JOHOR BAHRU - Kedua-dua calon dari Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN) menggesa semua pengundi di kawasan parlimen itu untuk keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab.
Calon PH, Suhaizan Kayat berkata, beliau mengharapkan semua pengundi dapat keluar mengundi awal dan mencapai peratusan mengundi yang tinggi sebelum pusat mengundi ditutup petang ini.
Beliau berkata, setakat awal pagi ini prose berjalan dengan baik walaupun cuaca agak sedikit lembap ekoran hujan yang turun pada 9 pagi tadi.
"Saya harap semua dapat turun awal hari ini bagi menunaikan tanggungjawab. Alhamduilah Semua jalan lancar. Semua saluran berjalan lancar, trafik pun bagus.
"Kawalan polis pun baik. Tiada halangan untuk semua pengundi datang undi dengan selamat. Kita harap dapat capai 70 peratus (peratusan keluar mengundi) dan ke atas.
“Cuaca yang redup elok semua turun sekarang. Petang ramal hujan jadi saya seru untuk semua pengundi turun sekarang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat mengundi SK Seri Melati, Kempas pagi tadi.
Sementara itu, calon PN, Zulkifli Jaafar turut berkongsi harapan yang sama dan mengajak pengundi khususnya kaum Melayu untuk keluar menunaikan tanggungjawab hari ini.
Katanya, peratusan keluar mengundi bagi orang Melayu pada pilihan raya negeri dan umum yang lalu agak rendah dan beliau mengharapkan sebaliknya untuk PRK kali ini.
"Saya berharap sekurang-kurangnya 80 peratus (orang keluar mengundi) ke atas. Bukan rasa peluang terjejas, kalau rendah kita tengok peratusan mana yang keluar.
"Kita harap pengundi Melayu ramai kali ini, (kerana masa) PRU, PRN memang sangat rendah. Saya harapkan pengundi Melayu (PRK kali ini) ramai," katanya kepada pemberita pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di SJK (C) Tampoi selepas menemani ibu mentuanya, Montiah Emam, 77, membuang undi.
Zulkifli tidak membuang undi di parlimen tersebut kerana pertukaran alamat yang dibuat pada saat akhir belum diluluskan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, beliau pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Iskandar Puteri meskipun sudah menetap di Tampoi lebih 20 tahun.
"Saya pengundi di Iskandar Puteri. Dah buat pertukaran tapi belum lepas. PRK pun tiba-tiba, alamat saya sini sudah 20 tahun," katanya.
Setakat 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 19 peratus di Pulai, manakala 18 peratus di Simpang Jeram.
SPR sebelum ini mensasarkan peratusan keluar mengundi pada hari ini mencapai lebih 70 peratus bagi mengatasi peratusan keluar mengundi semasa PRN pada 12 Ogos lepas dengan hanya mencatatkan sekitar 60 peratus. – Getaran, 9 September 2023

