KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta merujuk kepada semua perancangan ini di Bahagian Undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam meneliti konflik perundangan sivil dan syariah.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata ia bagi menyambung usaha-usaha yang sudah dijalankan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 hingga 2020.
Katanya, usaha itu terbantut susulan kemelut 'Langkah Sheraton' pada Februari 2020.
Beliau yang mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas meneliti perkara berkenaan, berkata kerajaan tidak perlu mencipta "roda baharu" dalam menangani isu konflik perundangan Syariah dan Sivil.
“… dan dengan ini dapat membantu Kerajaan MADANI hari ini mempercepatkan solusi konflik Syariah-Sivil dan akhirnya menutup kes seumpama ini di masa hadapan secara tuntas dan konklusif, katanya dalam satu hantaran melalui media sosial.
Mujahid berkata, penubuhan jawatankuasa khas, yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, itu perlu memperincikan bagaimana menutup ruang lompong yang selama ini wujud supaya tiada lagi berlaku petisyen-petisyen baharu mempertikaikan undang-undang Syariah di negara ini.
Beliau berkata, penyelesaian masalah tidak semudah dijangka dengan hanya membuat pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan seperti yang dicadangkan,
Katanya, beliau sebagai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap supaya isu pertindihan itu dapat diselesaikan bagi mengelakkan mana-mana pihak mengekploitasikan isu pertindihan yang wujud untuk mencapai kepentingan politik sempit masing-masing.
“Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2018-2020 dasar Gagasan Negara RAHMAH turut memfokuskan isu perundangan dengan memperkukuhkan peranan Jawatankuasa Sivil dan Syara' untuk mengharmonikan isu-isu pertindanan Syara' dan Sivil di mana pelbagai inisitaif telah digerakkan dengan memahami isu ini sebagai masalah yang perlu diselasaikan secara menyeluruh dan bukan dengan cara 'fire fighting'.
“Pelbagai pihak berpakaran dari berbagai-bagai disiplin perundangan dihimpunkan dalam jawatankuasa ini dan jawatankuasa ini bertanggungjawab menyediakan deraf terakhir sebagai piawaian yang terpakai dirujuk oleh negeri-negeri untuk dipinda di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing,” katanya.
Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara, berkata, ketika itu, keutamaan Jawatankuasa Sivil dan Syara' ialah melihat pertembungan Sivil-Syariah secara struktural perundangan serta menyeragamkan Undang-undang Jenayah Syariah negeri yang dilihat mempunyai perbezaan bentuk hukuman bagi perlakuan jenayah yang sama.
Jawatankuasa ini juga, katanya turut memperkenalkan konsep rehabilatatif yang tidak diperuntukkan sebelum ini dalam perundangan Syariah.
Ketika itu juga, katanya, satu peta hala tuju menyeluruh libat-urus semua pihak berkepentingan telah dirangka melalui garis masa yang ditetapkan.
“Kesemua pihak dari negeri-negeri yang mempunyai bidang kuasa undang-undang Syariah telah dilibatkan.
“Matlamat akhir Jawatankuasa Syara' dan Sivil ini ialah menyediakan satu deraf Undang-undang Jenayah Syariah secara menyeluruh dengan menutup segala kemungkinan kelompongan undang-undang yang berpotensi dicabar secara berperlembagaan.
“Selain itu kejayaan penyeragaman undang-undang Jenayah Syariah seluruh negeri-negeri akan menyelesaikan pertikaian hukuman berbeza-beza antara negeri dari jenayah syariah yang sama. Jawatankuasa ini juga memasukkan dalam deraf Undang-undang Jenayah Syariah peruntukan baharu rehabilatatif (hukuman berkelakuan baik dengan jaminan) yang selama ini hanya wujud peruntukan punitif (hukuman) semata-mata,” katanya.
Mujahid berkata, peta hala tuju itu sepatutnya, dalam menyediakan deraf terakhir, mencapai misinya pada tahun 2023.
Selasa lalu, Perdana Menteri, ketika sesi Waktu-waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, medmberi tahu Dewan Rakyat bahawa, Kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah.
Anwar memaklumkan, jawatankuasa itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Beliau juga berkata, Majlis Raja-Raja turut berminat dan memberi perkenan supaya jawatankuasa itu melakukan kajian dalam meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah terhadap umat Islam dan pada masa sama tidak memberi kesan ke atas golongan bukan Islam. – 24 November 2023
.jpg)
