seni suara ibu saudaranya, Safura Ya’cob, Meerqeen mengakui cinta sayangnya kini sudah mula berputik dan beralih arah pula pada bidang lakonan.

Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, Meerqeen akui dia mahu memberi perhatian sepenuhnya di dalam kerjaya lakonan. 

I think this is me. Hati saya sudah mendiam di bidang ini. Saya belum mahu menjadi seorang penyanyi sepenuh masa. Saya harus fokus kepada satu-satu bidang dahulu.

“Insya-Allah, jika ada peluang dan ruang, saya mungkin akan ke arah nyanyian. Buat masa sekarang, saya tidak rasa boleh melakukan kedua-duanya,” akui pelantun lagu ‘Menunggu’ ini.

 

Menepis tohmahan, memahat nama di puncak kemasyhuran

Temuramah pada hari itu berjalan lancar. Meerqeen bukanlah seorang pemuda yang pemalu. Dia berperwatakan santai dan mesra. Senang berbual dengannya. Malah, kami bersembang bak kawan lama. Tiada sudah basa-basi.

Bagi Meerqeen, lakonan itu ialah satu gaya hidup. Lakonan itu tiada yang salah, tiada yang betul. Lakonan itu adalah cerminan sang pelakon yang sebenar-benarnya. 

“Lakonan itu umpama lukisan. Yang mana pelakon itu secara harfiahnya sekeping kanvas putih dan kemahiran lakonannya itulah warna yang mewarnai kanvas tersebut. 

“Bagi saya, bakat lebih penting daripada paras rupa. Kalaupun kamu mempunyai rupa, tidak semestinya kamu akan bertahan lama kerana bakat adalah segala-galanya,” katanya. 

Dia juga mengakui sangat sayangkan industri seni ini. 

“Saya berusaha keras. Saya belajar dan masih belajar untuk sampai ke tahap ini,” ujarnya dengan mata yang bersemangat.

Namun, adat juara kalah menang. Bila sudah berada di atas, ada sahaja mulut tempayan yang tegar berbicara kurang enak tentang mutu lakonannya. 

“Saya tak salahkan sesiapa. Begitulah lumrah kehidupan. Mereka tidak nampak apa yang terjadi di belakang tabir. Bagaimana jatuh bangun saya di dalam industri sejak saya berusia 15 tahun.

“Orang-orang masih akan mempersoalkan tentang segala macam kekurangan. At the end of the day, people are still going to judge you, right?

“Bagi saya, seni itu amat penting. Seni itu berwarna-warni dan bagaimana saya mewarnai watak itu. Saya tidak kisah jika diapa-apakan. Dipijak-pijak di set pun saya sanggup demi lakonan. 

“Saya mahu orang mengenali nama Meerqeen dengan apa yang saya lakukan yakni lakonan,” ucapnya dalam nada membara. 

 

Hati Meeqeen tertinggal di Indonesia

Bagi mereka yang belum tahu, Meerqeen ialah gabungan namanya iaitu Shameer Shauqeen. Semenjak di bangku sekolah lagi, pelakon muda yang satu ini telah terbiasa dengan panggilan Meerqeen. Menurutnya, nama Shameer hanya diguna pakai keluarga dan saudara sahaja.

Jadi, ada apa dengan Meerqeen? Mengapa dia sangat terkenal di negara seberang? Lihat sahaja sambutan yang diterima semasa lawatannya ke Indonesia tempoh hari. Sungguh meriah, bagai menyambut artis Hollywood!

“Semestinya saya tidak menyangka akan penerimaan yang begitu hebat daripada peminat-peminat di Indonesia. 

“Saya dapat merasakan mereka, terutamanya peminat Indonesia menghargai bakat dan lakonan saya seutuhnya, walaupun saya masih baru berjinak dalam dunia lakonan.

They are very ‘crazy’, I mean beautiful crazy. Saya tidak pernah menyangka akan disambut seperti itu. Ia merupakan satu pengalaman baru dalam karier lakonan saya.

“Mungkin saya akan melanjutkan kerjaya lakonan saya di sana kerana ia adalah salah satu matlamat saya, berlakon bukan hanya di Malaysia, malah di Indonesia dan seluruh Asia.

“Insya-Allah, perancangan melebarkan sayap ke Indonesia itu memang ada. Mungkin tidak lama lagi. So guys, just stay tuned!” ujarnya teruja.

