KUALA LUMPUR: Tiga negeri iaitu Putrajaya, Perak dan Terengganu menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam, dengan masing-masing sebanyak 19.6 peratus, 12.8 peratus dan 11.3 peratus.
Sebaliknya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam pula merekodkan peningkatan 15.3 peratus daripada 39,971 pada 2021 kepada 46,098 tahun lalu.
Tiga negeri yang menunjukkan peningkatan tertinggi perkahwinan orang bukan Islam adalah Terengganu (40.2 peratus), Johor (26.6 peratus) dan Negeri Sembilan (21.1 peratus).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia adalah berdasarkan Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2023 yang membentangkan statistik perkahwinan dan perceraian bagi tahun 2021 serta 2022.
"Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2022 adalah 214,824, iaitu menurun sebanyak 0.5 peratus daripada 215,973 pada 2021.
"Bagaimanapun, umur penengah pengantin lelaki kekal pada usia 28 tahun, manakala umur penengah pengantin perempuan meningkat kepada 27 tahun, berbanding 26 tahun pada 2021.
"Penurunan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penurunan 4.1 peratus bilangan perkahwinan orang Islam pada 2022 iaitu seramai 168,726 berbanding 176,002 pada 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, perkahwinan tertinggi adalah pada peringkat umur 25 hingga 29 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.
Malah, katanya, statistik menunjukkan umur pengantin lelaki dan pengantin perempuan paling tua direkodkan pada 2022 iaitu masing-masing berusia 92 dan 86 tahun.
Beliau berkata, 2.9 peratus pengantin lelaki berusia 65 tahun dan lebih mengahwini pengantin perempuan yang lebih muda dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah.
Mohd Uzir juga berkata, sebanyak 3.5 peratus pengantin perempuan berumur 65 tahun dan lebih telah berkahwin dengan pengantin lelaki dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah.
Mengenai bilangan perceraian pula, katanya, ia meningkat 43.1 peratus daripada 43,936 pada 2021 kepada 62,890 pada tahun lalu.
"Jumlah perceraian orang Islam mencatatkan peningkatan 45.8 peratus atau 46,138 pada 2022 berbanding 31,650 pada 2021," katanya.
Katanya, tiga negeri yang mencatatkan bilangan perceraian tertinggi orang Islam adalah Kedah iaitu sebanyak 113.6 peratus, Sabah (94.5 peratus) dan Perlis (83.5 peratus).
"Bilangan perceraian orang bukan Islam turut meningkat sebanyak 36.4 peratus daripada 12,286 (2021) kepada 16,752 (2022).
"Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam adalah Putrajaya (500 peratus), diikuti Johor (61.5 peratus) dan Melaka (59 peratus)," katanya.
Menurut Mohd Uzir, perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi pengantin lelaki, manakala pengantin perempuan adalah pada kumpulan usia 30 hingga 34 tahun. - Getaran, 23 November 2023

