Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


13 Kali Anak Masuk Penjara, Ibu Tetap Sambut Kepulangan Dengan Senyuman

Semasa Dikemaskini 8 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 30 Aug 2023 4:31PM

Zaki menerima surat pelepasan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen daripada Pengarah Penjara Pokok Sena, Timbalan Komisioner Aminon Adnan (kanan). gambar Rafisqi Radhi

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

POKOK SENA - Ketibaan seorang wanita tua dalam keadaan terhincut-hincut akibat sakit lutut, menarik perhatian orang ramai pada Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Penjara Pokok Sena, dekat sini, hari ini.

Walaupun terpaksa berjalan jauh, tidak sekali pun dia merungut atau meminta diberi keistimewaan. 

Malah, di sebaliknya wajah yang kian dimamah usia itu, sentiasa terukir senyuman yang mendamaikan setiap kali kakitangan Jabatan Penjara Malaysia bertanya sama ada beliau 'okay' untuk meneruskan perjalanan.

Selepas diselidiki, rupa-rupanya kehadirannya di lokasi itu adalah bagi menyambut kepulangan anaknya, Zaki (bukan nama sebenar), 53, yang dipenjarakan akibat kesalahan dadah sejak Ramadan lalu. 

Senyuman manisnya itu berterusan apabila anaknya tunduk lalu mencium tangannya berkali-kali sebelum pipinya pula menjadi sasaran untuk dikucup ketika berada di atas pentas, sebaik sahaja kedua-dua mereka dijemput bagi menerima surat pelepasan dari Pengarah Penjara Pokok Sena, Timbalan Komisioner Aminon Adnan.

Namun, setelah lama mengukir senyum, akhirnya air mata ibu itu, Shamsiah (bukan nama sebenar), 71, tumpah juga apabila diajak berbicara mengenai anak sulungnya itu. 

Matanya berkaca apabila menzahirkan harapan supaya anaknya itu berubah selepas diberi peluang untuk bebas lebih awal daripada tarikh sepatutnya, melalui program berkenaan.

"Sebenarnya, ini adalah kali ke-13 Zaki yang juga bekas tentera dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah. Tetapi saya tetap hadir untuknya pada hari ini, sama seperti ketika dia tamat menjalani latihan untuk bergelar seorang tentera, puluhan tahun lalu.

"Walaupun sudah lanjut usia, saya tetap mahu tengok dia berubah dan sentiasa berdoa untuknya, setiap hari, sampai hujung hayat. Berkat doa ibu, saya amat mengharapkan supaya Zaki yang juga anak sulung dari tujuh beradik, benar-benar berubah kali ini.

"Saya percaya dia boleh berubah kerana selepas dibebaskan dari penjara buat kali ke-12 kira-kira tujuh tahun lalu, dia berjaya menjauhi dadah hinggalah terjebak kembali, dan dipenjara buat kali seterusnya, Ramadan lalu. Oleh itu apabila sudah dibebaskan kali ini, saya harap dia betul-betul dapat tinggalkan dadah sampai bila-bila," katanya.  

Melihat keadaan ibunya itu, Zaki yang juga seorang duda dan mempunyai dua anak turut sebak serta berjanji untuk berubah.

"Saya nak jadi 'orang' semula... Tak payahlah 'benda-benda' dadah ini semua sebaliknya saya mahu kembali bekerja dan menjaga ibu yang sudah berusia. Hanya itu yang saya mahukan ketika ini.

"Selepas dibebaskan dari penjara buat kali ke-12 dulu, saya bekerja sebagai instruktor di ladang jagung. Sekarang ini, saya mahu gunakan kepakaran yang ada untuk dapatkan pekerjaan seperti itu juga dan pada masa sama, lebih berhati-hati dalam berkawan supaya tidak lagi terjebak dengan dadah," katanya.

Sementara itu, Aminon memaklumkan, Zaki adalah sebahagian daripada 44 banduan yang dibebaskan dari penjara itu hari ini kerana memenuhi syarat dan melepasi tapisan Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537) serta Peraturan 111, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Menurutnya, sebahagian daripada individu dibebaskan itu akan kembali ke pangkuan keluarga manakala sebahagian lain, sudah ditawarkan pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang bersetuju menjalinkan kerjasama dengan jabatan itu.

"Mereka ini memenuhi syarat dan melepasi tapisan dilakukan. Meskipun sudah dibebaskan, pihak majikan dan ahli keluarga terus digalakkan untuk selalu berhubung dengan pegawai parol, bagi memaklumkan mengenai perkembangan individu berkenaan.

"Dalam tempoh beberapa tahun program ini berjalan, kesannya tampak positif. Tiada masalah besar timbul dan bekas penghuni yang dibebaskan juga berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan bermasyarakat lebih awal," katanya.  

Dalam pada itu seorang usahawan, Noor Fatin Izzati Mazlan, 27, memaklumkan, ini adalah kali ke-9 beliau mengambil pekerja daripada golongan sedemikian.

"Salah satu cabang perniagaan syarikat saya adalah mencuci kenderaan dan kebanyakan mereka ditempatkan di bahagian itu. Setakat ini kami tiada masalah langsung dengan mereka dengan masing-masing menunjukkan disiplin baik, dan sentiasa patuh dengan arahan sewaktu bekerja.

"Dalam tempoh dua tahun ini, ada antara mereka yang masih bekerja dengan saya dan selebihnya, telah memperolehi kerja di kilang-kilang setelah saya cadangkan kepada kawan-kawan. Bagi saya, program ini cukup baik dan bermanfaat untuk semua pihak," katanya. - Getaran, 30 Ogos 2023

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 2 tahun yang lalu

Inisiatif i-Kembali, Sinar Baharu Bekas Banduan

Sorotan

1

Kabinet Belum Bincang Kenaikan Harga Petrol Dan Diesel, Laporan Media Asing Tidak Betul – Fahmi

2

Pemohon Rayuan Haji Sudah Mula Terima Jawapan

3

TPM Ingatkan Sanusi Jangan Melalut Malam Ini

4

El Nino: Bekalan Lembu, Kambung Korban Mencukupi – Mohamad

5

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

6

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

Pendirian Tak Tetap, Wan Ahmad Fayhsal Digelar Mengkarung

oleh Sophia Ahmad

Semasa 21 jam yang lalu

Peras RM1.25 Juta: 3 Pegawai Kanan Polis Ditahan Bantu Siasatan

Semasa 1 hari yang lalu

Mahkamah Tolak Saman Pegawai Khas Bekas AG Terhadap Rewcastle-Brown

Semasa 16 jam yang lalu

Kenaikan Gaji Untuk Hargai Penjawat Awam Termasuk Bomba - PM