Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Gelora Seni Seorang Seniman Bernama Mohd Jayzuan

Mohd Jayzuan. Seniman unik nan 'sensitif' telah menghasilkan karya baru yang bertajuk 'Filokalis'. Mari, selami gelora isi hatinya dan kenali apa (atau siapa) pencetus ilham buah tangan terkininya ini.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 24 Oct 2021 7:17PM

Gambar Mohd Jayzuan: Sufian Abas

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Menurut biodatanya, Mohd Jayzuan merupakan seorang seniman multidisiplin yang bergiat aktif di dalam scene muzik sejak lewat 90-an, semasa masih bersekolah menengah lagi.

Salah satu cabang seni utamanya adalah muzik dan beliau telah menghasilkan beberapa album, EP, kompilasi bersama beberapa buah kumpulan seperti Bloodymary dan Free Love serta menggunakan pelbagai nama samaran, yang terkini, Joni Mustaf. 

Minat beliau tertumpu kepada muzik, sastera, filem, seni kontemporari, kolektif dan budaya belia. Beliau juga telah menubuhkan kolektif artis; Projek Rabak pada tahun 2011 yang berpusat di Ipoh. 

Walaupun baru berusia 39 tahun, senarai hasil karya beliau dalam pelbagai disiplin seni berjela-jela panjangnya. Di atas kertas, pencapaian beliau di dalam dan di luar negara memang membanggakan.

Hebat. Tetapi siapakah beliau? Mari kita berkenalan dengan Mohd Jayzuan, seorang seniman sempoi bersemangat tinggi yang begitu bijak menyesuaikan strategi dan berfikir di luar kotak supaya tidak tewas dengan kesan pandemik. 

“Selalunya orang cakap, ‘saya tak pilih seni tapi seni pilih saya’. Saya sedikit berbeza walaupun maksudnya sama. Saya masih ingat masa kecil, mama beritahu, katanya saya seorang yang sensitif.

“Waktu itu saya tak benar faham apa kebendanya menatang ‘sensitif’ tu. Sekitar umur 8 atau 9 tahun saya mula melukis, belajar sendiri, saya sudah mula bayangkan tentang hal yang tak sepatutnya ada dalam kepala budak seusia itu.

“Masa tu baru saya faham maksud ‘sensitif’ dan tahu senilah rumahnya untuk saya diami.” terang Jayzuan tentang bibit permulaan tersemainya seni di dalam hati.

Bila ditanya siapakah idola atau pengaruh utama, dari lensa Jayzuan, idola atau pengaruh utama biasanya kuat pengaruhnya semasa di awal pembabitan seseorang itu di dalam bidang yang diceburi namun apabila sudah menjumpai suara sendiri, ianya bukanlah lagi sebuah kompas untuk berkarya. 

Cerita Jayzuan, “Tapi semasa kecil, orang yang mengubah pola fikir saya adalah mendiang Kurt Cobain.

“Selepas menonton VHS tape Nirvana ‘Live and Loud’ yang saya curi daripada Super Kinta (sebuah pasar raya lama di Ipoh) masa usia saya mungkin 12 atau 13, terus jelas di kepala yang saya mahu bikin muzik.”

“Dalam masa yang sama datang juga pengaruh-pengaruh lain seperti Sonic Youth, Dinosaur Jr. Sebadoh, Pavement – secara asasnya muzik indie rock/lo-fi/eksperimental; bahan bacaan sastera Barat macam Henry Miller, Albert Camus, penulis-penulis sasau Beat Generation, kartunis Tembakau dengan karyanya ‘Kartini’, Ujang, Gila-Gila, filem Mat Gelap, filem Perempuan Melayu Terakhir, Muck, Carburetor Dung, Spiral Kinetic Circus, Butterfingers – ini antara ramuan-ramuan yang ada dalam 'diet' saya,” tambah Jazuan lagi.

Tidak bekerja secara konvensional membuka peluang untuk Jayzuan mengembara dan meneroka kehidupan secara maksimum.

Pengalaman yang datang dari jalanan – bertemu, bersembang dan berkenalan dengan bermacam individu, memerhati ragam manusia di kota-kota asing Eropah dan Asia, berkelana ke serata pelosok dunia, membantu beliau memperkayakan akal-fikir, membina jatidiri serta membentuk cara beliau melihat dunia. 

