Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Busana Atlet Sukan Olimpik, Antara Puji Dan Keji

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Jul 2021 3:15PM

Inspirasi rekaan busana untuk pasukan Olimpik negara ini direka dengan mengambil kira 3 aspek iaitu Jalur Gemilang, baju kebangsaan dan berunsur kreatif. - Gambar Syeda Imran

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SHAH ALAM - Unik, cantik dan memukau mata memandang adalah rangkuman tepat bagi mendefinisikan rekaan busana digayakan kontinjen Malaysia, ketika melangkah masuk ke lapangan stadium pada upacara perarakan pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Ibarat pendekar segak dan srikandi menawan, busana mengenengahkan gaya pemakaian Laksamana Hang Tuah itu bukan sahaja menerima pujian serta maklum balas positif daripada rakyat negara ini, termasuk kebanyakan media, tetapi juga menarik perhatian penonton di seluruh dunia.

Namun, entah mengapa, di sebalik momen membanggakan negara itu, timbul pendapat kurang enak daripada segelintir pihak mengenai busana terbabit.

Kata mereka, rekaan itu tidak mencapai standard untuk dipersembahkan di acara berstatus antarabangsa kerana tidak menggambarkan identiti sebenar, sekali gus ‘membunuh’ ciri klasik busana tradisional Melayu.

Ada pula mempertikaikan buah fikiran ditampilkan pereka daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu, khususnya dari aspek pemilihan fabrik.

Menurut pihak berkenaan, kenapa tidak menggunakan fabrik lebih eksklusif seperti batik atau songket, malah penggunaan warna berteraskan Jalur Gemilang juga sudah acap kali dipersembahkan di mata dunia.

Khairulazlan Abdul Karim
Khairulazlan Abdul Karim

Kontroversi berkenaan membawa kepada pertemuan Getaran bersama Ketua Pasukan Pereka FSSR yang juga pensyarah kanan di Jabatan Fesyen, Khairulazlan Abdul Karim, di sini semalam, bagi merungkai gambaran sebenar situasi ‘hangat’ tersebut.

Beliau memberitahu, projek penghasilan busana untuk dipakai kontinjen Malaysia di temasya sukan terbesar dunia itu bermula selepas Pusat Daya Cipta (PDC) FSSR, UiTM menerima pelawaan daripada pihak pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) sekitar Februari lalu.

“Saya dipertanggungjawabkan pihak Jabatan Fesyen FSSR untuk menggalas amanah ini dengan dibantu seorang pensyarah, Mohammad Wazir Jahilan dan pelajar tahun akhir, Muhammad Fawwaz Mohd Fuat sebagai pasukan pereka.

“Sejak itu bermula perjalanan kami menghasilkan rekaan ini dengan mesyuarat pertama bersama pengurusan MSN diadakan pada akhir Februari, bagi membincangkan dan memperincikan apakah konsep serta karateristik dinginkan mereka untuk digayakan kontinjen,” katanya memula bicara.

Khairulazlan berkata, inspirasi rekaan busana itu juga adalah hasil perbincangan teliti bersama pengurusan MSN menerusi tiga kata kunci diwajibkan, iaitu warna berasaskan Jalur Gemilang, baju kebangsaan dan berunsur kreatif.

Beberapa persalinan pahlawan dan srikandi tanah air jelasnya, disenarai pendek untuk lakaran berkenaan, tanpa menafikan nilai klasik yang ada pada setiap rekaan.

Selepas diperhalusi, mereka sepakat memilih gaya pemakaian Hang Tuah yang menggambarkan inspirasi, kekuatan, semangat juang dan kesetiaannya kepada Sultan untuk diterapkan dalam busana  digayakan peserta lelaki.

“Kita bukan nak meniru apa dipakai Hang Tuah, sebaliknya kita lihat cara penggayaan yang menampilkan kekuatan kepada dirinya sebagai aura untuk diserapkan kontinjen negara saat berjuang di Sukan Olimpik.

“Kita tengok karakter gaya pemakaiannya ada empat komponen pakaian, iaitu jaket (muscat), set baju Melayu Teluk Belanga, samping dan tanjak, manakala bagi konsep busana kontinjen wanita, kita pilih Srikandi sebagai pendamping Hang Tuah yang mengenakan baju kurung, kain sarung serta selendang dengan dilengkapkan dokoh tiga beradik sebagai aksesori pelengkap penampilan,” katanya.

Kontinjen Malaysia berarak masuk ke stadium pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Jumaat lalu. - Gambar fail AFP
Kontinjen Malaysia berarak masuk ke stadium pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Jumaat lalu. - Gambar fail AFP

Mengulas lanjut Khairulazlan berkata, sememangnya pada peringkat awal mereka bersetuju dengan pemilihan batik dan songket sebagai fabrik utama, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan bahan berkenaan diperoleh, selain turut berdepan kekangan masa dan kos.

“Atas dasar itu, kita beralih beberapa motif corak berbeza, antaranya organik, ‘marble’ dan celoreng, sebelum pemilihan geometri dimuktamadkan.

“Geometri ini apabila digabungkan akan menghasilkan corak menarik, malah motif ini juga dipilih kerana membawa maksud pucuk rebung yang sering digunakan dalam penghasilkan rekaan batik,” katanya.

Susunan corak pada samping, tanjak dan kain sarung digunakan pula jelas beliau, menggambarkan perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian kaum di Malaysia.

Mengulas kesukaran dihadapi pasukannya sepanjang menjayakan projek itu, Khairulazlan menyifatkan cabaran utama kekangan masa kerana mereka hanya diberikan masa kurang dari tiga minggu untuk menyiapkan kesemua 16 helai busana.

