KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas jurufoto Kumpulan Utusan, Nor Azlina Jaafar, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada hati, malam semalam.
Fahmi dalam hantaran di Facebook beliau mendoakan supaya keluarga Allahyarhamah tabah dengan ujian itu.
“Kali terakhir saya bertemu Allahyarhamah pada 14 April lalu ketika memberi sumbangan Tabung HAWANA kepada suaminya, Muhammad Basir Abu Bakar yang juga bekas wartawan Kumpulan Utusan,” katanya dalam hantaran itu.

Nor Azlina Jaafar, 45, meninggal dunia di Hospital Serdang dekat sini semalam dan jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan di Batu 10, Cheras hari ini.
Allahyarhamah meninggalkan tiga orang cahaya mata iaitu dua anak perempuan dan seorang lelaki yang masih di sekolah rendah.
Nor Azlina dan suami adalah antara lebih 800 bekas kakitangan Kumpulan Utusan yang diberhentikan selepas syarikat itu diisytihar bankrap pada 2019.
Bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga, pasangan tersebut terpaksa berniaga termasuk menjadi ejen pewangi kereta, membuka gerai burger di rumah dan ejen kereta sewa. - BERNAMA