 

Siapa ‘bunga’ mekar di hati Meerqeen?

Siapa sangka empunya nama, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam ini sangat meminati bunga matahari. Menurut Meerqeen, dia menggemari bunga ini kerana warnanya.

“Sedari kecil saya suka Bumblebee, suka harimau. Saya suka warna oren. Senang kata, saya memang suka warna oren dan hijau.

“Bagi saya bunga matahari adalah bunga yang besar, cantik dan tinggi. Ia juga menghasilkan kuaci. Kuaci itulah simbolik nilai-nilai murni yang boleh saya sumbangkan kepada masyarakat.

“Misalnya, melalui lakonan saya, mungkin boleh mempengaruhi seseorang dari sudut yang positif seperti bersemangat, berdikari dan bekerja keras,” jelasnya tersipu malu.

Pada saat ini, penulis sudah mula menangkap suatu reaksi yang sangat menyenangkan. Muka Meerqeen mulai merah padam. 

Sengaja penulis memancing dengan bertanyakan soalan cepumas, “Alang-alang sudah bercakap pasal bunga ini kan, siapa pula bunga di dalam hati awak? Mungkin Anna Jobling?” soal penulis spontan.

Duduk pun sudah tidak ketahuan, dia yang mengakui menyukai seorang wanita yang sopan dan memiliki darah kacukan, sedang cuba sedaya upaya menyembunyikan perasaan terujanya, tetapi ternyata gagal. 

Mukanya semakin merah padam sambil berkata: “Sebenarnya, saya pernah bercakap dengan Anna tentang ini. 

“Jika kita berdua gembira berlakon bersama, percayalah lakonan kita itu akan ikhlas pergi ke hati penonton dan peminat.

“Itulah namanya berlakon. Maknanya, jika kamu melihat kami serasi dan nampak seperti benar-benar sedang bercinta, maknanya kami berjaya!

When people keep on telling us that, it means we have done a really good job! Tapi kalau jodoh... tak ke mana...,” tawanya memecah suasana. 

 

Sampai Kemurungan Berlakon 'Nenek Bongkok Tiga'

Semasa sesi pempotretan ini berlangsung, pelakon kelahiran Ampang, Selangor ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama 'Nenek Bongkok Tiga', sebuah drama terbaru terbitan Viu.

Selain Meerqeen, drama bergenre psycho-thriller arahan Datuk Yusry Abdul Halim itu turut dibintangi oleh Sofia Jane, Sara Ali, Hun Haqeem, Syafie Naswip dan Sara Mack Lubis.

“'Nenek Bongkok Tiga' mengisahkan tentang sekumpulan remaja yang tersesat di satu alam misteri. Kisahnya bermula semasa pertemuan mereka secara tiba-tiba di dalam sebuah hutan. Mereka mempunyai latar belakang yang ‘bermasalah’ dan tidak mengenali antara satu sama lain.

“Saya sendiri terkejut kerana saya mampu melakonkan watak Adi di dalam drama ini, sehinggakan terbawa-bawa ke alam nyata.

Tambahnya, “Saya sampai kemurungan! Boleh kamu bayangkan? Kalau Meerqeen sendiri boleh terkesan dengan lakonan diri sendiri, bayangkan kamu sebagai penonton? 

“Remaja-remaja itu terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan permainan untuk kekal ‘hidup’. Satu per satu antara mereka akan mati dalam cara yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Nak tahu Meerqeen hidup atau tidak? Kenalah tonton!” candanya.

Sebelum memotong noktah, Meerqeen sempat menambah, “Kenapa kamu harus menonton drama 'Nenek Bongkok Tiga'? Sebab... Sebab Meerqeen ada di dalam drama ini,” tawanya besar menutup wawancara. – Getaran, 3 September 2022

 

DI SEBALIK PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Pemangku Editor Gaya Hidup & Hiburan : Ellyna Ali 

Teks & Penyelaras : Zaidi Che 

Suntingan Teks : Ili Farhana

Arahan Seni : Zaidi Che & Azim Mahayudin

Jurugambar : Azim Mahayudin 

Juruvideo : Jufri Jamal

Pembantu Produksi: Luqman Ariff 

Penata Gaya : Ardi Idewani Zaini 

Solekan & Dandanan : El Manda Zuhairy

Busana : Moschino 

Lokasi : AM Studio

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Swadaya Meerqeen

10 Sep 2022

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut