KUALA LUMPUR - Pendekatan diambil Pengerusi Mahkamah Perusahaan dalam satu kes pertikaian perdagangan yang melibatkan dakwaan gangguan seksual disifatkan sebagai membimbangkan.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, semua pertikaian perdagangan perlu diputuskan oleh Pengerusi bersama dua ahli panel, seperti disyaratkan peruntukan perundangan.
Menurut beliau, dua ahli panel itu seharusnya terdiri daripada wakil pihak pekerja dan majikan.
“Namun, dalam kes terbaru, keputusan hanya ditandatangani oleh Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Andersen Ong Wai Leong, tanpa merujuk kepada ahli panel.
“Ini bukan kes pemecatan. Maka keputusan sepatutnya dibuat secara kolektif. Kegagalan mendapatkan pandangan ahli panel merupakan satu kesilapan besar,” katanya hari ini.
Solomon menyatakan demikian sebagai merujuk kepada keputusan mahkamah yang menghalang NUBE daripada mengeluarkan kenyataan, membuat hantaran di media sosial, atau menganjurkan piket berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan bekas pekerja sebuah bank utama.
Bank tersebut sebelum ini memohon perintah sementara di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk menghentikan tindakan NUBE berkaitan kes tersebut, sementara menunggu penyelesaian pertikaian perdagangan.
Menurut mahkamah, kenyataan yang berunsur fitnah atau tidak berasas terhadap majikan di media sosial semasa piket adalah di luar skop sah aktiviti kesatuan sekerja.
Solomon bagaimanapun berkata, tindakan mahkamah itu adalah perintah injunksi yang tidak berada dalam bidang kuasa Mahkamah Perusahaan.
“Tindakan ini bercanggah dengan prinsip keadilan dan mencemarkan peranan Mahkamah Perusahaan sebagai badan penyelesai pertikaian antara majikan dan pekerja,” tegasnya. - Getaran, 25 Julai 2025

