KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandang ringan batuk yang berlarutan lebih dua minggu kerana ia mungkin tanda awal penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.
Gejala berkenaan sering dipandang remeh, menyebabkan tibi terus mencatatkan kes baharu setiap minggu di seluruh negara.
Pakar Perubatan Dalaman, Perunding dan Perubatan Respiratori Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Lo Shan Min berkata, pengesanan awal tibi masih menjadi antara cabaran utama kesihatan awam di Malaysia.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) pada Minggu Epidemiologi ke-6 merekodkan 596 kes baharu.
“Ia menjadikan bilangan keseluruhan kes setakat ini meningkat kepada 3,161 setakat ini untuk 2026, dengan Sabah, Selamgor dan Sarawak antara negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
.png)
Dr Lo berkata, Malaysia menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 122 kes tibi bagi setiap 100,000 penduduk pada 2023, dengan lebih 26,000 kes dilaporkan setiap tahun kebelakangan ini.
“Tibi boleh merebak apabila seseorang mengalami jangkitan aktif batuk, bercakap atau bersin. Walaupun tibi tidak merebak semudah influenza atau COVID-19, hubungan kontak rapat yang berpanjangan dalam persekitaran sesak serta kurang pengudaraan boleh menyebabkan penularan tibi.
“Rumah, tempat kerja, asrama, penjara serta acara komuniti yang sesak boleh menjadi lokasi penularan sekiranya terdapat individu yang menghidap tibi aktif,” katanya.
Beliau menarik perhatian, faktor lain seperti kepadatan penduduk di kawasan bandar, mobiliti populasi, populasi yang semakin menua serta penyakit komorbid seperti diabetes juga boleh menyumbang kepada penularan tibi yang berterusan.
Dr Lo yang berpengalaman lebih 15 tahun berkata, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) memaklumkan, bakteria tibi merebak melalui zarah-zarah halus di udara, khususnya di ruang tertutup dan kurang pengudaraan.
“Keadaan ini menyebabkan pendedahan berpanjangan menjadi antara faktor utama jangkitan.
“Penularan tibi biasanya bukan berlaku melalui pertemuan singkat, sebaliknya akibat pendedahan dalam tempoh yang lama di ruang tertutup,” katanya.
Jelas Dr Lo, pemahaman mengenai perkara ini penting bagi membantu mencegah penularan selanjutnya.
.png)
Mengulas lanjut beliau berkata, antara tanda awal paling lazim bagi tibi untuk pesakit yang memiliki paru-paru aktif ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu.
“Gejala lain termasuk peluh malam, demam ringan, keletihan, penurunan berat badan tanpa sebab, serta dalam kes yang lebih serius, kahak bercampur darah atau sakit dada.
“Gejala ini boleh muncul secara beransur-ansur. Ada individu yang menangguhkan pemeriksaan kerana menyangka ia sekadar selesema biasa,” katanya.
Tegas Dr Lo, pengesanan awal amat penting, bukan sahaja bagi memastikan rawatan lebih berkesan, tetapi juga untuk mengurangkan risiko menjangkiti individu lain.
Walaupun laporan kes mingguan mungkin menimbulkan kebimbangan katanya, peningkatan kes dikesan sebahagiannya berpunca daripada usaha saringan dan kaedah diagnostik yang semakin baik.
“Usaha seperti pengesanan kontak yang lebih menyeluruh, penggunaan ujian molekul pantas serta peluasan program saringan membolehkan lebih banyak jangkitan dikenal pasti pada peringkat awal.
“Pengesanan yang lebih baik sebenarnya merupakan satu perkembangan positif kerana ia membolehkan pesakit menerima rawatan lebih awal serta mengurangkan tempoh penularan kepada orang lain,” katanya. - Getaran, 1 April 2026