Jelasnya, selepas mengambil ukuran kesemua atlet dan peserta pada 31 Mei lalu, keesokannya kerajaan melaksanakan PKP penuh yang menyaksikan semua premis ditutup, termasuk kedai kain, tetapi dengan hubungan dan rangkaian baik bersama pembekal, mereka memperoleh tempahan penuh beberapa hari kemudian, sebelum memulakan proses penghasilan busana.

Busana itu, katanya, dihantar ke pihak pengurusan MSN pada 18 Jun untuk sesi padanan ukuran bagi memastikan ukuran dihasilkan benar-benar berpadanan.

“Penghantaran pakaian juga turut berdepan cabaran apabila kami terpaksa menyerahkan kesemua busana itu kepada pihak pengurusan MSN menerusi pengawal keselamatan, sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP Penuh, menyebabkan peserta terpaksa melakukan padanan ukuran sendiri.

“Mereka diminta menulis maklumat di kertas atau merakam gambar serta video sekiranya terdapat bahagian pakaian itu perlu dibesarkan atau dikecilkan dan alhamdulillah mereka mengikut arahan dengan sangat baik walaupun berdepan jadual latihan ketat,” katanya,

Menjawab aspek pemilihan fabrik yang turut dipersoalkan segelintir pihak kerana dianggap tidak memiliki nilai ekslusif untuk dipertontonkan di negara luar, Khairulazlan berkata, ada sebab tersendiri mengapa pasukannya menggunakan jenis kain itu.

“Pemilihan fabrik ini bukan sahaja memudahkan logistik, tetapi juga kerana teksturnya yang tidak mudah renyuk dan tidak begitu tebal, sekali gus memudahkan ia disarung sebaik peserta tiba di Tokyo untuk sesi perarakan masuk.

“Kita memang kena jaga sebaiknya emosi setiap atlet sebab mereka ini tidak boleh hilang ‘mood’ supaya tumpuan hanya diberikan kepada kejohanan itu dan Alhamdulillah, tiada langsung rungutan diterima daripada mereka berhubung pakaian disediakan,” katanya sambil memberitahu, rekaan terbabit menggunakan gabungan sutera satin, poliester satin dan kapas poliester.

Khairulazlan menarik perhatian, keputusan menggunakan rekaan itu bukan ditetapkan pasukan pereka, sebaliknya ditentukan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan pihak pengurusan MSN.

“Kita menghasilkan enam rekaan busana lelaki dan enam rekaan busana wanita untuk dipilih yang kemudian disenarai pendek kepada masing-masing dua rekaan sebelum MSN serta menteri memuktamadkan keputusan,” katanya.

Ditanya perasaannya berdepan pujian dan kritikan itu, Khairulazlan berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak, khususnya rakyat Malaysia dan beberapa selebriti tempatan yang memberikan sokongan padu dan kata-kata positif sebaik isu terbabit hangat diperkatakan.

Khairulazlan menunjukkan lakaran awal motif corak dihasilkan untuk busana Olimpik.
Khairulazlan menunjukkan lakaran awal motif corak dihasilkan untuk busana Olimpik.

Sejujurnya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen UiTM dan Sarjana Teknologi Rekaan UiTM itu mengakui, beliau tidak berkecil hati dengan kritikan diterima kerana menghormati pandangan diberikan.

“Sebenarnya saya sudah menjangkakan penghasilan busana ini akan mencetuskan kontroversi kerana wujud pembaharuan konsep dan idea fesyen, cuma apabila isu semakin besar sehingga ada pihak mengatakan saya sanggup ‘melacurkan’ busana tradisional, pastinya agak mengecewakan.

“Rekaan ini saya namakan sebagai Lucky Tuah dengan maksud tuah berganda menerusi semangat ikon pahlawan Tanah Melayu supaya memberi inspirasi dan kejayaan cemerlang kepada atlet,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Jenama dan Pemasaran Fesyen) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempertahankan tindakan menawarkan tugasan itu kepada pelajar.

“Pendedahan di lapangan besar membolehkan pelajar mempratikkan ilmu dipelajari di dalam kelas dengan lebih baik, malah mereka perlu diberikan pengalaman dan peluang berharga seperti ini.

“Mereka akan melihat gambaran sebenar, seperti bagaimana berurusan dengan pembekal, pelanggan, alumni, tukang jahit serta bagaimana menerima atau memberi arahan dan ia adalah proses pembelajaran terbaik,” katanya. – Getaran, 26 Julai 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 5 bulan yang lalu

KWSP, PERKESO Untuk Atlet: ‘Sudah Bertahun Kami Minta, Terima Kasih Banyak-Banyak YB’ 

2

Sukan 6 bulan yang lalu

Kejayaan Raih 32 Pingat Di Sukan Asia Hangzhou Tutup Mulut Pengkritik  

3

Semasa 6 bulan yang lalu

PKR Bantah Keputusan Kerajaan Terengganu Larang Atlet Wanita Sertai Gimnastik 

4

Sukan 7 bulan yang lalu

Harumkan Nama Malaysia, Faiz Ungguli Kejohanan Bina Badan Asia 2023

Sorotan

1

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

2

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

3

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

4

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

5

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

6

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

Semasa 1 hari yang lalu

Menguasai Bahasa Kebangsaan Dengan Baik Bukan Syarat Perbaharui Pasport - JIM

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Lebih 50,000 Kampit Beras Putih Tempatan Diagih Hingga 22 April - LPP

Politik 11 jam yang lalu

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu