PORTIMAO - Penunggang Ducati Francesco Bagnaia menang GP Algarve yang dihentikan awal kerana insiden bendera merah manakala juara dunia MotoGP Fabio Quartararo gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh daripada jentera Yamahanya.
Penunggang Itali Bagnaia, yang memulakan perlumbaan di petak utama untuk perlumbaan kelima berturut-turut, menamatkan saingan di hadapan juara dunia tahun lepas Joan Mir (Suzuki) dan penunggang Australia Jack Miller yang juga menunggang untuk Ducati.
Quartararo yang bermula dari petak ketujuh terjatuh dengan perlumbaan berbaki lima pusingan lagi di litar yang sama di mana dia menjuarai GP Portugal pada April.
Ini adalah kali pertama dia gagal menamatkan perlumbaan musim ini.
Bagnaia unggul mendahului perlumbaan daripada pusingan pertama hingga tamat dan memastikan Ducati menjuarai kategori pengeluar.
Perlumbaan ini ditamatkan awal selepas bendera merah dikibarkan kerana pelanggaran yang berlaku antara Miguel Oliveira dan Iker Lecuona, kedua-duanya menunggang jentera KTM, dengan saingan berbaki dua pusingan lagi.
Kedua-dua pelumba dalam keadaan sedarkan diri, tetapi Oliveira memerlukan pemeriksaan di pusat perubatan litar.
Dalam kelas Moto3 pula, Pedro Acosta menjadi juara dunia di usia 17 tahun, menjadikan dirinya pelumba muda yang perlu diberi perhatian selepas melintasi garisan penamat di tempat pertama.
Acosta menang enam daripada 17 perlumbaan dalam musim debut yang menakjubkan dan di usia 17 tahun 166 hari, penunggang KTM itu menjadi juara dunia kedua termuda dalam mana-mana kelas Moto di belakang Loris Capirossi, yang mengekalkan rekodnya dengan perbezaan sehari.
Dalam kelas Moto2, Remy Gardner memastikan perebutan kejuaraan dunia akan ke perlumbaan terakhir musim ini selepas menjuarai GP Algarve di hadapan pencabar terdekat Raul Fernandez.
Kemenangan penunggang Australia itu melebarkan jurang kepada Fernandez dengan 23 mata.
Penunggang Britain Sam Lowes menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. - AFP

