ALOR SETAR - Seorang lelaki yang dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan di tengah laut oleh pengunjung Pantai Tanjung Rhu, Langkawi petang semalam ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata mayat mangsa dikenali sebagai Mohammad Khairie Shaari, 32, yang merupakan pekerja sebuah kedai emas di pulau itu ditemukan pada 6.55 petang.
Beliau berkata mangsa ditemukan kira-kira 250 meter dari tempat dia dipercayai lemas dan pengecaman mayat telah dibuat oleh ibunya.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat.
“Operasi mencari dan menyelamat yang disertai 46 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah ditamatkan sepenuhnya pada 7.05 malam," menurutnya dalam kenyataan di sini. - BERNAMA

