KUALA LUMPUR - Konflik dalaman Persatuan Kriket Malaysia (MCA) terus berlarutan, walaupun pelbagai langkah telah diambil, termasuk melibatkan prosiding mahkamah.
Terbaru, pasukan guaman mewakili bekas presiden, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali, memfailkan permohonan agar saman sivil yang difailkan terhadap beliau dan barisan exconya dibatalkan.
Mahkamah Tinggi semalam dimaklumkan oleh peguam Iqbal, Datuk Seri Rajan Navaratnam bahawa plaintif bertindak terlalu awal dengan memfailkan saman tersebut.
Katanya, ia bukan tindakan yang wajar kerana Akta Pembangunan Sukan 1997 (APS 1997) memperuntukkan langkah dalaman mandatori yang perlu dihabiskan terlebih dahulu sebelum sesuatu pihak mendapatkan campur tangan mahkamah.
Beliau berkata, perkara ini sepatutnya diselesaikan melalui mekanisme dalaman, seperti digariskan Seksyen 23 APS 1997.
“Selain itu, Pesuruhjaya Sukan mempunyai kuasa untuk menyiasat sebarang pertikaian antara pihak-pihak, termasuk sama ada peletakan jawatan beliau sah atau tidak, sama ada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dijalankan dengan betul mengikut perlembagaan persatuan dan sebagainya,” katanya.
Mahkamah diberitahu, EGM MCA dipercepat dan diadakan dua minggu sebelum Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM) bagi memastikan pasukan kepimpinan Iqbal tidak dapat dipilih semula.
Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan MCA untuk mendapatkan injunksi terhadap lima ahlinya yang bukan lagi ahli jawatankuasa eksekutif dan tidak boleh bertindak sebagai exco.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menolak permohonan tersebut atas alasan plaintif gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa defendan telah mengambil langkah untuk mengakui diri mereka sebagai Exco MCA.
Terdahulu, Naib Presiden MCA dan Bendahari Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Ahmad Feisal dilaporkan menuduh kesemua defendan termasuk Iqbal dan ahli jawatankuasa lain mencampuri urusan persatuan, walaupun telah mengumumkan peletakan jawatan secara terbuka.
Selain Iqbal, turut didakwa terlibat ialah Dr Arun Kumar, Amarjeet Singh, Mahnorizal Mahat dan Ahmad Salman Othman.
Getaran sebelum ini melaporkan, Mohammed Iqbal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden MCA pada 13 April tahun lalu, tetapi bertindak menarik semula keputusan berkenaan dan memutuskan untuk meneruskan tugas sehingga tamat penggal semasa.
Konspirasi Singkir Kepimpinan MCA
Dalam beberapa laporan terdahulu, Getaran mendedahkan, wujud konspirasi oleh beberapa ahli untuk menjatuhkan kepimpinan MCA yang ketika itu diterajui Iqbal (presiden) dan Dr Arun Kumar (timbalan).
Ini susulan dakwaan seorang naib presiden negeri bahawa tandatangannya telah dipalsukan dalam borang permohonan oleh Persatuan Kriket Perak bagi menyingkirkan Iqbal dan Dr Arun Kumar.
EGM yang kontroversi itu telah diadakan pada 27 April, dan Mahinda serta Ahmad Feisal selaku Pemangku Presiden ketika itu didakwa meluluskan beberapa usul yang sama sekali tidak disenaraikan dalam agenda rasmi.
Difahamkan, seorang lagi individu yang terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Iqbal ialah Naib Presiden Persatuan Kriket Sarawak, Gordon Chung.
Mahinda, Chung dan Bendahari Kehormat, Sehar Sinnadurai turut hadir di mahkamah semalam.

Dalam prosiding sama, Rajan juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan memohon agar saman tersebut dibatalkan sepenuhnya.
“Proses dalaman yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan tidak pernah dipatuhi. Pemfailan saman ini, adalah pramatang dan merupakan satu penyalahgunaan proses,” tegasnya.
Beliau berkata, kes ini pada hakikatnya telah luput daripada segi relevan berikutan kitaran pilihan raya MCA.
“Saman ini kini menjadi berlebihan dan bersifat akademik kerana pengisytiharan yang mereka tuntut bahawa Iqbal bukan lagi presiden, bukan lagi isu yang sah.
“Mereka telah menamatkan penggal pada 27 April 2025. Jadi mengapa perlu meneruskan saman ini,” katanya.
Mahkamah Tinggi dijadualkan untuk meneruskan pendengaran hujahan pada 3 Februari dan selepas itu, satu lagi keputusan dijangka dibuat.
“Hujahan sambungan kami pada 3 Februari akan diselesaikan. Selepas itu, hakim akan membuat keputusan,” katanya.
Rajan menegaskan, undang-undang mewajibkan semua badan sukan menyelesaikan masalah mereka secara dalaman sebelum membawa perkara terbabit ke mahkamah.
“Terdapat satu kes ingin saya sandarkan yang menyatakan, semua remedi dalaman sama ada dalam perlembagaan atau peraturan, mesti dihabiskan terlebih dahulu sebelum ke mahkamah. Jika tidak, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa,” katanya.
Sedang Dalam Siasatan
Rajan memberitahu, Pesuruhjaya Sukan memaklumkan bahawa isu MCA sedang disiasat.
Mahkamah juga dimaklumkan, Iqbal telah memutuskan tidak akan bertanding semula bagi jawatan presiden, namun mahu memastikan pilihan raya yang telus, mematuhi keperluan APS serta menjamin pengiktirafan hak semua pihak berkepentingan.
Iqbal sebelum ini memberitahu Getaran, tiada sebarang penyelesaian pernah dimohon dan mereka kekal komited sepenuhnya untuk mempertahankan perkara ini secara terhormat dan telus.
“Adalah penting untuk meluruskan fakta sekali dan untuk selamanya: kami tidak memulakan prosiding ini. Kami tidak menyeret sesiapa ke mahkamah, dan kami juga tidak menjadikan litigasi sebagai strategi walaupun terdapat naratif mengelirukan disebarkan kepada komuniti sukan yang lebih luas.
“Kami berada dalam perkara ini sebagai defendan, bukan plaintif, dan oleh itu amat mengelirukan serta mengecewakan apabila terdapat percubaan berterusan untuk memesongkan persepsi awam dan mengubah gambaran sebenar situasi ini,” katanya.
MCA sebelum ini mengemukakan permohonan segera kepada Pesuruhjaya Sukan untuk campur tangan, berikutan kebimbangan mengenai keahlian dan tadbir urus dalam persatuan tersebut.
Menerusi permohonan berkenaan, beliau memperincikan 10 kebimbangan dalam sepucuk surat, termasuk penafian hak keahlian melibatkan Persatuan Kriket Kelantan dan Sabah.
Turut diperincikan ialah penindasan hak keahlian secara tidak sah melibatkan Persatuan Kriket Putrajaya serta dakwaan ketidakberfungsian Persatuan Kriket Kedah dan Perlis. - Getaran, 10 Januari 2026
