Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Inisiatif Pad Percuma Bagus Tapi Bukan Penyelesaian Isu Kemiskinan Tegar

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Dec 2022 2:03PM

Ramai wanita berpendapatan rendah dikatakan menyambut baik idea menyediakan tuala wanita secara percuma sebagai cara memerangi ‘kemiskinan haid’ - Gambar Wikipedia Commons

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUCHING - Setiap bulan pada hari gaji, Kak Nor (bukan nama sebenar) perlu membeli dua peket kecil tuala wanita.

Penduduk Kg Gita itu biasanya membeli jenama paling murah untuk dirinya dan juga anak perempuannya yang berusia 17 tahun.

Ibu tunggal berusia 53 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci itu menganggap tuala wanita sebagai satu keperluan.

Pada masa itu, dia akan memastikan untuk membawa pad tambahan ke tempat kerja.

“Saya mesti mempunyai pad tambahan. Saya amat memerlukannya kerana keadaan fizikal pekerjaan saya.

“Saya mahu mengelak ‘kebocoran’. Saya mahu kekal bersih sepanjang masa.

“Jika saya kehabisan pad, saya akan bertanya kepada rakan di tempat kerja. Saya akan membayar semula kepada mereka pada akhir bulan apabila mendapat gaji saya.

“Tetapi saya tidak membayar mereka secara tunai. Saya akan menggantikan mereka dengan pad baharu.

“Jika tidak (sekiranya rakan sekerja saya tidak mempunyai pad bersama mereka), saya perlu ponteng kerja, tetapi saya jarang melakukannya melainkan saya mengalami senggugut,” katanya kepada The Borneo Post di Kuching baru-baru ini.

Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan kemiskinan haid sebagai "kesukaran yang dihadapi ramai wanita dan gadis berpendapatan rendah semasa cuba membeli produk datang bulan” - Gambar Hiasan Pexels
Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan kemiskinan haid sebagai "kesukaran yang dihadapi ramai wanita dan gadis berpendapatan rendah semasa cuba membeli produk datang bulan” - Gambar Hiasan Pexels

 

Kelegaan yang amat diperlukan

Apabila rancangan kerajaan untuk menyediakan tuala wanita secara percuma sebagai cara memerangi ‘kemiskinan haid’ dikongsikan dengan orang ramai pada 12 Disember lalu, ramai wanita seperti Kak Nor menyambut baik idea itu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, sebagai permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan di pejabatnya di bangunan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

“Kita akan mulakan di pejabat menteri dahulu, dan selepas itu (kita akan kembangkan) di seluruh kementerian.

"Dan kemudian, mungkin kita boleh bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan KKM, baru-baru ini.

Mengenai inisiatif ini, Kak Nor berkata, sekiranya ia boleh diakses oleh orang ramai, ia akan menjadi "kelegaan yang amat diperlukan" kepada mereka yang berpendapatan rendah sepertinya.

“Harga tuala wanita amat mahal hari ini. Saya membeli jenama paling murah, dengan pek terkecil mengandungi 10 pad berharga kira-kira RM10.

“Bagi mereka yang berpendapatan lebih, mungkin mereka rasa ini murah, tetapi saya hanya seorang tukang cuci, saya tidak memperoleh pendapatan sebanyak itu.

“Namun, saya bersyukur. Sekurang-kurangnya, saya mempunyai pendapatan setiap bulan kerana mempunyai tiga anak untuk disara,” katanya.

Berkongsi sentimen yang sama, Suzaifa Ellisha berkata, inisiatif itu akan membantu semua wanita terutama gadis muda.

"Aok, perlu kak (ya, kami perlukan itu, kakak)," kata pelayan berusia 24 tahun itu.

The Feast & Furious Café yang terletak di Jalan Padungan di Kuching, restoran di mana Suzaifa bekerja sejak enam bulan lalu, mempunyai sebuah kotak kecil diisi dengan tuala wanita percuma yang diletakkan di dalam tandas.

Sebahagian daripada tugas mingguannya ialah mengisi semula kotak itu apabila ia hampir kosong.

Menurutnya, maklum balas daripada pelanggan “amat positif”.

“Apabila datang haid, pelanggan wanita akan bergegas ke tandas. Mereka akan bertanya kepada kami sama ada pad di dalam tandas itu percuma.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pad percuma amat diperlukan," kata Suzaifa, yang berasal dari Lundu.

Ada yang berpendapat sekiranya tuala wanita percuma mudah diakses oleh orang ramai, ia akan menjadi "kelegaan yang amat diperlukan" kepada mereka yang berpendapatan rendah - Gambar hiasan Unsplash
Ada yang berpendapat sekiranya tuala wanita percuma mudah diakses oleh orang ramai, ia akan menjadi "kelegaan yang amat diperlukan" kepada mereka yang berpendapatan rendah - Gambar hiasan Unsplash

 

Kesukaran yang nyata

Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan kemiskinan haid sebagai "kesukaran yang dihadapi ramai wanita dan gadis berpendapatan rendah semasa cuba membeli produk datang bulan”.

Istilah ini juga merujuk kepada peningkatan kelemahan ekonomi yang dihadapi wanita dan gadis  akibat beban kewangan yang ditimbulkan oleh bekalan haid.

Ini bukan saja termasuk tuala wanita dan tampon, tetapi juga barangan lain berkaitan seperti ubat-ubatan dan juga pakaian dalaman wanita.

Menurut pengasas Kuching Food Aid, Datin Shentel Lee, setiap kali pasukannya menerima senarai barang dikehendaki golongan memerlukan daripada sumbangan itu, selalunya tiada siapa yang meminta tuala wanita.

“Mereka hanya meminta makanan dan minuman, serta barangan keperluan lain.

“Ada yang akan meminta lampin untuk bayi mereka," katanya.

Kuching Food Aid ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu komuniti rentan memperoleh bantuan makanan dan derma.

Pertubuhan itu kini bekerjasama dengan Persatuan Wanita Sarawak (SWWS) untuk menyokong wanita dan gadis muda daripada komuniti miskin menggunakan produk kebersihan feminin melalui kempen Derma Perlindungan Sanitari.

Menerusi kempen ini yang dijalankan sejak Februari lalu, tuala wanita termasuk antara barangan yang disumbangkan untuk masyarakat setempat, baik di bandar mahupun luar bandar.

Bercakap lebih lanjut mengenai kemiskinan haid, Shentel berkata, pasukannya di lapangan mendapati kekurangan akses kepada produk sanitari dan juga kenaikan harga runcit barangan ketika ini memberi kesan buruk kepada kumpulan B40 semasa pandemik COVID-19.

“Setiap kali kami keluar untuk menderma, kami akan ditanya tentang tuala wanita (bersaiz) yang lebih besar. Sekarang saya terdengar cerita tentang mereka mahu pad bersaiz lebih besar kerana ingin berjimat.

“Dengan pad yang lebih besar, mereka boleh memakainya sepanjang hari. Ada kalanya, wanita akan memotong pad besar menjadi dua,” katanya.

Shentel turut merungut mengenai jurang harga yang besar antara pelbagai jenis pad.

“Pergi sahaja ke pasar raya dan lihat harga, ia berbeza.

“Ia adalah perkara yang menyedihkan kerana julat harga amat besar dan juga mengelirukan,” katanya.

Malah katanya, dia terdengar banyak cerita tentang bagaimana kemiskinan haid mempengaruhi gadis muda.

“Saya pernah terdengar mereka akan memakai tuala atau jenis fabrik lain, yang akan disematkan pada pakaian dalam mereka.

“Sekiranya seorang gadis mengalami aliran haid yang banyak, dia akan ponteng sekolah kerana tidak mempunyai pad sesuai untuk dipakai," katanya.

Ada gadis apabila mengalami aliran haid yang banyak, akan ponteng sekolah kerana tidak mempunyai pad sesuai untuk dipakai - Gambar Hiasan Pexels
Ada gadis apabila mengalami aliran haid yang banyak, akan ponteng sekolah kerana tidak mempunyai pad sesuai untuk dipakai - Gambar Hiasan Pexels

 

Percanggahan tentang kelestarian

Bagaimanapun, Shentel juga mengakui percanggahan isu di sebalik perbincangan mengenai  kemiskinan haid.

Katanya, walaupun beliau menyokong usaha menyediakan tuala wanita percuma, ini sahaja tidak mencukupi untuk menangani isu kemampanan.

“Terdapat kekurangan data, saya bersetuju. Terdapat lebih banyak perkara daripada sekadar pad.

"Saya sudah bertemu dengan SWWS tentang 'seluar dalam haid' sebagai cara yang lebih mampan, sesuatu yang diusahakan ketika ini.

“Dunia semakin berubah daripada tuala wanita,” katanya.

Mengenai perkara ini, Presiden SWWS, Angie Garet berkata, memerangi kemiskinan haid akan memerlukan rancangan dan langkah yang lebih holistik.

Beliau mengulangi pendapat Shentel tentang keperluan untuk kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mendidik orang ramai tentang kesihatan haid dan kebersihan wanita.

“Ya, saya setuju dengan Shentel. Kita tidak meneliti isu ini secara mendalam. Kita hanya mengemukakan soalan di media sosial dan mengumpul komen.

“Inisiatif KKM seharusnya memberi tumpuan kepada kesihatan dan kebersihan haid. Berkenaan dengan isu ini, mereka (KKM) boleh membuat kajian mengenai gadis dan wanita di luar bandar,” katanya.

 

Perspektif ekonomi

Pakar ekonomi terkemuka, Datuk Madeline Berma tidak yakin pemberian tuala wanita percuma akan membantu memerangi kemiskinan haid.

Beliau berpendapat, inisiatif sedemikian hanya akan menjadikan lebih ramai wanita miskin bergantung pada rangkaian produk yang terhad, walaupun terdapat alternatif lain.

“Anggaplah terdapat lima keluarga, dua daripadanya adalah pelajar perempuan dan masing-masing menggunakan satu pek tuala wanita. Jumlah kos (untuk kedua-duanya) adalah kos kepada keluarga.

“Soalan saya, kenapa kita mesti ajar mereka bergantung kepada pad sedangkan kita tahu mereka miskin?

“Terdapat alternatif lain untuk 'menutupi' darah haid," katanya.

Inisiatif pemberian tuala wanita percuma dikatakan hanya akan menjadikan lebih ramai wanita miskin bergantung pada rangkaian produk yang terhad, walaupun terdapat alternatif lain - Gambar Hiasan Pexels
Inisiatif pemberian tuala wanita percuma dikatakan hanya akan menjadikan lebih ramai wanita miskin bergantung pada rangkaian produk yang terhad, walaupun terdapat alternatif lain - Gambar Hiasan Pexels

Madeline berkata, walaupun tiada data terperinci, itu tidak bermakna kemiskinan haid bukan sesuatu isu.

“Ia adalah isu kerana kita bercakap tentang kemiskinan. Ia sentiasa mementingkan pendapatan, dan terdapat penyelidikan yang terhad dilakukan mengenai kemiskinan berkaitan kesihatan, terutamanya kemiskinan haid,” katanya.

Secara keseluruhannya, Madeline menegaskan kepentingan untuk memahami konteks dan maksud istilah yang digunakan.

“Menunjukkan istilah tanpa makna yang jelas boleh membawa kepada dakwaan.

“Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah remaja perempuan di Sarawak dan Sabah tercicir daripada sekolah bukan kerana kemiskinan haid.

“Terdapat perbezaan antara ‘miss out’ dan ‘drop out’ dari sekolah. Ponteng bermakna mereka hanya terlepas kelas. Berhenti sekolah bermakna mereka tidak lagi pergi ke sekolah.

“Walaupun anda boleh menemui seorang gadis muda yang berhenti sekolah kerana kemiskinan haid, ia masih dakwaan yang sangat lemah.

“Daripada dua juta gadis muda, hanya seorang yang tercicir. Anda tidak boleh menyamaratakannya,” katanya.

Begitupun, Madeline berkata, dia tidak cuba menggambarkan kemiskinan haid sebagai bukan isu.

“Ia adalah isu, tetapi ia perlu difahami dalam konteks yang berbeza.

“Ya, mereka (perempuan) memang ponteng kelas, tetapi mereka tidak berhenti sekolah.

“Ada yang tercicir dari sekolah bukan hanya kerana kemiskinan haid, terdapat pelbagai faktor.

“Penggubal undang-undang mesti dapat memahami perkara ini dengan jelas dan tahu bagaimana untuk mengkontekstualisasikan isu ini.

“Kekurangan bekalan air terawat di kawasan luar bandar, ini juga sukar untuk ditangani.

“Bagaimana jika mereka menggunakan air hujan atau air dari gunung?” soalnya.

Madeline juga mempersoalkan tentang produk kebersihan wanita yang hanya wujud pada zaman moden.

“50 tahun lalu, mereka dari generasi yang lebih tua seperti ibu saya, biasa memakai tuala kain, yang akan mereka basuh dan gunakan, berulang kali. Ia boleh digunakan semula dan boleh dikitar semula.

“Satu-satunya, perbezaan sekarang ialah kita memilih untuk menggunakan tuala wanita kerana kita fikir ia adalah yang paling bersih. Itulah sebabnya kita beranggapan mempunyai pad adalah penting.

“Tetapi bagi penduduk luar bandar seperti yang tinggal di rumah panjang, mereka mempunyai cara tersendiri yang diamalkan sejak bertahun-tahun lamanya.

“Ia tidak bermakna tuala kain yang mereka gunakan semasa haid adalah kotor. Malah, setiap kain tuala disediakan khas. Mereka menjahit setiap helaian dan melekat pada seluar dalam,” katanya.

Madeline juga menegaskan, walaupun beliau memahami niat baik di sebalik usaha memerangi kemiskinan haid, kerajaan perlu mengambil berat tentang risiko rakyat miskin beralih kepada produk komersial.

“Apa yang menjadikan kemiskinan haid sebagai masalah kerana apabila wanita ini bergantung pada produk sanitari, mereka memerlukan akses. Apabila mereka tidak mempunyai akses, adakah ini akan menjadi masalah terlalu bergantung pada pad pakai buang.

“Kita menjadi pengguna, kita membeli segala-galanya pada masa kini, dan kita sudah terbiasa dengan semua yang kita beli sekarang.

“Pada zaman dahulu, kita mencipta, kita berinovasi. Hari ini, kita menjadi pengguna. Ini adalah perubahan dalam tingkah laku.

“Ia menjadi lebih sukar bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Pertama, kosnya tinggi, dan kedua, kebolehcapaian.

"Ini adalah masalah kerana mereka telah beralih, daripada boleh diguna semula (kain tuala) kepada produk pakai buang komersial seperti tuala wanita," katanya. - Borneo Post Online, 27 Disember 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Ada Keperluan Mendesak Untuk Sumber Air Alternatif Di Langkawi 

2

Semasa 1 bulan yang lalu

3 ‘Superman’ Wanita Diberkas, Sertai Kelab Motosikal Awek Melaka

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Berlaku Aliran Peningkatan Penggunaan Vape, Termasuk Golongan Wanita - Lukanisman

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Kajian SSPA Ambil Kira Waktu Kerja Penjawat Awam Wanita - Anwar

Sorotan

1

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

2

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

3

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

4

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

5

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

6

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

7

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini

Disyorkan untuk anda

Politik 2 jam yang lalu

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

Semasa 1 hari yang lalu

Pinjaman RM1.8 Bilion Dipindahkan Ke Luar Negara Tanpa Usaha Wajar – Saksi

Luar Negara 1 hari yang lalu

Aktiviti Gunung Berapi Cetus Pemindahan Ratusan Orang Di Sulawesi Utara Indonesia

Semasa 1 hari yang lalu

Keputusan Permohonan Najib Mulakan Semakan Kehakiman Cabar Kewujudan Titah Adendum 5 Jun