Berita Terkini

56 minit yang lalu: Sokong Anwar sebagai PM tanpa syarat, DAP sedia berkorban - Loke 1 jam yang lalu: PRU-15 DUN Tioman: Calon perhebat kempen, manfaat tempoh yang ada 1 jam yang lalu: Pencemaran di muka sauk Jenderam Hilir, LUAS terus laksana pemantauan susulan 1 jam yang lalu: Penutupan LRA Sungai Semenyih: SPAN siasat insiden pencemaran bau 1 jam yang lalu: Piala Agong: Putrajaya cipta sejarah rangkul gelaran sulung, kecewakan juara bertahan

IKUTI KAMI


Anna Jobling – Tentang ‘Beauty Privilege’

Rupawan tidak semestinya tidak berbakat. Minggu ini Tara bersama Anna Jobling, berbual tentang fenomena ‘Melur Untuk Firdaus’ dan isu keistimewaan kecantikan dalam dunia lakonan.

TARA Dikemaskini 5 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 02 Jul 2022 9:54AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Saat dia menyarungkan rambut putih dan menggayakan sepersalinan Fendi itu, sudah terpancar aura Hollywood lama.

Tidak susah mempotretkan Anna Jobling, 22, pelakon wanita yang semakin menaiki tangga kemasyhuran di industri lakonan tempatan ini. 

Bergelar seorang pelakon sudah pun melingkari minatnya sedari zaman kecil lagi. Mengejar cita-cita yang termaktub di persada layar kaca, Anna mengakui dia tidak menyangka semuanya.

“Sejak kecil saya menanam impian untuk menjadi seorang pelakon. Sebenarnya, saya tidak sangka dapat berpeluang untuk berlakon secepat ini.

“Andai kata jika saya bukan seorang pelakon? Saya akan menjadi seorang isteri misali...,” candanya yang lebih senang disapa dengan panggilan Anna.

Selayak usianya, Anna seorang gadis peramah yang berperwatakan ceria. Siapa sangka gadis rupawan ini berhasrat untuk berlakon dalam filem-filem bergenre seram?

“Saya ingin melakonkan watak-watak filem seram. Sebelum ini saya ada berlakon untuk filem seram tetapi hanya melakonkan watak sampingan. Sekejap sahaja.

“Jadi, saya memang benar-benar mahu lakonkan watak yang besar dan penting. Saya harap pada masa hadapan, ada lebih banyak tawaran berlakon untuk watak-watak seperti ini,” ujar Anna.

Menamakan pelakon utama Maze Runner, Dylan O’Brien sebagai hero yang diidamkan untuk digandingkan bersama, Anna turut menamakan Diana Danielle sebagai pengaruh lakonannya.

“Dia mempunyai latar belakang dan berdarah kacukan seperti saya. Dia sangat fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. 

“Walaupun dia pelakon kacukan, dia mampu dan berjaya menembusi bidang lakonan ini. Dia tidak pernah menggunakan halangan bahasa sebagai alasan. Dan dia juga seorang yang baik hati. 

She works very hard and I look up to her for that,” akui pelakon yang ingin menceburi bidang pengacaraan pula suatu hari nanti.

Berbicara tentang bahasa Melayu, melihat kepetahan Anna berbicara dalam bahasa Melayu yang lancar dan menjawab segala soalan dengan tersusun, membuatkan penulis kagum sebentar.

Dia tidak betah dalam menjawab soalan-soalan yang dilemparkan. Apakah rahsianya? 

“Sebenarnya, mamalah yang menyokong saya untuk belajar bahasa Melayu. Mama akan membeli buku-buku latihan SPM dan pada malam hari, saya akan menelaahnya bersama mama.

“Di set penggambaran pun ramai yang bercakap bahasa Melayu dengan saya. Jadi saya rasa bersyukur. Saya akan sentiasa bercakap bahasa Melayu. Skrip pun di dalam bahasa Melayu.

“Kalau saya tak faham, saya akan bertanya dan ramai yang akan membantu,” akui anak kacukan British di sebelah bapa dan Melayu Melaka di sebelah ibu ini.

Anna menambah lakonan itu baginya ialah tentang bagaimana mahu menjiwai watak. Seorang pelakon yang baik mampu meletakkan dirinya di dalam apa jua situasi dan emosi watak tersebut.

