Berita Terkini

2 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Vulva Dan Dosa-Dosa Menjadi Perempuan

Setidaknya di media sosial, ia sudah membuka mata semua pihak terhadap pentingnya membincangkan hal-hal wanita dan bukannya sesuatu yang patut dihindari seperti sebuah dosa.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Sep 2021 5:11PM

Gambar: Pexels

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hanya dari sebuah gambar bunga berbentuk vulva untuk sebuah kempen syarikat pengeluar tuala wanita, ia kemudian menjadi menjadi bahan perdebatan panjang di laman sosial hingga seminggu lamanya.

Apalagi sebuah pertubuhan wanita Islam secara terang-terangan mengkritik kempen berkenaan dan mengatakan tindakan syarikat itu seperti tidak menghormati wanita. Teguran itu menyebabkan syarikat berkenaan menarik semula kempen tersebut dan memohon maaf. 

Situasi ini kemudian mengundang respons yang pelbagai daripada pengguna media sosial.

Ada yang bersetuju dengan kempen tersebut dan menganggap ia bukanlah sesuatu perkara yang perlu dimalukan kerana memang wanita perlu tahu bagaimana cara menjaga kesihatan organ penting mereka. 

Namun begitu, apabila ia dibualkan secara terbuka, ada juga yang berpendapat ia memberikan perasaan kurang senang kepada segelintir masyarakat.

Ilmu menjaga vulva seharusnya dibincangkan dalam ruang tertutup. Dalam erti kata lainnya, perbincangan isu seperti ini secara terbuka bukanlah budaya masyarakat kita.

Turut berkongsi pendapat ialah Dr Ziti Akthar Supian, Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Seri Kembangan yang merasakan masyarakat kita belum bersedia untuk menerima kempen seperti ini.

“Pada saya ia hanyalah sebuah gambar. Namun kita perlu faham bahawa masyarakat kita belum sampai ke tahap terbuka menerima perkara seperti ini.

“Jika ini ialah sebahagian daripada pendidikan seksual, saya merasakan ia masih boleh dilakukan tanpa perlu memaparkan imej vulva. 

“Saya sendiri terlibat dengan memberikan pendidikan seksual di sekolah-sekolah kepada seperti memberi pemahaman mengenai organ seks wanita, sentuhan selamat dan sistem reproduktif.

“Seharusnya pendidikan ini dimulakan dari rumah, namun kebanyakan ibu bapa kita pun belum bersedia berbual tentang perkara ini.

“Maka, pilihan untuk pihak sekolah memanggil doktor untuk memberi input mengenai perkara ini adalah cara yang baik memandangkan kami boleh menjelaskan dari sudut praktikal,” katanya ketika dihubungi Getaran. 

Perbincangan organ wanita secara terbuka ini juga sebenarnya mungkin boleh menimbulkan kekeliruan terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja yang tidak mempunyai pemahaman seperti orang dewasa.

Menurut Dr. Nasruddin Subhi, Ketua Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) Universiti Kebangsaan Malaysia, memandangkan gambar tersebut dipaparkan secara terbuka meliputi semua lapisan masyarakat, penjelasan yang jelas perlu diberikan lebih dalam terutamanya kepada kanak-kanak, sesuai dengan perkembangan kognitif mereka.

“Bayangkan situasi di mana anak anda bertanya tentang gambar bunga itu ketika anda berada di tempat awam. Anda berkemungkinan mempunyai cabaran untuk menjelaskannya.

“Namun, jika situasi ini berlaku di tempat tertutup, ia tidak akan menjadi masalah. Ini kerana, perkara seperti ini memerlukan penjelasan dan hujah yang baik untuk memberi pemahaman kepada anak-anak dan bukan hanya sekadar imej semata-mata,” katanya. 

Tambahnya lagi, pendidikan seksual juga perlu diajar mengikut tahap perkembangan kognitif dan tumbesaran anak-anak. Ada fasa yang sesuai untuk mereka mengetahui tentang beberapa perkara seperti jenis tuala wanita, kesihatan organ mereka, sentuhan selamat, sistem reproduksi dan sebagainya.

Gambar: Pexels
Gambar: Pexels

“Gambar bunga di kempen tersebut sekali imbas orang dewasa akan nampak ia sebagai vulva. Namun, tak semua orang akan faham seperti apa yang saya faham.

“Saya lebih terbuka memandangkan saya seorang ahli akademik. Namun, masyarakat kita ada yang konservatif. Itu yang kita takutkan.

“Saya merasakan tindakan mereka menarik balik kempen tersebut adalah wajar,” katanya yang juga merupakan seorang kaunselor berdaftar.

Namun, Nursyuhaidah A Razak yang juga merupakan penggerak kempen kemiskinan haid #PeduliMerah mempunyai pendapat berbeza. Kempen berkenaan sebenarnya penting terhadap merancakkan perbincangan sihat dan kesedaran awam.

“Dalam pandangan seni sendiri, bentuk vulva yang dijadikan bunga itu bukan penghinaan tetapi sebagai simbol keberanian, perempuan perlu berani kenal organ seksualnya sendiri, perlu berani bersuara dan berani menentukan keputusan mengenai tubuh badannya sendiri.

“Sangat penting perempuan mempunyai keberanian ini dan sedar bahawa perempuan berkuasa penuh ke atas diri sendiri, bukan lelaki atau mana-mana pihak.”

Tambahnya lagi, kita perlu mengakui situasi hari ini di mana ramai wanita yang keciciran dalam pendidikan mengenai organ seksual apabila perkara seperti ini masih menjadi tabu sekali gus menjadi batu menghalang untuk memberikan kesedaran.

“Ada pelbagai usaha yang nampak baik yang terlihat mahu 'menjaga maruah perempuan' tetapi sebenarnya mahu mendiamkan perempuan.

“Penting untuk kita sedar, perempuan dewasa mahupun kanak-kanak perempuan akan mudah dieksploitasi jika mereka tak kenal organ seksual sendiri. 

“Apabila kita menyebut pendidikan seksual, masih ramai yang merasakan pendidikan seksual itu akan menyemarakkan lagi hubungan seks luar nikah. Kita perlu pecahkan stigma itu.

“Pendidikan seksual bukan hanya berkait ilmu berhubungan badan secara selamat, tetapi juga kesedaran hak pertahankan diri dari segi undang-undang jika berlaku pencabulan atau rogol.

“Jadi jika ada usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada perempuan yang disampaikan secara kreatif dan sihat, kita seharusnya menyokong usaha itu bukan melarang,” tambahnya.

Bercakap tentang perkara tabu namun penting seperti ini sebenarnya tanpa kita sedari telah membuka ruang-ruang perbahasan yang sihat.

Semakin ramai wanita yang tidak merasa bersendirian dan menghargai organ seksual mereka tanpa dikonotasikan dengan kelucahan.

Masyarakat kita masih belum terbuka untuk berbual tentang isu ini, tapi setidaknya di media sosial, ia sudah membuka mata semua pihak terhadap pentingnya membincangkan hal-hal wanita dan bukannya sesuatu yang patut dihindari seperti sebuah dosa. - Getaran, 26 September 2021

Isu Pada

Sisi Tersembunyi Daiyan Trisha

25 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

Inisiatif Pad Percuma Bagus Tapi Bukan Penyelesaian Isu Kemiskinan Tegar

2

Semasa 1 tahun yang lalu

MEF Gesa Majikan Swasta Beri Tuala Wanita Percuma, Tangani Kemiskinan Haid

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Malaysia Lancar Garis Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Menopaus 

4

Refleksi 1 tahun yang lalu

Tampon Tidak Jejas Status Dara Anda! 5 Mitos Haid Anda Perlu Tahu

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok