Berita Terkini

3 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Indahnya 11 Lokasi Menarik Di Malaysia Ini!

11? Sebenarnya ada lebih daripada itu. Teruskan membaca untuk mengetahui 'ceruk-ceruk' menarik pilihan kami di tanah bertuah Malaysia ini. Untuk rujukan bila sempadan negeri dibuka nanti.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 29 Aug 2021 5:50PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Mungkin sebahagian besar di antara kita sudah pernah mengunjungi setiap negeri di Malaysia, namun masih banyak ceruk-ceruk menarik yang tersembunyi dan belum kita ketahui.

Kami kongsikan aneka lokasi menarik di beberapa negeri serta wilayah Malaysia yang harus anda kunjungi.

 

Temerloh - Pahang 

Pekan Sehari, Temerloh. Gambar: M. Zulkifli
Pekan Sehari, Temerloh. Gambar: M. Zulkifli

Hanya lebih kurang sejam setengah dari ibu kota Kuala Lumpur, bandar Temerloh, Pahang menjanjikan lawatan balik hari (day trip) yang menarik dan bermanfaat untuk seisi keluarga.

Dan wajib anda pergi hari Ahad kerana pada hari itu saja Pekan Sehari, pasar minggu terpanjang di Malaysia, dibuka kepada pengunjung dari jam 7 pagi hingga 1 tengah hari. 

Apa yang ada di sana? Soalan lebih tepat ialah apa yang TIADA? Segala macam makanan tempatan dan tradisional, ikan air tawar yang sukar ditemui, pakaian, buah-buahan, barang keperluan harian, semuanya ada dengan harga yang berpatutan. 

Suasana di Pekan Sehari, Temerloh. Gambar: M. Zulkifli
Suasana di Pekan Sehari, Temerloh. Gambar: M. Zulkifli

Lokasinya di pinggir Sungai Pahang juga menjadikannya sangat Instagramable. Dan tak sah kalau anda ke Temerloh tanpa mencuba hidangan khas bandar ini – ikan patin masak tempoyak. 

Tanya saja penduduk tempatan (atau Tripadvisor) gerai mana yang patut dicuba, pasti anda pulang dengan kenangan terindah. - M. Zulkifli

 

Empangan Timah Tasoh - Perlis

Empangan Timah Tasoh. Gambar: Rahayu MN
Empangan Timah Tasoh. Gambar: Rahayu MN

Jika dahulu, negeri paling utara di Semenanjung Malaysia ini jarang menjadi tumpuan umum. Namun, akhir-akhir ini Perlis trending di media sosial kerana negeri Indera Kayangan ini semakin mendapat kebebasan.

Salah satu tarikan mesti singgah di Perlis ialah Empangan Timah Tasoh yang terletak di mukim Berseri, 17 kilometer utara bandar Kangar.

Nama empangan ini diambil sempena dengan nama dan tempat pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh.

Mengapa harus ke sini? Kerana ia menjanjikan pemandangan memukau mata memandang. Cukup indah jika berkesempatan menyaksikan matahari terbenam.

Jika dahulu anda hanya boleh menyaksikan pemandangan tasik yang mendamaikan, kini sudah ada tarikan terbaru yang disediakan oleh Tasoh Lake Resort by Tasoh TasikKu.

Terdapat pelbagai tarikan dan kemudahan yang menanti anda di sini. Antaranya ialah gerai-gerai makan, taman tulip, aktiviti berbasikal dan skuter, serta pelbagai arca seni yang boleh diabadikan sebagai foto-foto kenangan. - Rahayu MN

 

Miri - Sarawak  

Gua Rusa, Miri. Gambar: Sarawaktourism.com
Gua Rusa, Miri. Gambar: Sarawaktourism.com

Keajaiban Tapak Warisan Dunia UNESCO, Taman Negara Gunung Mulu sememangnya menjadi tarikan utama buat pelancong di dalam dan di luar negara.

Ini menjadikan daerah Miri yang terletak di bahagian utara negeri Sarawak sebagai tempat yang wajib untuk dijelajahi. Di sinilah letaknya Sarawak Chamber iaitu ruang atau kamar gua terbesar di dunia.

Dengan keluasan 600 meter x 415 meter beserta ketinggian 80 meter, ruang gua ini mampu menampung sebanyak 40 pesawat Boeing 747. Ini sememangnya adalah suatu fakta!

Permukaan geografi Taman Negara Gunung Mulu ini juga sangat indah dan luar biasa kerana ia dihiasi batu kapur, lingkaran air batu yang jernih serta dilitupi hutan dara tropika yang tebal dan masih terpelihara.

The Pinnacles iaitu puncak batu-batu tajam meruncing yang seakan pisau cukur serta fenomena Bat Exodus yang menyaksikan berjuta-juta kelawar keluar dari sarang gua pada waktu petang untuk masuk ke hutan menambahkan lagi keajaiban Taman Negara Gunung Mulu ini. 

Malah, ia turut memiliki Laluan Kanopi Mulu yang mempersonakan bagi pencinta alam untuk menikmati keindahan tumbuhan dan hidupan liar di sini. Laluan yang sepanjang 480 meter merupakan laluan pokok terpanjang di dunia.

Di Miri juga terletaknya Taman Negara Gua Niah yang pernah menjadi penempatan awal manusia di Asia Tenggara sekitar 40,000 tahun lalu. Gua ini terdiri daripada satu gua besar (The Great Cave) bersama beberapa gua kecil.

Pantai Tusan Bekenu. Gambar: Facebook Sarawak Aritok
Pantai Tusan Bekenu. Gambar: Facebook Sarawak Aritok

Satu lagi tempat menarik di Miri ialah Pantai Tusan Bekenu. Ia yang menjadi tumpuan ramai kerana wujudnya fenomena alam yang dinamakan bioluminescence ataupun air mata biru.

Di Pantai Tusan Bekenu ini juga terdapat tebing yang terhasil daripada pembentukan batu unik pada bukit di tepian pantai melalui hakisan dan hempasan ombak tanpa henti. - Ellyna Ali

 

Tongod - Sabah  

Maliau Basin. Gambar: Facebook Rabaatul Linda Saumin Sinun
Maliau Basin. Gambar: Facebook Rabaatul Linda Saumin Sinun

Ya, nama Tongod barangkali agak asing di bibir pembaca. Tapi di daerah inilah terletaknya Lembangan Maliau atau Maliau Basin yang penuh dengan misteri dan ia masih belum berjaya dirungkai lagi hingga pada saat ini. 

Maliau Basin memiliki permukaan geografi yang cukup aneh tapi pada waktu yang sama cukup unik serta menakjubkan.

Merangkumi kawasan hutan asli seluas 390km persegi, lembangan yang terdiri daripada tanah rata ini ini berbentuk seperti separa bulatan yang hampir membulat penuh tetapi disempadani tebing curam menggerunkan di sekelilingnya yang menjangkau ketinggian 1,675 meter dari aras laut.

Disebabkan tebing curam inilah, lembangan ini juga berbentuk seakan-akan kawah. Ia terbentuk sebegitu sejak 5 juta tahun yang lalu akibat proses geologi daripada aktiviti letusan gunung berapi. 

Di dalam kawah ini jugalah pelbagai jenis hidupan liar dan tumbuhan prasejarah telah hidup membiak di dalam dunia mereka sendiri serta mewujudkan sebuah ekosistem yang langsung tidak terusik. 

Maliau Basin dari atas. Gambar: Maliaubasin.org
Maliau Basin dari atas. Gambar: Maliaubasin.org

Ia tidak ubah seperti taman dinasour yang digambarkan pengarah Steven Spielberg di dalam  filem Jurassic Park arahannya pada 1993.  Lembangan ini juga adalah kawasan tadahan air terbesar yang dialirkan ke Sungai Maliau sebelum berakhir ke Sungai Kinabatangan.

Malah, ia juga memiliki 40 buah air terjun dan yang paling terkenal adalah air terjun setinggi 28 meter yang mempunyai tujuh tingkat di kawasan Sungai Maliau.

Penemuan misteri Maliau Basin yang menakjubkan ia membuatkan ia digelar The Lost Word Of Sabah.

Atas sebab itu, pada tahun 1997, kerajaan Sabah telah mewartakan lembah sungai itu sebagai kawasan Hutan Simpan Dilindungi (Kelas 1) iaitu ia tidak boleh diteroka pada masa kini dan masa depan.

Di Tongod juga, and boleh menjelajah ke Pinangah Forest Reserve dan Deramakot Forest Reserve yang juga mempunyai kepelbagaian fauna dan flora.

Bagi pencinta alam dan sejarah, Tongod sememangnya adalah tempat yang wajib untuk dijelajahi. - Ellyna Ali

 

Putrajaya - Wilayah Persekutuan Putrajaya

Dataran Putra, Putrajaya. Gambar: Unsplash
Dataran Putra, Putrajaya. Gambar: Unsplash

Ramai yang melihat Putrajaya sekadar pusat pentadbiran dan jika perlu berkunjung, separuh hari sahaja sudah cukup. Bergambar di Masjid Besi (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) atau Masjid Putra serta beberapa bangunan lain, sudahlah.

Tetapi sebagai seorang warga Putrajaya, penulis ingin mencadangkan Putrajaya sebagai lokasi staycation atau percutian long weekend.

Putrajaya tidak mempunyai sawah padi atau pantai tapi ia mempunyai banyak taman yang menarik serta lorong-lorong berbasikal atau jalan kaki yang cukup menyejukkan mata.

Pemandangan Masjid Tuanku Mizan dari Ayer8, Putrajaya. Gambar Fail Getaran
Pemandangan Masjid Tuanku Mizan dari Ayer8, Putrajaya. Gambar Fail Getaran

Ya, wisata alam tanpa perlu masuk hutan atau melekit-lekit tepi laut. Jika anda menginap di salah satu hotel yang terdapat di sini, anda dapat menikmati semua ini sepuasnya.

Tip daripada penulis— jangan berbasikal atau jalan kaki di jalan besar. Buka peta dan cuba lihat lokasi tasik-tasik yang ada di sini dan berbasikal atau berjalanlah di sekeliling tasik itu.

Taman pilihan penulis pula adalah Putrajaya Wetlands. Banyak yang boleh dipelajari tentang unggas dan burung di sini serta sistem konservasi alam. Kalau kena nasib, boleh lihat pelbagai jenis burung dan kadangkala ada memerang!

Kalau mahu, boleh juga bersiar-siar pada waktu malam sekeliling Putrajaya. Gambar Fail Getaran
Kalau mahu, boleh juga bersiar-siar pada waktu malam sekeliling Putrajaya. Gambar Fail Getaran

Masuk waktu makan tengah hari atau makan malam, banyak pilihan gerai makanan menarik dan kalau anda tidak boleh berenggang dengan mall, ada beberapa mall yang mudah untuk dikunjungi.

Untuk yang beragama Islam, pabila masuk waktu solat, boleh berkunjung ke dua masjid terkenal yang ada dan solat jemaah di sana. - Ili Farhana

 

Kuala Kubu Bharu – Selangor

'White water rafting' di Kuala Kubu Bharu. Gambar: Firdouss Ross, Unsplash
'White water rafting' di Kuala Kubu Bharu. Gambar: Firdouss Ross, Unsplash

Biarpun Selangor mempunyai banyak lokasi popular berkat kedudukannya sebagai negeri paling maju di Malaysia, namun ada beberapa destinasi lain yang tidak kurang hebatnya.

Kuala Kubu Bharu adalah salah satu daripada tempat yang dimaksudkan. Terletak sekitar 70km dari bandar raya Kuala Lumpur, Kuala Kubu Bharu merupakan salah satu pekan di Hulu Selangor yang mempunyai beberapa tarikan tersendiri.

Empangan Sungai Selangor. Gambar: Nattu Adnan, Unsplash
Empangan Sungai Selangor. Gambar: Nattu Adnan, Unsplash

Selain terdapat sebuah galeri seni dan stesen keretapi yang cantik untuk dijadikan tempat penggambaran ia juga mempunyai kawasan alam sekitar yang menenangkan.

Ini termasuk air terjun Chiling dan juga kawasan air sungai yang dijadikan tempat penginapan percutian dengan kemudahan ringkas berdekatan Empangan Sungai Selangor yang bernama Glamping Pinang Sebatang. - Shah Shamshiri

 

Bandaraya Melaka dan Pantai Klebang - Melaka 

Sungai Melaka. Gambar: Sara Mack Lubis
Sungai Melaka. Gambar: Sara Mack Lubis

Meskipun negeri Melaka kecil di atas peta namun, ia merupakan antara destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. Kaya dengan peninggalan sejarah dan pelbagai budaya, setiap tempat ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

Jonker Street menjadi destinasi wajib dilawati semasa melancong ke Melaka. Terkenal dengan galeri seni, kedai antik dan bangunan yang dipenuhi dengan lukisan graffiti, jika anda singgah ke sini, tak sah jika tak membeli apa-apa.

Alang-alang sudah ke Melaka, singgahlah juga ke Pantai Klebang. Ada gumukan pasir seakan padang pasir di Dubai. Sambil menikmati pemandangan yang indah, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menunggang kuda.

Gumuk pasir di Pantai Klebang. Gambar: Sara Mack Lubis
Gumuk pasir di Pantai Klebang. Gambar: Sara Mack Lubis

Pantai ini juga terkenal dengan Coconut Shake Klebang dan pelbagai gerai makanan sepanjang pantai yang mesti anda cuba.

Pada waktu malam, cubalah Sungai Melaka River Cruise untuk melihat keindahan kota yang dihias dengan lampu neon dari sebuah bot. Ia pasti akan memberi kenangan manis dan tidak dapat dilupakan. - Sara Mack Lubis

 

Belum - Perak

Hutan Belum dari Belum Rainforest Resort. Gambar: Ili Farhana
Hutan Belum dari Belum Rainforest Resort. Gambar: Ili Farhana

Terletak di utara Perak, Taman Negeri Royal Belum berkeluasan 300,000 hektar dan terbahagi kepada dua bahagian di sempadan Malaysia-Thailand.

Hutan Belum berusia 130 juta tahun, menjadikan ia sebagai hutan hujan tropika tertua di dunia, lebih tua daripada Hutan Amazon.

Kawasan hutan yang tidak terusik oleh tamadun ini dianggap sebagai hutan tembok semula jadi oleh UNESCO dan diisytiharkan Jabatan Hutan Negara sebagai jajaran hutan induk yang meliputi Banjaran Titiwangsa, Banjaran Bintang dan Banjaran Nakawan.

Menariknya, terdapat pelbagai spesies pohon yang hampir pupus seperti Meranti, Cengal dan Merbau yang masih tumbuh liar di Hutan Belum ini.

Tasik Temenggor pada waktu senja. Gambar: Ili Farhana
Tasik Temenggor pada waktu senja. Gambar: Ili Farhana

Hutan ini juga merupakan satu-satunya hutan di Semenanjung Malaysia yang ditumbuhi bunga pakma atau Rafflesia.

Hutan Belum turut menjadi habitat kepada spesies burung Enggang terbanyak di dunia dengan lebih 10 spesies Enggang, 80 spesies mamalia termasuk Gajah Asia, Harimau Malaya, Seladang Malaya, Tapir Malaya, Kucing Emas dan pelbagai jenis keluarga kucing.

Pengunjung boleh merasai pengalaman dan menikmati keindahan hutan hujan tertua di dunia ini di pusat peranginan lima bintang, Belum Rainforest Resort yang terletak Pulau Banding, Tasik Temenggor, Perak. - Zaidi Che

 

Hutan Simpan Gunung Tebu - Terengganu

Lata Kolam Air Deru Ecopark. Gambar: Hasif Hamsyari
Lata Kolam Air Deru Ecopark. Gambar: Hasif Hamsyari

Bercakap tentang Terengganu, pasti orang akan selalu berbual tentang pulau-pulaunya yang indah. Tapi, tahukah anda, ada banyak lokasi lain di Terengganu yang sebenarnya tak kalah menarik untuk dikunjungi.

Terletak jauh di Hulu Besut, Hutan Simpan Gunung Tebu ialah lokasi rahsia yang masih tak diterokai banyak orang iaitu Lata Kolam Air Deru Ecopark.

Berkonsepkan ecotourism iaitu membawa pengunjung dekat dengan alam, sangat cocok jika anda ingin melarikan diri dari kesibukan kota. Airnya sangat jernih dan juga disediakan kelengkapan tempat penginapan.

Berkayak di Sungai Berang. Gambar: Hasif Hamsyari
Berkayak di Sungai Berang. Gambar: Hasif Hamsyari

Selain itu, lokasi seterusnya ialah Sungai Berang yang terletak di Hulu Terengganu. Ia digelar Little Amazon kerana hutannya yang dipenuhi pokok yang besar dan airnya jernih sampai ke dasar.

Antara aktiviti yang selalu menjadi tumpuan di sini ialah berkayak. - Wafa Awla

 

Baling - Kedah

Pemandangan dari Gunung Baling. Gambar: Mdbalingtourism.gov.my
Pemandangan dari Gunung Baling. Gambar: Mdbalingtourism.gov.my

Jauhnya. Mungkin ini yang meluncur laju dari mulut anda sekiranya pertama kali bertandang ke Baling, Kedah.

Namun, percayalah anda tidak akan menyesal kerana daerah kedua terbesar di Negeri Jelapang Padi ini menawarkan pelbagai tarikan menarik buat mereka yang dambakan kedamaian.

Sekiranya anda pencinta panorama indah, di sinilah syurganya. Pendek kata, sehari dua tidak cukup untuk meneroka apa yang ditawarkan daerah ini lebih-lebih lagi jika anda penggemar aktiviti lasak. 

Antara tarikan utamanya adalah adalah Gunung Baling. Berdiri megah, gunung batu kapur ini menjadi kebanggaan penduduk sekitar apabila sering menjadi pilihan ramai pendaki dari dalam dan luar negara.

Dengan ketinggian 546 meter dari paras laut, terdapat banyak gua batu kapur untuk diterokai pendaki bahkan panorama indah puncaknya saat matahari terbit dan hamparan awan karpet menjadikannya sangat popular.

Selain itu, sekiranya anda suka berkelah dan mandi-manda, jangan lepaskan peluang berkunjung ke Lata Bayu dan Hutan Lipur Bukit Hijau yang menjadi tumpuan penduduk Kedah, Perak dan Pulau Pinang. 

Lata Bayu, Baling. Gambar: Percutianbajet.com
Lata Bayu, Baling. Gambar: Percutianbajet.com

Destinasi lain yang sering menjadi tumpuan pelancong adalah Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong yang menyediakan beberapa kategori kolam mandi air panas semula jadi.

Sekiranya anda pencinta sejarah, boleh berkunjung ke Galeri Putra yang terletak di Sekolah Kebangsaan Tunku Putra.

Di sinilah berlangsungnya Rundingan Baling di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang diwakili Tunku Putra Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan David Marshall dan Parti Komunis Malaya (Chin Peng, Chien Tien dan Rashid Maidin) pada 28 dan 29 Disember 1995.

Oh ya, ada juga Terowong Komunis yang aktif digunakan pada 1948 hingga 1968. 

Baling juga terkenal dengan pelbagai seleksi gua menarik untuk dikunjungi.

Paling menjadi sebutan adalah Gua Sireh apabila diiktiraf sebagai antara gua tercantik, terbesar dan terpanjang di Malaysia. Keunikan dan keindahannya pasti meninggalkan kenangan manis buat anda. - Shakilawati Abd Rahman

 

Kelip-Kelip Sg. Lebam - Johor

Restoran Terapung Seafood Bujang Fireflies. Gambar: Instagram @bluepebblefairy
Restoran Terapung Seafood Bujang Fireflies. Gambar: Instagram @bluepebblefairy

Pernahkah anda melihat kelip-kelip secara dekat, atau hanya menyaksikannya secara maya? Kelip-kelip menghasilkan reaksi kimia dalam badannya, membolehkan ia mengeluarkan cahaya pada waktu malam.

Bagi yang ingin menyaksikannya, di Johor ada beberapa tempat yang menarik dengan salah satu daripadanya ialah Bujang Fireflies yang terletak di Bandar Penawar, Johor.

Ia dinamakan sebagai Bujang, sempena nama pengusaha yang mengusahakan aktiviti tengok kelip-kelip ini. Anda akan menaiki bot besar menyusuri Sungai Lebam, dari restoran terapung di situ, yang dikenali sebagai Restoran Terapung Seafood Bujang Fireflies.

Selalunya restoran berkenaan akan penuh dengan pelanggan, terutama pada hari minggu.

Ia memang menenangkan, sambil belayar, sambil menikmati suasana malam dengan kerlipan cahaya kelip-kelip. Jadi apa lagi, siapkan diri anda untuk ke sini sebaik sahaja kita boleh merentas negeri kelak. - Habibah Omar - Getaran, 29 Ogos 2021

Isu Pada

Aspirasi Deborah Henry, Marsha Londoh Dan Douglas Lim

28 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Kisah Kita 1 minggu yang lalu

Anak Muda Gigih Bersihkan Pantai, Sungai Kotor Di Terengganu

3

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart