Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Mamat Khalid - Pengarah Yang Melawan Arus Dalam Berkarya

Sebagai suatu penghormatan buat Mamat Khalid, Getaran cuba menyingkap perkara-perkara menarik yang berkaitan dengan pengarah ini dari sudut keperibadian diri, pemikiran serta kerja pengarahannya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 31 Oct 2021 2:46PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kalau hendak bercerita tentang Allahyarham Mamat Khalid, satu hari satu malam pun tidak akan habis dan selesai.

Terlalu banyak perkara yang boleh disingkap tentang insan seni hebat yang berjaya mencipta fenomena dan legasinya dalam dunia perfileman setelah mula diberi peluang mengarah drama 'Namaku Yassin' terbitan syarikat produksi Nizarman Sdn Bhd pada 1996. 

Sama ada dari sudut pemikirannya sebagai seorang pengarah filem, hasil kerja pengarahan serta karya-karya penulisan kreatifnya sehinggalah kepada keperibadian diri serta hubungannya bersama orang-orang yang bekerja di sekelilingnya, cerita tentang Mamat Khalid penuh dengan warna.

Samalah sepertimana filem-filem dan telefilem yang diarah serta dihasilkannya. Semuanya mempunyai hubung kait dengan diri dan pengalaman hidupnya, pemerhatiannya terhadap apa yang yang berlaku di sekeliling, pemikirannya yang kritis dan analitikal serta kebolehannya menyentuh emosi dan jiwa penonton. 

Tidak hairanlah mengapa Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid yang dilahirkan pada 6 April 1963 di Ipoh, Perak berjaya mencetuskan identiti dan signature sendiri dalam setiap filem dan drama yang diarahkannya. 

Sejak 'Namaku Yassin', Mamat telah menghasilkan 26 filem termasuklah Rock, Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Estet, Apokalips X dan Werewolf Dari Bangladesh.

Sebuah filem terbaharu arahannya iaitu Rajawali: Aku Abang Long sedang menunggu tarikh untuk ditayangkan. 

Mamat juga telah menghasilkan 11 telefilem dan antara yang cukup melekat di hati penonton adalah Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel (1998), Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys (2001), Pinang Durian (2001) dan 16 Puasa (2017).

Manakala drama bersiri arahannya adalah 'Cer Citer' (2011), 'Kampung Pisang Bersiri-siri' (2020- 2021) dan 'Klik Rider' (2021).

Sebagai suatu penghormatan buat Mamat Khalid, portal Getaran cuba menyingkap tentang perkara-perkara menarik yang berkaitan dengan pengarah ini. 

 

Adik kepada Datuk Lat 

Memang ramai yang masih tidak tahu bahawa Mamat merupakan adik bongsu kepada Datuk Lat dan pemergian Mamat sememangnya cukup menyedihkan kartunis tersohor itu.

Menurut Amen Khalid, anak keempat Mamat, Datuk Lat telah menjaga arwah bapanya itu dari kecil sehinggalah zaman persekolahannya. “Memang dia sangat terasa dengan pemergian papa,” katanya. 

Datuk Lat sendiri turut mengabdikan watak Mamat di dalam buku komiknya, The Kampung Boy dan Keluarga Si Mamat (1979). 

Pernah penulis tanyakan bagaimana perasaannya apabila Datuk Lat melukis gambarnya sebagai budak kampung yang lari berbogel di keliling rumah, Mamat ketawa. “Abang...patut saman Datuk Lat,” katanya sambil berseloroh. 

 

Seorang yang serius

Di sebalik sikapnya yang suka melawak, senyumnya yang penuh simpul dan sering menggelarkan dirinya sebagai abang kepada orang-orang yang lebih muda daripadanya, pengarah ini sebenarnya seorang yang serius. 

Perkara ini telah dikongsi Razif Ajiboy Rashid yang pernah bekerja dengan Mamat sebagai pembantu pengarah. Kata Ajiboy, selepas menjayakan Kala Malam Bulan Mengambang sebagai penjaga konti, dia telah ditawarkan bekerja oleh Mamat Khalid. 

“Waktu itu, dia mempunyai pejabat di SS2, Petaling Jaya. Untuk mengenali, mendekati dan memahami pemikiran dan keperibadiannya, saya tanya dia kalau saya boleh tinggal dengan dia di pejabat itu. 

