Kolam renang adalah kemudahan yang dibina untuk aktiviti riadah, bersantai dan juga bersenam. Ramai orang menjadikan berenang sebagai satu rutin senaman.
Kebiasaannya ia terdapat di kelab-kelab khas, pusat peranginan, hotel, pusat senaman, serta sudah tentu pusat akuatik umum.
Namun ada juga kawasan kediaman mewah yang mempunyai kolam renang milik persendirian.
Hari ini kami kongsikan lima teknologi canggih yang ada dipasangkan pada kolam-kolam renang terbaharu.
Sistem Penukar Automatik

Sistem ini merujuk kepada penukaran keadaan air kolam renang. Teknologinya membolehkan air menjadi panas atau berombak seperti dalam spa air hanya dengan menekan satu butang.
Selain itu, teknologi ini juga disambungkan pada paip, pam air, penapis dan lain-lain untuk membenarkan struktur pendawaian mengalirkan arus elektrik secara berpusat serta membolehkan ia berfungsi secara berterusan.
Malah, anda juga boleh menetapkan masa untuk air kolam tersebut membuat penapisan, penulenan dan lain-lain lagi termasuk mengeringkan kolam renang.
Maka dengan teknologi ini anda tidak perlu bersusah-payah untuk menukar air atau membersihkan air di dalam kolam selepas menggunakannya.
Sistem Alat Kawalan Jauh

Alat kawalan jauh ini dicipta bagi memudahkan penyeliaan kolam renang. Sistem yang dipasangkan ini boleh dikawal menggunakan peranti mudah alih, laman sesawang dan aplikasi pada telefon pintar.
Ini termasuk aplikasi seperti Aseko Pool Remote yang boleh dimuat turun melalui Apple Store. Sistem ini boleh juga digunakan jika anda mempunyai penutup kolam elektrik.
Di samping itu, jika menggunakan laman sesawang, pengguna sistem juga boleh menyelia kolam renang dari mana sahaja asalkan ada sambungan internet.
Alat Pemanas

Penggunaan alat ini dapat menjimatkan masa pemilik kolam renang yang mahu memanaskan air kolam. Fungsi ini berguna terutamanya buat mereka di kawasan sejuk atau yang mahu menggunakan kolam renang pada waktu malam.
Lazimnya air kolam boleh dipanaskan antara 10-15 darjah Celcius lebih tinggi daripada suhu persekitaran.
Selain itu, alat ini juga membolehkan anda merendahkan suhu serta-merta jika anda merasakan air kolam menjadi terlalu panas.
Pencuci Kolam Automatik

Unit ini berfungsi untuk menapis kotoran dalam bentuk pepejal seperti daun-daun yang gugur atau serpihan sampah yang masuk ke dalam kolam.
Alat ini boleh diaktifkan secara automatik jika ada sampah atau bendasing pada permukaan kolam. Pencuci ini mempunyai tiga kategori pembersihan iaitu melalui sedutan, tekanan atau sistem robotik yang sentiasa bergerak mengelilingi kolam renang.
Selain menjimatkan masa dan tenaga pekerja untuk mencuci kolam, pengguna juga akan sentiasa dapat beraktiviti dalam kolam renang yang bersih.
Tambahan pula, mesin ini juga boleh dikawal menggunakan aplikasi dan alat kawalan jauh. Namun, mesin robotik menggunakan sistem kawalan yang berbeza, jadi pastikan anda periksa terlebih dahulu sebelum membeli.
Sistem Pencucian Ozon Dan Ultraungu

Pernahkah mata anda menjadi menjadi pedih, merah, kabur, atau kulit kering sejurus habis bermandi-manda di dalam kolam renang?
Jika anda pernah mengalami situasi tersebut, ia berpunca daripada kandungan cecair klorin yang berlebihan dalam air kolam tersebut.
Setiap kolam renang pasti menggunakan cecair klorin bagi menjaga kualiti air agar pengguna tidak dijangkiti kuman.
Namun, kini ada sistem pencucian ozon dan ultraungu yang berfungsi sebagai pembasmi kuman tanpa menggunakan bahan kimia. Ia menggunakan Ozon (O3) dan pancaran UV yang tidak memberikan kesan kulit kering, mampu membasmi kuman sehingga 99.9 peratus dan tidak meninggalkan kesan toksik dalam air.
Sistem ini juga menjimatkan kos untuk jangka masa panjang serta menjadikan permukaan air akan lebih bersih dan jernih. - Getaran, 6 Februari 2022
Sumber: Bluehaven.com