Rumah fesyen Jepun, Onitsuka Tiger mempersembahkan Koleksi Musim Luruh/Dingin 2022 di Minggu Fesyen Milan. Koleksi kontemporari ini menggabungkan fesyen dan sukan serta warisan.
Di bawah kendalian pengarah kreatif Andrea Pompilio, Onitsuka Tiger memaparkan koleksi ini dalam bentuk digital dan menerusi pertunjukan fizikal, pertama kali sejak wabak COVID-19.
Selepas penonton dibawa terbang ke Tokyo secara maya, Onitsuka Tiger kembali meraikan fesyen Jepun era 80-an!
Koleksi Musim Luruh/Dingin 2022 ini sesuai digambarkan sebagai ‘Bayang Gelap’. Ia merupakan satu penghormatan terhadap era 80-an kala estetika ‘kemurnian’ Jepun mengatasi estetika barat.

Pada era ini, kemewahan dan kemegahan dianggap sebagai kemuncak kepada segala keindahan. Estetika Jepun tertumpu kepada siluet dan monokrom serta perincian yang lebih berpengaruh.
Masyarakat barat mendapati gaya fesyen Jepun pada era 80-an itu sebagai sesuatu yang provokatif, namun sebenarnya ia hanyalah sebahagian daripada kehidupan normal di Jepun.
Sekumpulan peragawan lelaki dan wanita berpakaian serba hitam dengan lapisan helaian yang menggambarkan rentak gaya underground era itu, dipaparkan dalam koleksi kali ini.
Turut dipaparkan, Wabi-Sabi, falsafah ‘sementara’ yang tidak sempurna dengan suntikan rasa indah yang luar biasa.

Fesyen Tsuppari, gaya wanita yang memilih helaian dari almari pakaian lelaki, lalu menggabungkannya dengan pakaian seragam rasmi sekolah.
‘Punk Boys’ dalam padanan helaian kulit berwarna hitam yang mengimbas gaya kota raya Tokyo era 80-an.
Dan akhir sekali, estetika Ninja yang menyarung busana hitam dan mencipta misteri. Semua gaya Jepun era 80-an ini berjaya menembusi pasaran Barat dan mendapat sambutan hangat.
Itulah yang ingin disampaikan oleh Onitsuka Tiger pada 2022. Koleksi ini menterjemahkan semula suasana pada era kegemilangan fesyen Jepun pada era 80-an tersebut.

Kemeja-T bersaiz ultra besar diperbuat daripada kapas tebal dan kaftan grafik bersulam mengimbau kembali penampilan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bandar-bandar Jepun.
Satu-satunya cetakan tersendiri dalam koleksi ringkas dan minimalis ini ialah cetakan nyalaan api pada beberapa helaian.
Sedikit padanan gothic and girlie iaitu gaun velor gaya bintang rock moden serta penghormatan kepada jaket Sukajan. Helaian ini juga boleh dipadankan bersama jaket, skirt berlisu atau weskot.
Kasut kulit yang digayakan kali ini terdiri daripada jenis bertapak rata dan platform sederhana tinggi. Kaca mata istimewa pula hasil rekaan Kaneko Optical. - Getaran, 5 Mac 2022



Gambar: Onitsuka Tiger Malaysia