“Apabila saya membaca skrip, sudah terlintas di fikiran saya bagaimana saya mahu membuatkan watak ini disukai? Atau dibenci? Jadi saya harus berfikir secara kreatif dalam melakonkannya.

“Pengarah dan pelakon lain boleh membantu, tetapi saya sendiri harus pandai untuk mengolah dan melakonkan watak itu supaya ia ‘hidup’ dan menyakinkan.

“Saya harus berfikir di luar kotak dan menjadi seseorang yang berbeza pada masa sama,” terang Anna yang menjayakan watak Melur di dalam drama ‘Melur Untuk Firdaus’. 

 

Fenomena Melur Untuk Firdaus

Jarang sebenarnya drama tempatan kita berjaya menembusi pasaran Indonesia. Kali terakhir ialah drama ‘Nur’ (2018) arahan Sharulezad Mohameddin, lakonan Amyra Rosli dan Syafiq Kyle.

Berbeza dengan ‘Nur’ yang ditayangkan di sana, drama ‘Melur Untuk Firdaus’ tidak ditayangkan di Indonesia, tetapi tetap masih berjaya mencipta fenomenanya yang tersendiri.

Nama dua bintang utama, Anna Jobling dan Shameer Shauqeen atau lebih dikenali dengan nama pentas, Meerqeen naik secara mendadak. 

Mana tidaknya, bilangan tanda pagar #MelurUntukFirdaus sahaja sudah mencecah sebanyak 2 bilion tontonan di aplikasi TikTok.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka drama ‘Melur Untuk Firdaus’ akan tular di mana-mana sehingga ke Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei. It’s an overnight thing.

“Sampai sekarang pun saya rasa macam tak percaya, tetapi itulah realitinya. Saya sangat bersyukur kepada semua peminat dan mereka yang menonton drama ini.

“Walaupun penonton yang berada di luar Malaysia tidak berapa faham bahasa Melayu kita, tetapi mereka tetap menyokong lakonan saya. 

“Mereka melihat dan mereka boleh menerima drama ini. Boleh menerima lakonan saya, watak Melur yang saya lakonkan.

“Insya-Allah, saya di dalam perancangan untuk melebarkan sayap lakonan ke negara seberang. Buat masa ini, saya cuba langsaikan semua penggambaran di Malaysia terlebih dahulu.

“Saya memang berhasrat untuk ke Indonesia, tetapi tidak tahu bila. Ikut rezeki, tetapi saya memang merancang untuk ke sana,” ujar Anna teruja.

Alang-alang menyeluk pekasam, sengaja penulis memancing soalan yang penulis kira tentunya ramai peminat Anna panasaran ingin tahu, “Anna kelihatan sangat akrab seperti pasangan yang sedang bercinta dengan Meerqeen. Ada apa-apa yang ingin dikongsi?” tanya penulis.

Dengan senyuman, Anna menjawab, “Bagi saya, kita selesaikan terlebih dahulu tanggungjawab kita sebagai pelakon. Saya harus fokus dalam bidang lakonan.

“Kami sangat hargai tiap sokongan dan cinta yang diutuskan daripada kalian, peminat kami. Namun, saya dan Meerqeen sedang sibuk dengan penggambaran.

“Buat masa sekarang keutamaan kami adalah kerjaya,” jelas Anna dengan jujur.

Pun begitu, Anna sedia berkongsi tentang lelaki ideal pilihannya. Dia mestilah seorang lelaki yang penyabar. Sabar dengan tingkahnya dan boleh memahami kehidupannya sebagai pelakon. 

“Sebagai pelakon, saya terpaksa mengharungi masa kerja yang lama dan tidak menentu. Kadang-kadang jika saya sedang cuti pun, kalau pengarah panggil berlakon, saya harus datang berlakon.

“Paling penting, si dia perlu menghormati keluarga saya. Just someone who’ll be there to support me, who'll always be there for me. 

“Ketampanan itu perkara nombor dua. Pertama, sikap (attitude). Wajah tampan berada di mana-mana, tetapi sikap itu yang penting. Kalau dapat jodoh tampan itu dikira bonus!” tawanya.

 

Tentang ‘Beauty Privilege’

Sebelum bergelar pelakon, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini memang tidak asing lagi dengan dunia peragaan dan ajang ratu cantik.

Empunya nama Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman ini merupakan seorang peragawati dan mantan Miss Melaka 2018 serta pernah menyertai Dewi Remaja 2019.

Pentas kecantikan memang asam garam bagi Anna, sehinggakan ada cakap-cakap jahat tentang penglibatannya di dalam industri lakonan. 

Ada suara sumbang yang berkata Anna menggunakan keistimewaan kecantikan (beauty privilege) demi mencapai matlamat itu. Apa kata Anna?

Seraya Anna menjawab, “Bagi saya, jangan cabar rezeki yang Allah beri. Seorang yang cantik tidak semestinya tidak berbakat.

“Pada saya, bakat adalah nombor satu, sementara kecantikan adalah nombor dua. Namun, sekiranya kita dikurniakan dengan kedua-duanya, bagi saya, ia adalah bonus.

“Jika saya rasa saya tidak pandai berlakon, ‘Melur Untuk Firdaus’ tidak akan tular di mana-mana. It will not go viral in a good way. For real, it will go viral in a bad way if I’m bad in acting.

Tambahnya, “Sejujurnya, saya masih bertatih di dalam industri ini. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan selagi saya mencuba, saya rasa saya berada di landasan yang betul. 

“Saya tidak menceburi bidang ini hanya kerana semata-mata saya seorang yang mempunyai rupa. Berdiri saya di sini kerana minat yang mendalam dalam bidang lakonan.

“Saya akan selalu belajar dan terus belajar. Sebagai pendatang baru, saya sedia menerima nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman daripada saya.

“Di set penggambaran, saya sentiasa bertanya dan meminta tunjuk ajar pelakon-pelakon senior. 

“Bagi saya, saya bekerja dengan ikhlas dan bukan kerana saya seorang yang cantik,” pungkas Anna dengan penuh gemalai.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Anna Jobling

Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri

Teks & Penyelaras : Zaidi Che

Suntingan Teks : Ili Farhana & Shah Shamshiri

Arahan Seni : Zaidi Che & Azim Mahayudin

Jurugambar : Azim Mahayudin

Juruvideo : Jufri Jamal

Pembantu Produksi : Kazuo Katsu

Penata Gaya: Ardi Idewani 

Solekan & Dandanan: Elmanda Zuhairy

Busana: Fendi, Maxmara, & Tory Burch

Riasan Kuku: Xpress.my

Lokasi: Am Studio

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Anna Jobling – Tentang ‘Beauty Privilege’

02 Jul 2022

Berita Berkaitan

1

TARA 2 minggu yang lalu

Selebriti Muda Teruja Kali Pertama Mengundi Di #PRU15

2

Semasa 2 minggu yang lalu

Dihalau Ketika Berkempen, Dr Maszlee Kekal Tenang

3

Muzik 1 bulan yang lalu

Raih 23 Juta Tontonan YouTube, 'Casablanca' Dicipta Buat Pasangan Yang Suka Buat Kandungan TikTok – Nuha Bahrin

4

Selebriti 1 bulan yang lalu

Foto Shah Rukh Khan Mencium Dahi Anak Kareena Kapoor-Saif Ali Khan, Taimur Khan Jadi Viral 

Sorotan

1

Kabinet Anwar Beri Peluang Pemimpin Muda Bawah 50 Tahun Tunjuk Kemampuan

2

Permintaan Pasaran, Ruang Kilang Lebih Luas Sokong Operasi Micron Di Malaysia

3

Kerajaan Selangor Harap Laluan ECRL Ditambah Ke Bahagian Selatan Negeri

Disyorkan untuk anda

TARA 12 jam yang lalu

Perjalanan Dua Dekad Marcell Siahaan

oleh Wafa Aula

TARA 4 jam yang lalu

4 Rancangan Menarik Mesti Tonton Minggu Ini

Buntu mahu tonton apa minggu ini? Kami di Getaran ada cadangan. Setiap minggu, kami akan kongsikan empat tajuk yang boleh anda tonton lewat platform-platform pe...

TARA 6 jam yang lalu

Kempen 'Buy Better, Wear Longer' Dari Levi's Menceritakan Kisah Ikonik 501® Pelbagai Generasi

Kempen 'Buy Better, Wear Longer' daripada pada Levi’s kembali untuk tahun kedua bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab bersama terhadap impak...

oleh Rahayu MN

TARA 10 jam yang lalu

Titip Ucapan Dari Tanah Suci Mekah, Adakah Mat Kilau Filem Terakhir Adi Putra?

oleh Wartawan Hiburan Getaran