“Dari situ, saya barulah saya tahu karakter sebenar beliau. Orangnya sebenarnya serius dan bukan jenis berlawak seperti yang kita fikirkan. 

 

Mudah Merajuk 

Dalam kalangan orang-orang yang dekat dengan Mamat Khalid memang sudah masak benar dengan sikapnya yang mudah merajuk. Rajuknya kadangkala panjang. Tapi, akhirnya beliau kembali sejuk dan berhubungan semula dengan orang yang dirajuknya itu. 

Sebelum detik-detik pemergiannya, Mamat sebenarnya merajuk dengan Dewa Sapri yang sentiasa memegang watak Cik Purnama dalam drama bersiri dan filem Kampung Pisang semata-mata kerana sahabat baiknya itu tidak mahu singgah bertemu dengannya di Sarang Art Hub di Tanjung Malim. 

Disebabkan merajuk, Mamat telah mengeluarkan nama Dewa Sapri dalam senarai grup Whatsappnya. Dewa Sapri adalah sosok penting dan orang paling rapat dengan Mamat.

Dengan Dewa Sapri, Mamat akan berborak panjang tentang bermacam perkara termasuk idea-idea kreatifnya. Pernah, Dewa hampir tertidur sewaktu melayan borak Mamat. 

 

Peminat Muzik 

Ya, memang Mamat penggemar muzik. Malah beliau juga boleh bermain keyboard. Koleksi piring hitamnya juga hebat. Sewaktu penulis sering habiskan waktu di pejabatnya di SS2, Petaling Jaya, kamar pejabatnya penuh dengan album dan piring hitam. 

Di rumahnya di Ipoh, Perak pula, Mamat meletakkan jukebox lama di suatu sudut dan ia berfungsi apabila kita meletakkan duit 20 sen. 

Kata Aziz M. Osman, Mamat sangat meminati Frank Zappa. Disebabkan itu, Mamat meletakkan nama anak sulungnya sebagai Mohd Khalid Zaffa Mohamad. 

Ajiboy pula memberitahu, Amcorp Mall adalah tempat kegemaran Mamat dan di situlah beliau mendapatkan koleksi piring hitam yang rare

“Tapi selera muziknya memang berbeza. Dia banyak dengar muzik yang kita tak pernah dengar pun. Kalau rock pula, dia suka Pink Floyd, Led Zeppelin dan Sweet Charity,” katanya. 

 

Minat sejarah Melayu 

Selain album dan piring hitam, Mamat juga mempunyai banyak koleksi buku-buku yang berkaitan dengan kesusasteraan dan sejarah di kamar pejabatnya.

Ajiboy pula berkata, sewaktu duduk di kamar pejabat Mamat, dia ternampak sebuah buku bertajuk Sejarah Melayu karya William G. Shelbear. 

“Mamat nampak saya baca buku itu. Dia suruh saya habiskan bacaan buku itu. Saya ambil masa sehari menghabiskan buku itu. 

“Esok dia berdiskusi dengan saya tentang perihal sejarah Melayu dan perancangannya untuk membuat filem epik. Semangatnya seolah-olah hidup apabila bercerita. 

“Dari situ saya tahu bahawa dia memang meminati sejarah Melayu dan disebabkan dia banyak membaca, dia mempunyai pengetahuan yang luas tentang hal-hal ini,” kata Ajiboy.

 

Peminat filem 

Ya, Mamat memang seorang peminat filem dan sering berborak tentang filem dengan orang-orang yang mempunyai aliran yang sama. Salah seorang daripada adalah Aziz M. Osman dan pengkritik filem, Hassan Mutalib. 

Beliau juga banyak menonton filem dari berbagai genre dan bahasa serta mempunyai beberapa pengarah filem yang diminatinya. Namun, Mamat sangat memandang tinggi terhadap hasil kerja Akira Kurosawa dan Tan Sri P. Ramlee. 

 

Minat barangan antik dan retro 

Disebabkan jiwanya yang sensitif, Mamat juga amat menyukai barangan yang antik, klasik dan retro dan beliau juga seorang pengumpul.

Banyak barangan lama yang dikumpulkan Mamat dan sebahagiannya diletakkan dan dipamerkan di kedai dan pusat seni, Sarang Art Hub di Tanjung Malim yang mula beroperasi pada tahun 2016. 

Selain memiliki piring hitam lama dan jukebox, beliau mempunyai tempayan lama lukisan naga, meja kopitiam batu mar mar dan banyak lagi. 

 

Kritikan sosial ala P. Ramlee 

Pengkritik filem Hassan Mutalib pernah menyatakan bahawa cara Mamat Khalid menyampaikan kritikan sosialnya sangat mirip dengan P. Ramlee. Biar pun karya humor dan komedi, pengisiannya tidaklah kosong. 

Bahkan, sepertimana kerja-kerja P. Ramlee, Mamat juga sering mendekati golongan marhaen dan mengangkat kisah-kisah kemasyarakatan. 

 

Jiwa Melayunya kental 

Memang Mamat memiliki jiwa Melayu yang kental dan ini dapat dilihat dalam karya-karya apabila sering memberikan kritikan sosial terhadap bangsa Melayu sama ada dari golongan pemerintah sehinggalah orang bawahan. 

 

Pengarah yang versatil

Benar seperti kata Aziz M. Osman, Mamat seorang pengarah yang versatil. Sama ada filem estetik, futuristik, pop, muzikal mahu komedi, Mamat boleh melakukannya dan ia turut merangkumi subjek-subjek yang cukup luas. 

Dalam Lang Buana yang berkisar mengenai kedaulatan bangsa dan negara,  Mamat cuba mengetengahkan genre epik.

Kala Malam Bulan Mengambang tentang detektif, penyiasatan dan gangsterism (filem noir) dan Apokalips X  kisah peradaban manusia yang hidup selepas perang nuklear (filem futuristik ala anime).

 

Ketengahkan watak anti-hero dalam filem 

Suatu perkara yang menarik tentang Mamat Khalid, beliau banyak mengetengahkan watak anti-hero di dalam karya-karya drama atau filemnya. 

Sama ada ia dilakonkan pelakon yang ada nama atau tidak ada nama, watak-watak itu menjadi sangat penting dan cukup terpahat dalam ingatan penonton. Misalnya Pak Jabit dan Cik Purnama. 

Menurut pelakon Avaa, Mamat bijak mengetengahkan potensi pelakonnya dan semua orang akan diberikan keutamaan dan mendapat momen mereka. 

 

Peminat Converse Merah 

Setiap kali mengarah filem, Mamat pasti akan mengenakan bandana merah dan memakai kasut Converse merah. 

Kata Avaa Vanja, itu memang stail Mamat setiap kali beliau berada di set lokasi. 

“Dia juga secara peribadi memang peminat setia kasut Converse. Kalau dia nampak orang pakai kasut Converse, orang itu kira genglah dengan dia,” katanya. 

 

Playlist Muzik Waktu Shooting

Jelas Avaa lagi, setiap kali shooting, Mamat akan memainkan beberapa lagu kegemarannya. 

“Sebelum mahu memulakan shoot, dia mahu lagu 'Ready To Love' (Bad Company) dimainkan dahulu. Kalau shooting sukses dan dia sudah sudah mula mendapat rentak, dia akan memainkan pula lagu 'Play That Funky Music' (Wild Cherry). 

“Kalau dia mahu mendapatkan inspirasi dia akan putarkan lagu 'Wish You Were Here' (Pink Floyd) dan akhir-akhir ini dia suka mainkan lagu 'Rolling In The Deep' (Adele),” tambah Avaa.

 

Meninggal Dunia Nyanyi Lagu 'Apokalips'

Jiwa seninya cukup mendalam dan pada detik-detik akhir pun, dia masih sempat menyanyikan lagu kegemarannya 'Apokalips' (M. Nasir) sambil bermain keyboard di Sarang Art Hub sebelum dilaporkan jatuh pengsan. 

Mamat dibawa ke Hospital Slim River dan beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tanggal 24 Oktober, jam 12.30 pagi. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkan beliau di kalangan orang yang beriman. - Getaran, 31 Oktober 2021

Isu Pada

Fenomena Doktor Malar

30 Oct 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 6 hari yang lalu

MKN, KPN Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar

2

Semasa 6 hari yang lalu

Mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar Meninggal Dunia

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Jaafar Onn Miliki Bakat Unik, Tersendiri - PM

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi