web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Hanya 5-10 Peratus Jumlah Kes COVID-19 Daripada Sektor Perkilangan, Pembuatan - Azmin

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Jun 2021 4:23PM

Azmin Ali - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SHAH ALAM - Hanya lima hingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 adalah daripada sektor perkilangan dan pembuatan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, data yang disahkan Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 75 peratus daripada kes-kes positif COVID-19 yang ada pada hari ini adalah bersifat sporadik, yang bermakna virus berkenaan telah berada di dalam komuniti.

Mohamed Azmin berkata, 25 peratus lagi datang daripada pelbagai bentuk kluster, termasuk kluster tempat kerja yang meliputi sektor perkilangan dan pembuatan.

“Jadi tidak benar untuk meletakkan kesalahan pada sektor ekonomi khususnya sektor pembuatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, apabila kerajaan mengambil keputusan membenarkan beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi, kebarangkalian jangkitan COVID-19 berlaku dalam sektor ekonomi itu ada, tidak seperti sektor pendidikan dan sosial yang telah ditutup sepenuhnya, tetapi keputusan itu dibuat untuk kepentingan ekonomi rakyat.

“Sektor ekonomi, khususnya untuk ‘essential goods and services’, kita telah ambil keputusan  membenarkan sedikit aktiviti ini, untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Apabila ada aktiviti ini (ekonomi) kebarangkalian (jangkitan COVID-19) pastinya wujud, tetapi jumlahnya tidaklah besar seperti yang telah diumumkan (daripada keseluruhan kes), kerana virus ini sudah sporadik, berada dalam masyarakat. Sebab itu kita mengajak untuk sama-sama tangani, masalah pandemik ini dengan mematuhi kepada prosedur operasi standard yang ketat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang terlibat sebagai rantaian bekalan global, dan kerajaan tidak mahu ada gangguan terhadap bekalan makanan, keperluan asas serta barangan kesihatan awam, seperti sanitizer dan produk farmaseutikal yang lain.

Dalam pada itu, katanya Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), buat masa ini melibatkan sektor pembuatan serta perkilangan, dan kerajaan akan menumpukan pula kepada sektor pembinaan dan pelancongan dalam masa terdekat.

Mohamed Azmin turut mengumumkan, seramai 16,564 pekerja telah menerima suntikan vaksin di Pulau Pinang, Johor dan Selangor menerusi PIKAS sejak 16 Jun hingga semalam.

“Setakat semalam, seramai 669,846 orang pekerja dari 4,537 syarikat di seluruh negara telah mendaftar di PIKAS dan s​​​​​yarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS, boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui pautan www.miti.gov.my.” katanya.

PPV SCCC di bawah PIKAS, yang dikelolakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), memulakan proses vaksinasi bagi pekerja sektor pembuatan di Selangor hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata PPV di SCCC adalah salah satu daripada lapan PPV Penggunaan Umum, di seluruh negara yang telah mendapat kebenaran untuk beroperasi selewat-lewatnya pada 5 Julai.

Menurutnya, terdapat dua jenis PPV di bawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum yang melibatkan pusat konvensyen dan pameran serta hotel, selain PPV Di Tapak iaitu PPV di premis kilang.

Azmin berkata, PIKAS mempunyai matlamat untuk mempercepatkan vaksinasi untuk sekurang-kurangnya dua juta orang pekerja di dalam sektor pembuatan, menjelang penghujung suku ketiga tahun ini.

Melalui PIKAS, katanya kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan menguruskan pentadbiran PPV, termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

“Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja, dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos pentadbiran vaksinasi dengan menolak gaji pekerja, walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksinasi pertama,” katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 2 tahun yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 2 tahun yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

3

Semasa 2 tahun yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

4

Semasa 2 tahun yang lalu

Peningkatan Kes COVID-19, Amalkan Semula SOP Kesihatan - Pakar

Sorotan

1

Parti Wawasan Negara Barisan Kepimpinan Penuh, Gabung Tokoh Politik, Profesional

2

Agong, Permaisuri Zahir Ucapan Hari Bapa

3

Polis Siasat Dakwaan Penculikan Selepas Wanita Ditemui Selamat Di Johor Bahru

4

Gempa Bumi 3.3 Landa Batu Pahat

5

2 Kemalangan Dalam Tempoh Sejam Ragut 4  Nyawa di Pahang, Bakal Pengantin Antara Yang Maut

6

Krisis Pemakanan Ancam Masa Depan Modal Insan Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 2 jam yang lalu

Diabetes, Obesiti, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Krisis Penyakit Tidak Berjangkit Di Malaysia

oleh Sophia Ahmad

Semasa 2 jam yang lalu

Operasi Jurugambar Jalanan Diperhebat, DBKL Rampas 32 Peralatan Di Lokasi Tumpuan Pelancong

oleh Sophia Ahmad

Semasa 12 jam yang lalu

Gempa Bumi 3.3 Landa Batu Pahat

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

MUKMIN Mahu Kukuh Perpaduan Komuniti India Muslim Tempatan

oleh Sophia Ahmad