KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diminta memberi penjelasan segera berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas tanpa melepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penjelasan itu amat mustahak bagi mengelakkan rakyat memperlekehkan sistem perundangan negara.
"Permohonan melepas tanpa membebas daripada pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.
"DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut," katanya.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan bagaimanapun berkata, pihaknya menghormati kuasa mahkamah dan keputusan untuk menghentikan prosiding pendakwaan terhadap Presiden UMNO itu.
Jelasnya, ia adalah hak dan budi bicara Peguam Negara namun penjelasan harus diberikan.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas tanpa melepaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan tersebut yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.
Untuk rekod, seseorang yang dilepaskan tanpa dibebaskan masih terikat kepada kemungkinan didakwa semula pada masa hadapan jika pihak AGC ingin menyemak semula perkara tersebut. - Getaran, 5 September 2023