Setiap pengalaman yang dipungut diterapkan ke dalam karya. Bergiat aktif dalam bidang seni menjadikan senarai hasil karya beliau begitu panjang dan meliputi pelbagai disiplin.

Antaranya 'Ipoh Kreative' (dokumentari - sebagai penerbit dan penulis layar, untuk Projek Rabak, tahun 2016), 'Jack Malik Buat Kecoh di Pasar Karat Loken' (dokumentari - sebagai penerbit, tahun 2018), 'Rindukrezi' (seni video - sebagai pengarah, untuk Extended Asia, Jakarta, tahun 2020) dan 'Am I Alone?' (pameran maya - sebagai pengarah artistik dan kurator, gabungan Malaysia, Indonesia dan Jepun, tahun 2021).

Baru-baru ini Jayzuan terlibat dengan program SEAD anjuran Mekong Cultural Hub (Taiwan), British Council (UK) dan Helvetas (Switzerland) di mana beberapa karyawan sekitar Asia dijemput untuk membuat kajian mengenai topik-topik tertentu.

Program tersebut berjalan selama setahun dan baru sahaja selesai pada pertengahan September lalu. 

Beliau telah menghasilkan dua karya untuk program ini, pertamanya sebuah dokumentari ‘A Tree in a Desert’ yang fokusnya tentang Thanaka – bagaimana Thanaka bukan hanya tanaman malahan simbol perpaduan melampaui garis politik.

Ada juga dicungkil tentang konflik masa depan Thanaka, tentang sisi kapitalisnya, hinggalah Thanaka sebagai keperluan harian warga. Dokumentari tersebut telah ditayangkan pada 15 dan 16 Oktober lalu di Laterna Magica, Museum of Visual Knowledge, Copenhagen.

Menariknya dokumentari tersebut diarah oleh Jayzuan dari jarak jauh akibat kemelut pandemik. Perbincangan dan mesyuarat semuanya dibuat di atas talian.

Antara kesulitan yang dihadapi adalah halangan bahasa, masalah internet dan juga keadaan politik di Myanmar yang huru-hara. Proses mengarah dari tanah air ini sangat mencabar dan memerlukan ketekunan serta kesabaran. 

“Akhirnya rakaman saya terima ketika sudah sangat hampir dengan deadline dan nasib baik penyunting filem adalah salah seorang artis saya dalam kolektif Projek Rabak jadi sikit sebanyak ia membantu melajukan proses.

Score pula dibikin oleh Takahara Suiko yang juga dihantar kurang daripada seminggu kerana kami kesuntukan masa. Sungguhpun begitu Taka berjaya ‘memakukannya’!” kata Jayzuan.

Harapan beliau, “Sebagai pembikin filem, saya mahu ianya dapat ditonton kepada seramai yang mungkin walau di celah mana seantero dunia. Mudahan daripada filem tersebut penonton dapat mengutip sesuatu yang membuka perspektif atau pandangan baru melihat Thanaka dan Myanmar.”

Karya kedua adalah sebuah muzik eksperimental dibikin bawah nama Joni Mustaf, berjudul ‘\\nyandor\\’. Muzik dirakam sempena kajian berteraskan ‘Bolehkah muzik menenangkan emosi manusia dalam situasi pandemik sekarang?'.

Berbalik kepada cinta kepada muzik, terbaru Jayzuan telah mengeluarkan sebuah koleksi lima lagu berjudul ‘Filokalis’.

Menurut beliau ‘Filokalis’ ini mungkin lebih sesuai jika dipanggil sebagai ‘rakaman’ dan bukan EP atau album kerana terma ‘rakaman’ itu mungkin lebih jelas dan sesuai dengan gubahan dan susunan lagu-lagu dalam ‘Filokalis’ yang tidak konvensional.

“Pandangan saya terhadap menerbitkan muzik sudah berbeza, tidak begitu peduli adakah ini album atau EP kerana paling pasti dan janji, ada satu rakaman untuk didokumentasikan.” jelas Jayzuan.

Lagu-lagu bertajuk ‘Telang Ungu’, ‘Dhanjelita’, ‘Februari 11’, ‘Rintih Pesan’ dan ‘Anya’ yang dimuatkan ke dalam ‘Filokalis’ bagaikan sebuah warkah cinta yang intim dan amat peribadi. Setiap lagu bagaikan sambungan cerita lagu sebelumnya. 

