web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Menjelang Jubli Berlian Hubungan Diplomatik, Sultan Ibrahim, Putin Perkukuh Hubungan Malaysia-Rusia

Semasa Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 10 May 2026 9:36AM

Gambar Royal Press Office

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Rusia bersedia memperkukuh hubungan dua hala menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun depan. 

Kesepakatan tersebut dicapai menerusi  pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin, Moscow.

Pertemuan berprofil tinggi itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama strategik selepas lebih enam dekad hubungan diplomatik yang merangkumi perdagangan, ekonomi serta kerjasama antarabangsa.

Menurut kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda menyifatkan hubungan Malaysia-Rusia semakin berkembang dan telah menjadi satu perkongsian yang kukuh serta produktif, sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1967.

“Perjalanan panjang yang ditempuhi bersama serta pencapaian besar dalam hubungan Malaysia-Persekutuan Rusia wajar diraikan menerusi sambutan yang bermakna dan bersejarah,” titah baginda semasa pertemuan tertutup bersama Putin.

Dalam pertemuan berkenaan, Sultan Ibrahim turut berkenan menjemput Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia tahun depan, sempena sambutan jubli berlian hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Baginda bertitah, lawatan terbabit diyakini mampu menjadi pemangkin baharu dalam memperluas kerjasama strategik antara Kuala Lumpur dan Moscow.

Pertemuan di Kremlin itu berlangsung selepas kedua-dua pemimpin mengadakan sesi perbincangan di St Petersburg Januari lalu, yang disifatkan Sultan Ibrahim sebagai konstruktif dan positif.

Putin pula menyambut baik hubungan erat antara Rusia dan Malaysia serta menegaskan komitmen Moscow untuk terus memperkukuh kerjasama diplomatik, ekonomi serta pelbagai hala dengan Kuala Lumpur.

“Hubungan antara negara kita berkembang dengan baik. Tahun depan kita akan menyambut ulang tahun hubungan diplomatik,” katanya.

Beliau berkata, Rusia dan Malaysia terus bekerjasama secara aktif dalam forum antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN, selain memperluaskan hubungan perdagangan serta ekonomi.

“Hubungan perdagangan dan ekonomi antara Rusia dan Malaysia terus berkembang dan terdapat semua prasyarat untuk mengatasi sedikit penurunan dalam perdagangan.

“Saya juga berharap hubungan antara kedua-dua negara akan terus berkembang dengan stabil seperti yang berlaku setakat ini,” katanya.

Dalam lawatan berkenaan, Sultan Ibrahim turut mencipta sejarah apabila menjadi Ketua Negara Malaysia pertama dijemput sebagai Tetamu Kehormat pada sambutan Hari Kemenangan ke-81 Rusia di Moscow.

Jemputan khas daripada Putin itu dilihat sebagai satu pengiktirafan diplomatik penting oleh kerajaan Rusia terhadap hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara serta peningkatan profil Malaysia di peringkat antarabangsa.

Baginda turut menyertai beberapa pemimpin dunia lain di Dataran Merah bagi menyaksikan perarakan ketenteraan tahunan sempena memperingati kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua dari 1941 hingga 1945.

Antara pemimpin asing yang hadir termasuk Presiden Belarus, Aleksandr Lukashenko; Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev; Presiden Laos, Thongloun Sisoulith; serta Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico.

Lawatan berkenaan turut dilihat menyerlahkan peranan institusi diraja Malaysia yang semakin aktif dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan memperluaskan jaringan antarabangsa demi kepentingan negara. - Getaran, 10 Mei 2026

Sorotan

1

Wanita Didakwa Bunuh Warga Indonesia

2

PRN Johor: Rekod Pentadbiran BN Jadi Sandaran Utama - Onn Hafiz

3

Op Soga XI: 58 Ditahan, Polis Perhebat Tindakan Terhadap Sindiket Judi Piala Dunia 

4

1 Daripada 4 Remaja Malaysia Alami Depresi, Cenderung Bunuh Diri - NHMS 

5

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

6

Memacu Masa Depan Lestari: Transformasi Tenaga Dan Aspirasi Sifar Bersih Malayssia

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

Rombakan Barisan Pemimpin PN: Azmin Ali, Radzi Jidin Gugur Daripada Senarai 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Menjijikkan, Datuk 79 Tahun Rogol Cucu Bawah Umur

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Jurujual Mengaku Salah Tetak Penunggang Motosikal Di Lebuh Raya Persekutuan

oleh Amirah Abu Bakar

Politik 1 hari yang lalu

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

oleh Amirah Abu Bakar