KUALA LUMPUR - Larkin di Johor Bahru, Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat tertinggi di negara ini iaitu 156 setakat jam 3 petang tadi.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), beberapa kawasan di Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur antara yang terjejas dengan keadaan jerebu.
Mengikut rekod APIMS, sebanyak lapan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan tidak sihat dengan tanda amaran bewarna kuning iaitu Larkin; Batu Pahat, Johor (123); Bandaraya Melaka (109); Bukit Rambai, Melaka (152); Port Dickson, Negeri Sembilan (143); Nilai, Negeri Sembilan (151); Banting, Selangor (114) dan Cheras, Kuala Lumpur (128).
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 berwarna biru adalah dikategorikan paras baik; 51 hingga 100 berwarna hijau (sederhana); 101 hingga 200 berwarna kuning (tidak sihat); 201 hingga 300 berwarna jingga (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berwarna merah adalah tanda berbahaya.
Situasi jerebu yang makin buruk di beberapa negeri sejak beberapa hari lalu berpunca daripada asap tebal ekoran kebakaran hutan besar di Indonesia.
Kebakaran hutan di Selatan Sumatera dan Kalimantan tengah dan selatan, Indonesia itu menjejaskan bacaan udara di sebahagian besar kawasan barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak. Getaran, 1 Oktober 2023

