'One Ordinary Day' (Viu)
Anda peminat siri ‘Criminal Justice’? Nah, ‘hadiah’ terbaharu dari Korea Selatan pembikinan semula drama terbabit yang dibintangi dua aktor tersohor negara itu, Kim Soo Hyun dan Cha Seung Won.
Dengan trek rekod cemerlang dan pesona yang hebat, gandingan dua bintang ini sememangnya dinantikan pencinta K-drama bahkan ramai berpuas hati dengan persembahan mereka menerusi episod pertama drama ini semalam.
Drama ini mengisahkan Kim Hyun Soo yang masih belajar di kolej tiba-tiba menjadi suspek utama satu kes pembunuhan. Hanya dalam satu malam, hidupnya berubah menjadi mimpi ngeri. Dia disumbat ke dalam penjara tanpa dibicarakan secara adil.
Shin Joong Han satu-satunya peguam yang sanggup membantu Hyun Soo namun ia bukan satu perjuangan yang mudah apabila terpaksa berdepan dengan sistem perundangan yang ‘kejam’.
Mampukah Joong Han yang dilabel sebagai peguam kelas ketiga membebaskan Hyun Soo daripada pertuduhan itu?
Ikuti apa kesudahan nasib Hyun Soo dengan menonton drama lapan episod ini di saluran penstriman Viu. - Shakilawati Abd Rahman
Kantoi (YouTube)
Dihasilkan oleh sekumpulan anak muda tempatan, filem pendek Kantoi menempuhi alam remaja dan persekolahan. Ia menyentuh dan membincangkan tiga topik tabu iaitu budaya mengumpat, buli dan isu kehamilan remaja.
Filem ini mengikuti kisah seorang gadis sekolah menengah yang menghadapi dilema ketika mengetahui dirinya sedang hamil.
Walaupun isu kehamilan remaja bukanlah sesuatu yang baharu di sini, ia kekal menjadi topik yang sukar untuk dibincangkan di sekolah. Malah, pendidikan seks atau apa-apa topik yang berkaitan dengan perkataan 'seks' sering diejek.
Sepanjang filem ini, penonton dapat melihat keburukan budaya mengumpat dan efeknya kepada kehidupan seseorang.
Apa yang menarik, semua pelakon utama dalam the filem ini tidak mempunyai latar belakang dalam dunia lakonan. Kos filem juga dibiayai sepenuhnya dari kutipan secara dalam talian dan sumbangan dari keluarga serta rakan-rakan mereka.
Meskipun mempunyai bajet terhad, Kantoi telah disenarai sebagai ‘Top 3’ filem pendek di Festival Filem Malaysia Antarabangsa pada tahun 2019 dan memenangi anugerah Filem Pendek Terbaik di Freedom Film Fest 2018.
Penulis ingin mengucap tahniah kepada pihak produksi kerana menghasilkan sebuah cerita yang penuh makna. - Sara Mack
Terlalu Tampan (Netflix)
Kalau dah tiba hujung minggu, inilah waktunya untuk kita hilangkan kekusutan seharian. Kalau anda nak cari cerita kelakar dan ringan, apa kata anda tonton cerita Terlalu Tampan. Ia merupakan sebuah adaptasi daripada komik webtoon bertajuk 'Si Juki'.
Mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Kulin yang terpaksa menyorokkan wajahnya kerana terlalu tampan. Kerana wajahnya yang kacak itu, dia diekori perempuan dan pernah membuat orang pengsan.
Sehinggalah dia bertemu seorang perempuan yang hanya menganggap dia biasa sahaja.
Apa yang menarik mengenai filem Indonesia ini, ia tidak hanya komedi kosong dan jalan ceritanya yang indah. Malah persembahan visualnya cukup mengangkat emosi.
Permainan warna, pergerakan kamera dan muzik memang teradun sebati dan terbaik! Sesuai untuk tontonan semua peringkat umur di Netflix. - Wafa Aula
'Hawkeye' (Disney+ Hotstar)
Selepas hampir sepuluh tahun membuat kemunculan pertamanya bersama filem Marvel, akhirnya watak adiwira, Hawkeye kini memiliki siri solonya sendiri yang ditayangkan di Disney+ Hotstar sebanyak enam episod.
Selepas kali terakhir dilihat dalam filem The Avengers : Endgame, Clint Barton/Hawkeye lakonan Jeremy Renner kembali tetapi kali ini ditemani seorang gadis bernama Kate Bishop lakonan Hailee Steinfeld yang mengidolakannya.
Mereka berdua akan bertarung menentang musuh dalam misi Hawkeye untuk meraikan sambutan Krismas bersama keluarganya. Anda boleh saksikan dua episod pertama yang ditayangkan bermula 24 November 2021.
Manakala baki empat lagi episod akan ditayangkan setiap minggu. - Helmi Anuar
Magika (Mubi)
Filem tempatan jarang-jarang ada yang berunsur muzikal dan dibuat untuk kanak-kanak. Magika mengisi kekosongan itu dengan jalan cerita yang menarik dan menyeronokkan serta lagu-lagunya sedap didengar.
Antara bintang yang mengisi filem arahan Edry Abdul Halim (Edry KRU) ini ialah Diana Danielle, Mawi, Jalaluddin Hassan dan Ziana Zain.
Magika bercerita tentang dua adik-beradik, Malik dan Ayu, yang tersesat dalam alam misteri yang dihuni watak-watak dalam cerita dongeng kanak-kanak.
Sepanjang filem itu, Malik dan Ayu berjumpa dengan Nenek Kebayan, Puteri Gunung Ledang, Bawang Putih Bawang Merah, Naga Tasik Chini dan pelbagai lagi watak dalam misi mereka mencari jalan pulang ke rumah.
Memang ia filem feel good, sesuai untuk tontonan keluarga. Runut bunyinya juga boleh didengari di Spotify dan aplikasi penstriman audio lain.
Jika anda antara orang yang ragu-ragu dan rasa Malaysia tidak mampu menghasilkan filem muzikal yang baik, anda perlu tonton Magika. Ia tidak 100 peratus sempurna, tapi ia usaha yang bagus dan sepatutnya sudah ada yang menandinginya sekarang. - Ili Farhana - Getaran, 27 November 2021