KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah tergamak mengugut untuk membunuh ibunya sambil mengacukan gunting kerana mendakwa wanita itu bukan ibu kandungnya, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, suspek yang berusia 27 tahun dikatakan tiba-tiba ‘naik minyak’ di kediamannya dekat Pandan Indah, Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa seorang wanita berusia 54 tahun dikatakan keluar dari biliknya untuk ke dapur, sebelum dia melihat anak sulungnya itu berada di ruang tamu.
Katanya, suspek ketika itu sedang memegang gunting tajam dan mengacukannya ke arah wanita terbabit sambil mengugut untuk membunuh mangsa kerana didakwa bukan ibunya.
“Suspek juga telah mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa menyebabkan wanita itu lari menyembunyikan diri dalam bilik dan menguncinya kerana ketakutan.
“Mangsa adalah ibu tunggal dan ketika kejadian dia berada di rumah bersama suspek dan seorang lagi anaknya yang berusia sembilan tahun,” katanya kepada media.
Menurut beliau, suspek ditahan pada jam 2 petang semalam dan polis turut merampas sebilah gunting berukuran empat inci yang dipercayai digunakan lelaki terbabit untuk mengugut ibunya.
“Semakan mendapati suspek memiliki 14 rekod jenayah lampau dalam pelbagai kes termasuk penyalahgunaan dadah, malah ujian saringan air kencing menunjukkan lelaki itu positif dadah jenis metamfetamin.
“Kejadian dipercayai kerana suspek masih di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan dia tidak dapat berfikir secara rasional,” katanya.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Getaran, 18 Ogos 2021

