KUALA LUMPUR - Meskipun berkeluasan hanya 1.114 meter persegi namun Kebun Bandar Sungai Bunus (KBSB) yang dikelilingi bangunan pencakar langit di fengah-tengah ibu kota mampu menghasilkan variasi sayur-sayuran dan herba untuk manfaat komuniti setempat
Justeru itu sempena Sambutan Hari Wilayah 2024, komuniti KBSB menganjurkan pertandingan memasak bertemakan From The Garden to The Table yang berasaskan bahan di kebun tersebut.
Penasihat KBSB Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah berkata pertandingan itu, yang diketuai cef selebriti Liza Zainol, menyaksikan penglibatan 12 pasukan dengan 24 peserta terdiri daripada ahli kebun tersebut
"Kebun ini adalah hasil kerjasama kita dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan beberapa pemegang taruh lain, ini merupakan antara aktiviti bulanan kami melibatkan orang ramai dan kita realitikan bahawa dengan bercucuk tanam ini, dengan penggunaan tanah kosong yang ada, kita boleh jadikan satu tempat yang menghasilkan kebaikan kepada masyarakat
Diharap dengan aktiviti yang dianjurkan oleh kami mampu memberi contoh kepada komuniti lain..KBSB juga telah mendapat anugerah emas daripada Persatuan Perancang Bandar Malaysia berkaitan penggunaan kawasan setempat dan daripada DBKL, kebun ini bertaraf empat bintang," katanya kepada Bernama hari ini.

Liza pula berkongsi antara bahan yang wajib digunakan oleh peserta ialah serai, lengkuas, daun kunyit dan ulam raja dari kebun itu dan ini adalah keunikan pertandingan hari ini.
KBSB dibangunkan secara kolaborasi pada 2014 oleh pemilik Expressionz Professional Suites iaitu Local Agenda 21 Kuala Lumpur, DBKL, JPS, agensi korporat, pihak akademia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan inisiatif itu turut diusahakan bersama 11 pemegang taruh antaranya Persatuan Pustakawan Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Yayasan Patriot Negara Malaysia. - BERNAMA

