MELAKA - Kerajaan Melaka akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memasarkan produk makanan dihasilkan Orang Berinsurans (OB) yang sedang menjalani latihan kemahiran di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Ayer Keroh di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ini memandangkan produk dihasilkan mereka semasa menjalani rawatan pemulihan di pusat rehabilitasi berkenaan mempunyai kualiti dan boleh dipromosikan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)
"Dalam bidang kulinari tadi saya lihat ada banyak produk berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh Perkeso di pusat rehabilitasi ini. Saya cadangkan kepada Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso agar bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mempromosikan produk ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong yang mengadakan lawatan kerja ke Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwee Hee Sem dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Ab Rauf berkata usaha itu juga bertujuan memberi keyakinan kepada OB untuk memulakan kehidupan selepas terlibat kemalangan yang menyebabkan mereka tidak dapat kembali bekerja secara normal. - BERNAMA
