PUTRAJAYA - Kenyataan rasmi berhubung isu pengampunan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka dikeluarkan Lembaga Pengampunan pada minggu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau turut mengharapkan laporan tersebut benar-benar dikeluarkan minggu ini.
"Itu nanti kita tunggu kenyataan (Lembaga Pengampunan)... insya-Allah minggu ini kita harapkan," katanya, seperti dipetik oleh BERNAMA.
Beliau yang juga antara anggota Lembaga Pengampunan berkata demikian selepas majlis perasmian Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2024 di sini hari ini.
Isu berkisar status permohonan pengampunan Najib hangat diperkatakan mutakhir ini, selepas sebuah portal yang memetik kenyataan sumber mendakwa, Perdana Menteri keenam itu sudah memperoleh pengampunan.
Laporan berkenaan ditarik semula tidak lama selepas ia disiarkan, malah portal terbabit juga telah membuat permohonan maaf kerana menyiarkan berita yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.
Semalam, media Singapura, Channel News Asia (CNA) pula melaporkan, hukuman ke atas Najib dikurangkan kepada enam tahun dan ia disahkan sumber rasmi kerajaan.
Memetik pelbagai sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, CNA mendakwa pengurangan hukuman tersebut diputuskan Lembaga Pengampunan menerusi mesyuarat Isnin lepas.
Susulan desas-desus itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam dilaporkan berkata isu pengampunan Najib turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Beliau turut mengingatkan pengamal media tempatan dan luar negara untuk menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan sebelum membuat laporan mengenainya. - Getaran, 1 Februari 2024

