KUALA LUMPUR – Dua maut manakala tujuh yang lain cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam nahas melibatkan dua lori dan sebuah motosikal polis trafik.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, insiden sekitar jam 10.15 pagi itu turut melibatkan enam kereta dan tiga motosikal.
Menurut beliau, kejadian berkenaan berlaku di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong.
“Satu daripada lori berkenaan dipercayai melanggar kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di lokasi.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, lori itu yang datang dari arah belakang telah mengubah laluan dari bahagian tengah ke kiri, sebelum merempuh kenderaan lain di hadapan,” katanya.
@elhadi86_official Kemalangan Maut 20/9/2023 Lebuh Sentosa , Putrajaya. Lori melanggar konvoi polis pengiring. Al Fatihah untuk mangsa #fyourpage #kemalanganmaut #tiktokmalaysia #fyp #masukberanda #xyzbca #accident ♬ original sound - ElHadi86_official
Jelas A. Asmadi, mangsa yang maut terdiri daripada dua lelaki dan kematian mereka disahkan oleh pasukan paramedik Hospital Putrajaya serta Hospital Serdang di lokasi kejadian.
“Polis menahan pemandu lori untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Rakaman video nahas ketika ini sedang tular di media sosial, malah ada netizen mendakwa, ia melibatkan konvoi tetamu kenamaan (VIP).
Difahamkan, dua jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya dengan kekuatan sembilan anggota turut digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.24 pagi. - Getaran, 20 September 2023

