KUALA LUMPUR – Pembangunan Selangor Aero Park dalam Rancangan Selangor Pertama menjadi antara usaha kerajaan negeri menangani pelbagai cabaran dalam industri penerbangan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara cabaran dalam industri penerbangan termasuk keperluan terhadap pekerja berkemahiran.
Beliau berkata, wujud juga keperluan untuk menghasilkan teknologi yang menepati Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) termasuk enjin yang lebih efisyen, pengurangan jejak karbon serta isu keselamatan.
Menyedari keperluan berkenaan, selain kedudukan Selangor, terutama peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, beliau berkata, Selangor memformulasikan Rancangan Selangor Pertama yang memberi penekanan kepada aeroangkasa dan penerbangan.
"Kerajaan Selangor merancang pembangunan tanah seluas 2,000 ekar bagi pembinaan Selangor Aero Park, sebuah kawasan industri aeroangkasa khusus untuk menangani keperluan industri.
“Ia akan menawarkan perkhidmatan fasiliti MRO (operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih), pengubah suaian pesawat, pusat inovasi, hangar pintar dan canggih, kemudahan perujian dan juga menaik taraf landasan sedia ada untuk memudahkan pergerakan pesawat keluar dan masuk ke Aero Park tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) edisi ketiga di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong hari ini.
Pameran itu dianjurkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 September yang menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung.
Acara tersebut menampilkan 117 pempamer dari dalam dan luar negara, melibatkan industri penerbangan yang menyasarkan potensi nilai transaksi RM700 juta untuk penganjuran kali ini.
"Selangor kini menjadi mercu tanda sektor pembuatan, penyelidikan dan perkhidmatan aeroangkasa yang mampu menarik penggiat industri di peringkat antarabangsa," katanya lagi.
Amiruddin menambah, kerajaan negeri itu juga akan memanfaatkan sepenuhnya industri dron seperti yang diumumkan pada 2022 di Dewan Undangan Negeri.
Ini melibatkan cadangan pembangunan Selangor Drone Centre of Excellence (SDCoE) di Universiti Selangor sebagai salah satu inisiatif dalam Rancangan Selangor Pertama bagi memacu ekonomi aeroangkasa negeri itu.
"Kita akan memanfaatkan sepenuhnya industri dron melalui SDCoE yang memberi tumpuan kepada pesawat ringan, pesawat laut, pesawat udara tanpa pemandu (UAV) dan juga penerbangan sukan.
"Semua ini ada dalam Rancangan Selangor Pertama dan Tindakan Aeroangkasa Selangor untuk mempercepatkan pertumbuhan pelaburan dan menawarkan pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat Selangor," katanya.
Beliau menambah, rangka-rangka kerja dan strategi tersebut adalah agenda utama kerajaan negeri untuk menawarkan pekerjaan yang bergaji tinggi kepada seluruh rakyat dan juga penduduk di negeri itu.
Pameran Udara Selangor mula dianjurkan sejak 2021 dan kini menjadi landasan kerajaan negeri menggalak pertumbuhan sektor aeroangkasa serta membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.
Acara ini juga menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) berkait pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dengan enam penggiat industri aeroangkasa iaitu SIMAero, Sir Ventures, Dviation Group, Bibus Metals, Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dan Subang MRO.
Beberapa negara terlibat dalam acara kali ini antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong. - Getaran, 7 September 2023