“Ya, susunan lagu itu memang disengajakan dan ianya sebuah album konsep yang memang fokusnya hanya pada sosok istimewa seorang yang dirayai.

“Lagu-lagu disusun mengikut urutan daripada awal yang saya cipta hingga kepada yang paling akhir ditulis. Jadi ianya saling berkait antara satu sama lain.

“Bagaikan sebuah lagu yang panjang dan dibahagikan kepada beberapa babak. Bagaikan adegan dalam filem atau bab-bab dalam novel.”

Setelah mendengar ‘Filokalis’ beberapa kali, penulis cuba mencungkil siapakah gerangan gadis lagu-lagu tersebut ditujukan.

Jawab Jayzuan, ”Orang yang menginspirasikan album ini sememangnya satu sosok yang penuh keajaiban. Dia muncul dalam hidup sewaktu saya tak mencari siapa-siapa.

“Waktu dia datang, bunga yang lama layu tumbuh mekar harum semerbak, pelangi muncul sana-sini, burung berkicau ria dan ada kupu-kupu mengelupur dalam perut.

“Saya tak selalu ada perasaan atau rasa ini pada orang, jadi saya mahu abadikan supaya di waktu-waktu akhir hidup nanti, saya tak menyesal dan tahu saya telah lakukan sesuatu untuk merakam perasaan agung ini.”

Walaupun identiti gadis tersebut dirahsiakan, yang pasti ‘Filokalis’ mencerminkan getar nadi merindu yang bergelora empunya Jayzuan.

Ianya sebuah tanda, sebagai ingatan tentang satu perasaan yang dahsyat dan mendalam. Rakaman paling intim, peribadi dan karya yang paling dipeluk erat.

‘Filokalis’ adalah rakaman ketiga yang menggunakan nama Mohd Jayzuan.

Nama Joni Mustaf pula sering dipakai apabila terlibat dengan persembahan seni bunyi kontemporari, seni persembahan dan muzik eksperimental. Sebuah album pernah diterbitkan menggunakan moniker Joni Mustaf yang dikeluarkan oleh kolektif-artis Jakarta; ruangrupa.

Sebelum wawancara berakhir, penulis sempat bertanya kepada Jayzuan mengenai tujuan, harapan dan impian peribadinya. 

Beliau menjawab, “Kalau bercakap daripada segi manusiawi – gol, harapan dan mimpi saya agar orang tua saya gembira dan tahu betapa coolnya mereka membiarkan saya dropout dari kolej bagi mengejar mimpi.

“Tak pernah sekali pun mereka menghalang saya untuk berseni. Jadi saya mahu membalas (jasa) mereka dengan apa jua kebaikan daripada seni yang dipinjamkan ini dapat beri.

“Dan juga terpaling penting agar di akhirnya dalam proses berseni-seni ini saya dapat menjumpai diri dan apabila disoal enam kaki dalam nanti saya dapat menjawab siapakah, daripada manakah saya datang dan kepada siapakah patut saya mengabdi dan kembali.”

Seorang novelis dari Poland bernama Jerzy Kosinski pernah berkata - Prinsip seni sejati bukan untuk menggambarkan, tetapi untuk membangkitkan.

Penulis percaya inilah yang digapai oleh Mohd Jayzuan dengan jayanya dalam segala disiplin seni yang beliau ceburi. Tidak sabar rasanya untuk menunggu projek seterusnya dari seniman ini.

Semoga sukses mengiringi setiap perjuangan. - Getaran, 24 Oktober 2021

Isu Pada

Rizal Rasid – Tentang Kesihatan Mental

23 Oct 2021

Berita Berkaitan

1

Indie 2 tahun yang lalu

TapauKon! : Misi TapauAsia Membina Ekosistem Komuniti Indie

2

Indie 2 tahun yang lalu

Shelhiel Dan 'Superstrobe', Lain Dunia

3

Budaya 2 tahun yang lalu

Rabak Support Group Ikhtiar Projek Rabak Menopang Beban Pandemik

4

Indie 2 tahun yang lalu

Persoalan, Perasaan Dan Puisi. Kenali ‘Hawa Brehi’ Jack Malik

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart