KUALA LUMPUR – Cadangan seorang pelakon terkenal tanah air supaya membuka rumah pelacuran untuk warga asing bukan saja bertentangan dengan undang-undang sivil dan syariah, ia juga melanggar prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah.
Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, cadangan berkenaan mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran adalah aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia.
Dengan mengemukakan pelbagai contoh termasuk peruntukan undang-undang sivil serta syariah dan pandangan ulama, Mohd Na’im berkata, cadangan itu tidak boleh diterima sama sekali.
“Berdasarkan kedudukan ini, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang diutarakan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.
“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan; kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Semalam, cadangan Datuk Rosyam Nor, 57, yang disiarkan melalui Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel, mencetuskan kontroversi dan kecaman ramai pihak.
Mohd Na’im berkata, pelacuran adalah kesalahan yang berada bawah peruntukan Kanun Keseksaan [Akta 574] Seksyen 372, menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan; Seksyen 372A (menyara hidup daripada hasil persundalan atau perdagangan persundalan); Seksyen 372B (mencari langganan bagi maksud persundalan); dan Seksyen 373 (menguruskan rumah persundalan).
Katanya, kesalahan pelacuran juga termaktub Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] membabitkan beberapa peruntukan iaitu Subseksyen 21 (pelacuran); Seksyen 22 (muncikari iaitu seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syarak); dan Seksyen 23 (persetubuhan luar nikah).
“Selain itu, bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 juga ada memperuntukkan kesalahan kepada mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat sebagaimana diperuntukkan bawah seksyen 35 Akta 559.
“Pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud. Pelacuran dan zina adalah perbuatan yang melibatkan hubungan seksual di luar hubungan perkahwinan.
“Zina didefinisikan oleh Al-Sarkhasi dan Ibn `Abidin, dari mazhab Hanafi sebagai persetubuhan haram dengan perempuan hidup melalui vagina yang dilakukan dalam negara Islam, yang mana perempuan itu secara jelas bukanlah daripada isterinya yang sah,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Na’im berkata, perbuatan rogol mempunyai definisi berbeza-beza mengikut pandangan ulama terdahulu termasuk definisi dilengkapkan lagi oleh Al-Zaila`i seorang ulama mazhab Hanafi dengan menambahkan elemen kerelaan dan tanpa paksaan dalam definisi zina, iaitu, ‘persetubuhan haram dengan perempuan hidup (bukan mayat), yang bukan bawah pemilikannya (hamba), atau isterinya, secara sukarela dan tanpa paksaan, yang mana ia berlaku dalam negara Islam’.
“Sementara itu, terdapat ulama dari mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali meluaskan skop zina dengan memberikan definisi zina sebagai, ‘persetubuhan haram sama ada melalui vagina ataupun dubur oleh seorang lelaki dewasa yang siuman dengan perempuan yang bukan isterinya’.
“Rogol pula diistilahkan oleh sebahagian ulama seperti Ibn `Abidin dari mazhab Hanafi dan al-Sharbini dari mazhab Syafi`e sebagai ‘al-zinā bi al-ikrāh’ yang bermaksud zina dengan paksaan, manakala, sebahagian ulama’ lain pula, seperti Imam Malik dan Imam al-Syafi`e menggunakan istilah ‘ightiṣāb’ yang secara langsung membawa maksud rogol.
“Secara umumnya, kebanyakan ulama terdahulu membincangkan isu rogol bawah jenayah zina kerana ia mempunyai perkaitan yang rapat, iaitu persetubuhan haram,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, selepas meneliti definisi zina yang diberikan dalam kitab-kitab turath, beberapa ulama kontemporari seperti `Awdah, Al-Masha`ili, Al-Zuhayli dan Zaydan menegaskan bahawa mazhab yang empat membezakan antara jenayah zina dan rogol dengan elemen kerelaan.
Katanya, ulama berkenaan memilih definisi zina oleh Al-Zaila`i sebagai takrif yang terbaik kerana memasukkan elemen kerelaan yang secara jelas menunjukkan perbuatan yang dilakukan tanpa paksaan. – Getaran, 9 Januari 2024

