KUALA LUMPUR - Malaysia akan menerima dua lagi vaksin COVID-19 untuk kegunaan kecemasan, keluaran Sinopharm dari China dan Johnson & Johnson yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat bersama Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini.
Menurut beliau, ketetapan itu menyaksikan portfolio Program Imunisasi COVID-19 (PICK) memiliki tujuh jenis pelalian.
“Keputusan yang dimuktamadkan menerusi mesyuarat PBKD ke-361 itu, membabitkan penggunaan vaksin Sinopharm dan Johnson & Johnson (J&J).
"Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa, bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif," katanya.
Kementerian sebelum ini meluluskan pendaftaran bersyarat bagi vaksin Janssen keluaran Johnson & Johnson bulan lalu, menerusi Senarai Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang hanya memerlukan satu dos suntikan.
Covilo keluaran Sinopharm pula masih memerlukan dua dos suntikan dengan jarak masa 21 hari.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa di Malaysia mencapai imuniti kelompok, selaras sasaran yang digariskan dalam PICK.
Pelaksanaan PICK sejak 24 Februari lalu, menyaksikan Malaysia memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin ketika kecemasan, membabitkan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca. - Getaran, 16 Julai 2021.

