KUALA LUMPUR – Malaysia memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.
Larangan berkuatkuasa serta merta itu juga membabitkan mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan media berkata, beliau yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.
“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Kerajaan juga memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM Shipping, daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu, yang juga berkuatkuasa serta merta.
Katanya, pada 2002, Kabinet mula membenarkan kapal milik syarikat itu untuk berlabuh di Malaysia. “Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.
“Namun, Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,” katanya.
Sebelum ini, satu petisyen yang dimulakan pada 17 Disember melalui laman sesawang change.org mendesak Kerajaan Malaysia untuk melarang mana-mana kapal dimilik Israel daripada berlabuh di negara ini.
Ini termasuk kapal milik ZIM Shipping, iaitu syarikat perkapalan Israel yang sebelum ini dibenarkan mendarat di Malaysia.
Menurut individu yang memulakan petisyen, kebenaran itu berikutan kapal berkenaan didaftarkan di negara lain.
Bagaimanapun, individu berkenaan berkata, memandangkan kapal berkenaan dimiliki syarikat Israel ia sepatutnya tidak boleh mendarat di negara ini kerana dasar Kerajaan Malaysia yang tidak mempunyai sebarang hubungan dagang dengan Israel.
Petisyen itu juga menyebut, sebuah kapal milik ZIM Shipping dijadualkan mendarat di Pelabuhan Barat pada 26 Disember ini.
Semakan terhadap petisyen dalam talian itu mendapati ia kini memuat naik status ‘Victory’ (berjaya) pada petisyen asal. – Getaran, 20 Disember 2023

