KUALA LUMPUR - Peralihan zaman sememangnya membawa manusia meneroka kecanggihan teknologi yang dibawa dunia tanpa sempadan.
Globalisasi memungkinkan semua yang pernah dianggap mustahil sebelum ini menjadi kenyataan.
Semua yang satu ketika dahulu memerlukan tenaga manusia kini boleh diterjemah atau dimanifestasi menerusi gelombang teknologi.
Namun, bukan semuanya indah.
Pusingan zaman menyaksikan peningkatan pelbagai kos yang pada akhirnya, kembali membebankan manusia.
Di Malaysia tidak terkecuali.
Dalam dunia perbukuan negara, ada satu kelompok menongkah arus yang berani bersaing dengan rumah cetak ternama, demi memastikan kecintaan terhadap buku tidak pupus dimamah waktu.

Menghasilkan karya-karya bebas yang ada kalanya bealiran radikal, kumpulan penerbit ‘indie’ ini ada pengikut sendiri.
Tampil dengan gaya bahasa yang lebih ringkas dan mesra ditancap mata pembaca muda, buku-buku keluaran mereka sering menjadi pilihan, berbanding sastera serius yang lebih mendalam dan tertib alur katanya.
Malangnya, kebangkitan mereka bersulam derita, dihimpit kos percetakan yang meningkat saban tahun.
Bilang mereka kepada Getaran, kenaikan itu begitu membebankan kerana operasi penerbit mandiri yang kecil tidak mampu menampung peningkatan kos tersebut, berbeza dengan penerbit ternama lain.
Ketua Penerbit Rabak Lit, Muhammad Izzat Amir Mohamad Jamal berkata, harga kertas yang semakin mahal menyebabkan kos percetakan naik hampir separuh.
"Kenaikan itu kita perasan pada 2020 tapi 2021 itu yang paling teruk, kenaikan yang sangat mendadak. Kerana itu kita sangat terkesan. Sebagai penerbit buku indie atau alternatif, kos memang mainkan peranan.
"Misalnya, kalau dulu kita cetak RM10 tapi sekarang harga naik sehingga RM20. Walaupun kita cetak banyak tapi juranf harga itu tetap tak begitu berbeza," katanya.
Izzat berkata, rata-rata buku di pasaran ketika ini terpaksa dijual dengan harga RM35 ke atas berbanding hanya RM15 hingga RM25 sebelumnya.
"Kalau dulu RM25 itu dah palling mahal. Satu buku penerbitan puisi saya tengok mereka letakkan harga RM49 bagi sebuah buku, tapi (ia) bukan salah mereka.
"Ini terjadi kerana harga kertas yang mahal melampau dan situasi itu tidak menyebelahi penerbit buku alternatif seperti kami," katanya ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini.

Atas faktor itu, beliau melihat wujud keperluan bagi kerajaan untuk mengawal harga kertas untuk membantu industri buku terutama bagi penerbit buku mandiri.
Perkara senada turut disuarakan Penerbit Buku Langit, Sijasad Bersiong yang berkata, kenaikan harga kertas itu dipengaruhi kejatuhan wang ringgit memandangkan material digunakan diimport dari luar.
Tambahnya, kenaikan itu meliputi semua aspek keseluruhan, termasuk suntingan dan susun atur buku.
"Sebab itu kalau ada orang kata kos nak buat buku hanya melibatkan kos cetakan sahaja, sebenarnya bukan. Ia melibatkan banyak proses," katanya.
Jelas beliau, perkara itu memberi kesan kepada kuasa beli pengguna yang semakin menurun biarpun ada usaha dibuat dengan memberikan potongan harga dalam acara buku atau baucar.
"JIka dulu pembeli datang di pesta buku bawa RM200, mereka boleh beli empat buku, tapi sekarang dengan amaun yang sama mereka cuma dapat dua buku.
"Kuasa membeli itu sudah berkurangan. Biarpun ada baucar diberikan, tapi sudah lewat untuk digunakan dan prosesnya masih samar-samar," katanya merujuk kepada langkah kerajaan memberi baucar buku kepada mahasiswa dan pelajar sekolah baru-baru ini.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar sebanyak RM100 kepada pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Sementara itu, Pengarah Urusan Toko Sue, Sue Emoqwin pula berkata, mereka sedaya upaya cuba mengekalkan harga pada paras berpatutan biarpun dihimpit dengan kenaikan kos.

Katanya, keputusan itu sejajar dengan matlamat penubuhan Toko Sue yang mahu membantu penerbit kecil terus berkarya tanpa rasa terbeban.
"Memang terkesan sebab biasanya (bagi) penerbit kecil, kos mereka akan lebih tinggi kerana tidak cetak banyak. Kebiasaannya mereka hanya cetak bawah 100 buku dan bila cetak sedikit harga akan jadi mahal.
"Bila mereka nak hantar kedai besar untuk letak buku pula, dikenakan margin dalam 60-75 peratus jadi susah untuk penerbit buku indie atau mandiri ini.
"Di sinilah letaknya peranan Toko Sue. Peranan kita adalah membantu mereka, kita nak membantu komuniti kita sendiri, ekosistem industri buku mandiri, dan kita cuba untuk tidak naik harga yang terlalu tinggi," katanya. - Getaran, 3 Jun 2024

