KUALA LUMPUR - Populasi banduan di seluruh negara kini mencecah lebih 84,000 orang, dengan hampir 8,000 melebihi kapasiti sebenar.
Keadaan ini sekali gus memaksa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengembangkan program rehabilitasi berasaskan komuniti serta pengasingan pesalah dadah sebagai langkah mengurangkan kesesakan.
Dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan, 84,143 banduan sedang ditempatkan di penjara seluruh negara, melangkaui kapasiti maksimum rasmi iaitu 76,311 orang.
Selain itu, 6,640 individu lagi sedang mengikuti program rehabilitasi komuniti di luar tembok penjara.
“Ini menunjukkan berlakunya kesesakan, dengan lebihan 7,872 orang berbanding kapasiti keseluruhan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi, mengenai langkah-langkah kerajaan menangani kesesakan akibat kesalahan berkaitan dadah serta kesediaan kerajaan menilai semula dasar semasa.
Ia termasuk cadangan dekriminalisasi terkawal dan pengalihan pesalah kecil ke program pemulihan komuniti bagi memutuskan kitaran pemenjaraan.
Shamsul berkata, kerajaan sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan penguatkuasaan dan pemulihan, memandangkan sebahagian besar kesesakan berpunca daripada kesalahan dadah.
Beliau turut menekankan penubuhan Pusat Pemulihan Chenderiang di Tapah sebagai pembaharuan utama, yang membolehkan pengasingan pesalah dadah di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Melalui pengasingan ini, rawatan dan program pemulihan dapat dijalankan secara lebih fokus dan berpusat.
“Dari situ, kita menyediakan banduan untuk mengikuti program rehabilitasi komuniti,” katanya.
Jelasnya lagi, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan di penjara arus perdana, malah berpotensi menurunkan kadar pengulangan jenayah.
Usaha pemulihan turut diperluaskan melalui program komuniti seperti sistem parol dan pelepasan berlesen.
“Program-program ini memberi peluang kepada banduan yang layak menjalani pemulihan di luar penjara dalam keadaan terkawal dan dipantau.
“Ia sejajar dengan hala tuju Jabatan Penjara supaya dua pertiga banduan yang layak mengikuti program rehabilitasi komuniti, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap kapasiti penjara dan membantu proses reintegrasi ke dalam masyarakat,” katanya. - Getaran, 17 November 2025
